Apakah jenis ruam bayi yang perlu ibu bapa tahu sebelum kelahiran si kecil?

Setiap ibu bapa mahukan kulit si manja mereka kekal sihat, bersih, dan bebas penyakit kulit bayi.

Namun, ruam pada bayi adalah keadaan umum yang sering terjadi. Ada beberapa jenis ruam yang dapat mempengaruhi kulit bayi, dan setiap jenis ruam disebabkan punca yang berbeza-beza.

Apakah itu ruam?

Ruam merujuk kepada keadaan kulit yang mengalami perubahan dari segi warna, tekstur, atau rupa secara keseluruhan.

Ia boleh muncul sebagai tompok-tompok merah, bengkak, atau gatal, dan boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti alahan, jangkitan, panas, atau iritasi.

Ruam juga boleh menjadi tanda kepada keadaan kesihatan yang lebih serius. Bayi yang mengalami ruam mungkin berasa gatal dan sering menggaru di bahagian yang terkena ruam kerana mereka berasa tidak selesa untuk tidur dan menyusu.

Jenis ruam bayi dan penyebabnya

Kanak-kanak dan bayi adalah golongan yang berisiko tinggi untuk mendapatkan ruam. Berikut adalah antara jenis ruam bayi berserta penyebabnya yang perlu anda tahu:

1. Ruam lampin (diaper rash)

jenis ruam bayi

Ruam lampin adalah salah satu jenis ruam bayi yang paling umum. Ruam ini disebabkan oleh gesekan dan tekanan pada kulit akibat lampin yang basah atau kotor.

2. Ruam panas (prickly heat)

jenis ruam bayi

Ruam panas terjadi akibat kelenjar peluh bayi yang belum sepenuhnya berkembang dan tersumbat di kulit. Jenis ruam bayi ini biasanya muncul di bahagian tubuh yang terdedah kepada panas dan berpeluh.

3. Ruam alahan

Jenis ruam bayi disebabkan alahan mungkin berpunca dari kontak bayi dengan bahan-bahan tertentu, seperti makanan, deterjen, sabun, atau krim.

4. Ruam kulit infeksi

Beberapa jenis ruam bayi boleh disebabkan oleh infeksi, seperti ruam akibat infeksi kulat atau impetigo.

5. Ekzema

jenis ruam bayi

Ekzema adalah keadaan kulit kronik yang biasanya muncul pada bayi disebabkan sejarah keluarga yang mengalami alergik atau asma.

Ruam ini biasanya muncul sebagai kulit kering, gatal, bersisik, dan merah. Ekzema sering muncul di pipi, bahagian dalam siku, dan belakang lutut.

6. Kesan sampingan ubat

Beberapa ubat atau krim yang digunakan pada bayi boleh menyebabkan ruam. Jika bayi mengalami ruam setelah menggunakan ubat tertentu, segera hentikan penggunaannya dan berjumpa dengan doktor.

Hal ini kerana sesetengah ubat atau krim mempunyai bahan kimia yang tidak sesuai dengan kulit bayi sehingga menyebabkan kulit bayi rosak dan cacat seperti ruam yang tidak dapat untuk disembuhkan.

7. Ruam susu (milk rash)

Ruam susu uga dikenali sebagai jerawat bayi. Jenis ruam bayi ini biasanya muncul dalam beberapa minggu pertama selepas bayi lahir.

Ia boleh dikenal pasti dengan benjolan kecil berwarna merah atau putih pada muka, terutama di pipi, hidung, dan dahi.

8. Jangkitan virus

Beberapa jangkitan virus boleh menyebabkan ruam pada bayi, seperti roseola, campak, dan rubella.

Ruam merah atau merah jambu ini mungkin disertai sekali dengan demam, hidung berair, atau gejala lainnya.

9. Impetigo

Jangkitan kulit bakteria yang sangat berjangkit, biasanya disebabkan oleh bakteria Staphylococcus atau Streptococcus.

Kesannya, bayi akan mengalami luka kecil yang melepuh dan pecah, meninggalkan kerak berwarna kekuningan.

10. Cradle cap

Ini adalah keadaan di mana kepala bayi seperti berkerak. Puncanya kerana berlaku pengeluaran sebum atau minyak yang berlebihan dari kulit kepala

11. Milia

Keadaan di mana bayi mempunyai biji-biji putih, selalunya disekitar hidung. Milia ini berpunca dari kelenjar minyak di wajah bayi yang belum matang.

Cara untuk mengatasi jenis ruam bayi

Ibu bapa boleh melakukan pencegahan awal sebelum berlakunya masalah ruam pada bayi. Berikut adalah beberapa tips yang boleh dilakukan:

1. Menukar lampin dengan kerap

Rawatan terbaik untuk mengatasi masalah jenis ruam bayi berkaitan lampin adalah dengan menukar lampin secara kerap.

Dalam masa yang sama, elakkan juga penggunaan lampin yang terlalu ketat dan pastikan lampin tidak bergesel dengan kulit bayi. Lampin yang dipakai perlulah memberi keselesan sepanjang masa kepada bayi.

2. Biarkan kulit bayi bernafas

Elak bayi anda pakai lampin sepanjang masa. Sebalikya, biarkan mereka juga tanpa lampin apabila perlu untuk menggalakkan pengudaraan dan mengeringkan kulit punggung.

3. Elakkan penggunaan tisu basah yang beralkohol

Pilih tisu basah yang lembut dan bebas alkohol untuk membersihkan kawasan punggung bayi. Penggunaan tisu basah yang mengandungi alkohol boleh menyebabkan iritasi pada kulit mereka.

4. Menjauhkan bayi daripda suhu panas

Untuk mengatasi ruam ekzema, anda perlu menjauhkan bayi dari suhu yang panas  dan kontak langsung dengan benda yang dapat menyebabkan kulit bayi terdedah dengan cuaca tersebut.

Gunakan krim pelembap yang telah disyorkan oleh doktor untuk menjaga kelembapan kulit bayi anda.

5. Pilih pakaian yang sesuai

Pastikan pakaian bayi yang dipakai adalah dari bahan yang lembut dan tidak bergesel pada kulit. Elak dari beli pakaian bayi yang terlalu ketat atau terlalu panas.

6. Mandikan bayi dengan air suam

Memandikan bayi dengan air yang suam dan elak dari menggunakan sabun antibakteria atau mandi buih dikatakan mampu melegakan masalah ruam pada bayi.

Dengan mengambil langkah berjaga-jaga yang betul, anda boleh membantu mencegah ruam pada bayi dan menjaga kulit mereka tetap sihat dan selesa.

Jika ruam pada bayi berterusan atau bertambah teruk, segera dapatkan nasihat daripada doktor atau pakar kesihatan.

Selain dari jenis ruam bayi ini, anda juga boleh baca artikel tentang tips kesihatan bayi seperti:

Sumber:

  1. Baby Rash: Causes, Types, Treatments, Prevention. Healthline
  2. Common Skin Conditions/Rashes in Babies/Children. Kids Clinic
  3. Your Newborn’s Skin and Rashes. WebMD

Penulis: hannani

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.