Pisang adalah buah yang membekalkan tenaga banyak dan amat digemari ramai.  Sebagai tanaman botani yang sama seperti beri (berry), ia tergolong dalam beberapa jenis tumbuhan berbunga herba besar dalam genus Musa. 

Di sesetengah negara, pisang yang digunakan dalam masakan dipanggil “plantains” dimana ia membezakan antara pisang dan pencuci mulut.

Buahnya bervariasi dalam pelbagai saiz, warna dan rupa. Biasanya buah pisang ini mempunyai bentuk memanjang dan melengkung, dengan isi lembut yang kaya dengan kanji yang ditutupi dengan kulit. 

Warna jenis pisang mungkin berubah kepada hijau, kuning, merah, ungu atau coklat ketika matang. Pisang tumbuh di dalam tandan yang tergantung dari puncak pokoknya.

Pisang Yang Tidak Boleh Dimakan

Selain itu, terdapat juga pisang yang tidak boleh dimakan iaitu berasal dari dua spesies liar, Musa acuminata dan Musa balbisiana.

Sebut sahaja mengenai pisang, pasti ada antara anda yang belum mengenali jenis pisang ini kan? Baiklah, mari kami kongsikan jenis pisang yang terdapat di Malaysia dan gambar-gambarnya. 

1.  Pisang Rastali (Kelat Keling)

jenis pisang

Imej via [gramho]

Ada yang menyangkakan pisang rastali ini dan pisang emas adalah jenis pisang yang sama. Namun sebenarnya ia merupakan dua jenis pisang yang berbeza. Pisang emas isinya berwarna kuning-kuningan manakala pisang rastali pula isinya berwarna putih. Rupa bentuk luarnya juga mempunyai kelainan.

Di pantai Timur, jenis pisang ini lebih popular dengan nama pisang kelat keling. Sebahagian tempat pula menyebutnya dengan nama pisang meda. Ada sesetengah pendapat pula menyatakan bahawa pisang ini terdapat 3 jenis. Pisang tersebut adalah pisang kelat keling, pisang kelat air dan pisang kelat lega.

Perbezaannya dengan pisang kelat lega adalah pisang kelat lega biasanya dibuat goreng pisang atau disira manakala pisang rastali tidak sesuai untuk digoreng.

2.  Pisang Awak (Kelat Lega)

jenis pisang

Imej via [mamamiasanasini]

Ada juga yang mengelar pisang ini dengan nama pisang Perak, pisang kelat siam dan pisang kelat lega. Pisang ini sangat enak dibuat cekodok, pengat pisang dan sebagainya. Pisang ini juga amat sedap jika direbus dan dibuat lempeng pisang, tak sabar nak mula buat kan.

3.  Pisang Raja

jenis pisang

Imej via [tokopedia]

Pisang raja boleh dimakan segar dan ianya lebih sedap jika digoreng. Jenis pisang ini tidak banyak di pasaran tempatan. Ianya juga boleh dijadikan kerepek, direbus, dibuat pengat dan dijadikan bahan untuk membuat pelbagai jenis kuih ataupun kek. Ia kelihatan agak besar berbanding dengan pisang yang lain.

4.  Pisang Tanduk

jenis pisang

Imej via [flickr]

Pisang tanduk biasanya hanya mempunyai satu atau dua sisir buah sahaja. Jenis pisang ini memerlukan masa lebih kurang lapan bulan untuk berbunga manakala buahnya memerlukan tiga bulan untuk masak. Pisang tanduk sesuai disajikan sebagai pisang goreng dan dijadikan kerepek. Ianya juga boleh direbus dan amat sedap dimakan dengan kelapa parut.

5.  Pisang Raja Udang

jenis pisang

Imej via [freemalaysiatoday]

Struktur isi jenis pisang ini sangat halus dan rasanya amat manis dan sedikit masam. Ia boleh dimakan sebagai pembersih mulut. Selain itu, ianya boleh dibuat cekodok pisang, lempeng atau kek pisang sama seperti pisang kapas. 

Buahnya yang belum masak boleh dibuat kerepek tetapi tidak sesuai dijadikan pisang goreng. Ada pelbagai cerita tentang asal usul warnanya dan ada juga yang mengatakan jenis pisang ini tidak boleh dimakan oleh mereka yang berketurunan Melayu Rawa. Pisang ini sangat jarang ditemui.

Apabila buah ini masih muda, buah ini akan berwarna unggu atau kemerahan-merahan seolah-olah udang yang sedang dibakar. Pisang ini juga sering dikaitkan dengan kisah tahyul dalam zaman masyarakat Melayu dahulu kala. Pisang ini mempunyai khasiat dan keistimewaan tersendiri iaitu penambahan tenaga kepada manusia. 

Jika anda sering melakukan aktiviti yang banyak menggunakan tenaga, pastikan anda mengamalkan dua buah pisang sebagai penambahan tenaga pada waktu pagi.

6.  Pisang Susu

jenis pisang

Imej via [akurat]

Jenis pisang ini sememang enak, manis dan rasanya berlemak. Pisang ini jarang dilihat dan dimakan, amat sukar untuk ditemui. Pisang susu mempunyai saiz yang sederhana yang sama seperti pisang emas atau pisang berangan. 

Ketinggian pokoknya amat rendah dan biasanya boleh dicapai dengan tangan. Warna buahnya apabila matang adalah berwarna kuning terang. Ianya mudah dikupas dan tidak sesuai digoreng tetapi amat sesuai dijadikan cekodok, lempeng atau kek pisang.

7.  Pisang Berangan

jenis pisang

Imej via [matdespatch]

Jenis pisang ini kulitnya amat tebal tetapi mudah dikupas. Pisang berangan biasanya disajikan di majlis-majlis keramaian dan jamuan. Ia juga sesuai dijadikan bahan untuk membuat roti canai berperisa pisang. 

Pisang berangan juga enak dijadikan pisang goreng kerana teksturnya tidak lembik. Buah pisang berangan mengandungi pelbagai nutrien. Secara umumnya, ia dapat memberi pelbagai manfaat kesihatan kepada kita semua.

8.  Pisang Nipah / Pisang Abu

jenis pisang

Imej via [flickr]

Seringkali kita melihat pisang bewarna hijau, salah satunya adalah pisang nipah.  Pisang nipah merupakan salah satu jenis pisang yang popular untuk digoreng dan dibuat kerepek pisang. Jantung ini sesuai untuk dijadikan sayuran atau ulam-ulaman. Ini kerana rasanya tidak pahit atau kelat.

9.  Pisang Emas

jenis pisang

Imej via [matdespatch]

Pisang emas biasanya ditanam untuk mendapatkan buah yang sangat sedap. Nama saintifiknya ialah Musa acuminata Colla atau dikenali sebagai ‘Lady’s Finger’. Ia sangat terkenal dalam masyarakat Malaysia malah ada pantun yang dicipta juga menyebut pisang emas dibawa belayar.

10.  Pisang Embun

pisang embun

Imej via [flickr]

Pisang Embun merupakan jenis pisang yang besar dan sedap yang turut digemari ramai serta boleh dimakan secara mentah. Untuk pengetahuan anda, biarpun sedap namun pisang ini tidak tahan lama dan perlu dimakan dengan cepat sebelum isinya menjadi lembik dan tidak sedap.

11.  Pisang Toman

jenis pisang

Imej via [facebook]

Rupa bentuk pisang ini mungkin pernah dilihat oleh sesiapa sahaja. Namanya mungkin kedengaran sedikit unik dan janggal. Kulit pisang yang berwarna hijau dan kuning pucat ini akan mudah ditanggalkan setiap kali dikupas apabila sudah masak. Rasa manis dan segar membuatkan pisang toman ini sesuai dijadikan bahan kuih atau kek.

Pasti anda tak percaya melihat pelbagai jenis pisang yang wujud bukan? Itulah dia 11 jenis pisang yang terkenal di Malaysia. Jom baca juga Resepi Pisang Kastard Sos, Resepi Muffin Pisang, Resepi Pisang Goreng Cheese dan Resepi Pancake Pisang.

Rujukan

  1. Individu Berketurunan Melayu Rawa Dilarang Makan Buah Ini? Kenali 6 jenis pisang yang terdapat di Malaysia.  https://iamlejen.com/individu-berketurunan-melayu-rawa-dilarang-makan-buah-ini-kenali-6-jenis-pisang-yang-terdapat-di-malaysia/#.XohW0HJS_IU
  2. Tips Dapur – Kenali Jenis-jenis Pisang.  https://misscosmics.wordpress.com/2019/02/20/tips-dapur-kenali-jenis-jenis-pisang/
  3. Jenis-Jenis Pisang.  http://pokok-pokok-pisang.blogspot.com/2009/11/pisang_9557.html

Penulis: zulrina

Meminati dunia perniagaan, travel dan makanan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.