Tugas seorang suami mithali yang soleh adalah untuk membimbing isterinya ke syurga. Cara terbaik untuk seorang isteri ke syurga adalah dengan taat kepada suami. Tetapi sayang, di zaman teknologi serba canggih ini semakin ramai isteri derhaka pada suami tanpa rasa bersalah.

image via : Ruang Muslimah

Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA bermaksud: “Aku pernah bertanya kepada Baginda: “Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri ?” Baginda menjawab: “Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya.” Kemudian aku bertanya lagi: “Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?” Baginda menjawab: “Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya.” -{Riwayat Bazar dan Al-Hakim}


Awas! Isteri Tidak Boleh Amalkan 6 Tabiat Ini

1: Jangan menghina dan mengumpat suami di depan orang lain

Suami juga seorang manusia biasa. Sebagai manusia mana mungkin tidak lepas dari kesilapan. Jika suami ada silap, pastinya anda juga sebagai isteri ada silap. Menghina suami di depan orang lain sama seperti menghina diri sendiri. Mengumpat suami di depan orang lain sama seperti mengumpat diri sendiri.

Tidak perlulah menghina dan mengumpat suami kerana itu hanya akan menunjukkan anda seorang isteri yang kurang baik kerana sengaja membuka aib rumahtangga sendiri di sana sini.

2: Jangan meninggi suara dan mengherdik suami

Seorang wanita Allah SWT ciptakan dengan sifat yang lembut dan penyayang. Suara wanita juga tidaklah sekeras lelaki. Suara wanita dengan nada yang rendah merupakan senjata yang paling ampuh untuk meruntuhkan ego lelaki.

Maka rendahkahlah suara itu. Bercakaplah dengan lembut dengan suami. Tidak usahlah meninggi suara dan mengherdik suami kerana itu akan hanya menimbulkan rasa benci dan tidak senang suami ke atas anda.

image via : Baitul Muslim

3: Jangan keluar rumah sesuka hati tanpa izin suami

Sebelum berkahwin menjadi tanggungjawab seorang bapa untuk mengawal pergerakan seorang perempuan. Setelah berkahwin tugas menjaga batasan seorang perempuan itu akan di ambil alih oleh suaminya. Sebelum berkahwin boleh hormat dan minta izin daripada ayah sebelum keluar rumah, mengapa setelah berkahwin dengan sengaja ke sana sini sesuka hati.

Keluar rumah sesuka hati tanpa kebenaran suami adalah salah di sisi agama Islam. Hukum untuk seorang isteri keluar rumah tidak dengan izin dan restu suami adalah haram hukumnya. Maka sebelum ke mana-mana beritahulah suami dan mohonlah restunya terlebih dulu.

4: Jangan mendoakan kecelakaan buat suami

Subhanallah! Mengapa hingga tahap mendoakan kecelakaan buat suami. Jika benar suami ada melakukan kesalahan tetapi sebagai isteri kita tidak boleh mendoakan kecelakaan untuknya. Tugas isteri adalah untuk memberikan rasa tenang kepada suami bukan sebaliknya.

Suami adalah ketua keluarga yang memikul tanggungjawab. Isteri pula adalah si penjaga amanah suami sepanjang ketiadaannya. Maka sentiasalah berdoa yang baik-baik supaya rumahtangga sentiasa selamat dan bahagia.

5: Jangan membenci kegemaran suami

Setiap pasangan ada perbezaannya. Kerana itu setiap suami isteri akan saling melengkapi. Ada benda yang suami suka isteri benci. Ada juga perkara yang isteri gemar tetapi suami meluat. Itu semua perkara biasa.

Jika suami sukakan sesuatu apa salahnya untuk menyokong. Jika tidak boleh memberi sokongan sekalipun, janganlah pula terus menolak. Cuba dulu untuk jatuh suka dan jika benar tidak boleh biarkan sajalah suami dengan kegemarannya itu. Yang penting, ianya tidak salah di sisi agama. Lainlah jika suami gemar untuk punya isteri lebih, hmmm itu bolehlah dibawa berbincang sehabis daya sebelum memberi apa-apa persetujuan.

6: Jangan menjadi tekanan kepada suami

Isteri itu penyejuk mata. Isteri itu juga pelembut hati. Seorang isteri yang solehah akan sentiasa menjaga perilakunya. Isteri mithali yang tidak derhaka ini juga akan berusaha untuk memenangi hati suaminya.

Bila suami pulang dari kerja dalam keadaan letih, layanlah mereka dengan baik. Sediakanlah minuman dan pamerkanlah diri dalam keadaan yang bersih terurus. Jangan sesekali menjadi tekanan kepada suami dengan meminta yang bukan-bukan. Jika suami tidak mampu, bersyukurlah dengan apa yang ada.

Isteri Derhaka Pada Suami, Tempatnya Adalah Neraka Jahanam

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda dan bermaksud “Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?” Baginda menjawab: “Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya.” -{HR Muslim}

Ingatlah wahai para isteri. Seorang suami adalah insan yang mempunyai hak ke atas isterinya selagimana beliau tidak berbuat zalim. Sentiasalah mengingati segala kebaikan yang telah pernah diperbuat oleh suami.

Selalulah juga menginsafi kesilapan yang telah dilakukan ke atas suami. Mohonlah keampunan dan sayangilah suami sepenuh hati untuk selamat di dunia dan juga di akhirat.

Penulis: Siti Awadah

Minat menulis untuk pelbagai topik seperti kesihatan, keibubapaan, perhubungan, kecantikkan, makanan, travel, Islamik dan sebagainya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.