Biasalah kalau kita dijemput untuk datang ke majlis-majlis seperti kenduri kahwin, kesyukuran dan lain-lain lagi, kita akan dihidangkan dengan pelbagai juadah makanan. Contohnya, makanan yang pedas, air minuman yang manis dan berkarbonat dan makanan-makanan yang berlemak.

Hal ini boleh memudaratkan kesihatan diri kita terutama kepada pesakit yang ada darah tinggi, buah pinggang dan sakit jantung. Tindak balas antara makanan dengan ubat ubat-ubatan yang kita makan boleh juga menyebabkan kesan optima ubat tidak dapat disempurnakan.

Mari kita baca info yang dikongsikan oleh Dr. Suhazeli Abdullah mengenai interaksi makanan dan ubat.

Interaksi antara ubat dan makanan
Image via Bidadari

Interaksi makanan dengan ubat boleh berlaku dalam pelbagai bentuk:

1. Makanan atau minuman itu menghalang penyerapan serta tindakbalas ubat di lokasi tertentu badan. Contohnya teh boleh menghalang penyerapan zat besi secara optima bagi ibu-ibu hamil yang mengalami anemia (kurang hemoglobin darah). Begitu juga dengan pengambilan kopi terutama kopi pracampuran yang mengandungi ginseng, tongkat ali dan sebagainya, boleh menyebabkan kesan tindabalas ubat semakin tinggi dari jangkaan yang sepatutnya. Akhirnya kandungan ubat-ubatan dalam badan akan berpanjangan. Sedangkan ubat-ubatan itu mempunyai tempoh tertentu yang sesuai berada dalam darah sebelum dikumuhkan melalui buah pinggang.

2. Makanan tertentu juga mempunyai pengaruh ke atas ubat-ubatan samada mengurangkan kesan tindakbalas yang sepatutnya atau meningkatkan kesan tindakbalas. Contohnya limau gedang, buah sitrus dan makanan berserat tinggi boleh bertindakbalas dengan ubat anti-kolesterol dan banyak lagi ubat-ubatan lain.

3. Sesetengah makanan boleh menggalakkan lagi kesan sampingan ubat. Seperti pesakit yang mengambil ubat cair darah (warfarin) untuk sakit jantung. Apabila pesakit memakan makanan yang tinggi vitamin K seperti brakoli dan beberapa lagi, akan mengganggu sistem pembekuan darah.

Andaikata kita tidak mampu untuk menahan nafsu makan, sehingga terpengaruh dengan keenakan makanan, ikutilah tips yang diberi oleh doktor pakar.

9 tips untuk mengelakkan interaksi ubat dan makanan:

1. Sentiasa BACA LABEL pada sampul ubat dan sisip bungkusan (arahan pengambilan, peringatan, interaksi, langkah berjaga-jaga) yang dilampirkan bersama-sama bekas ubat.

2. Adalah sangat penting untuk MEMATUHI ARAHAN yang diberikan berkenaan cara pengambilan ubat yang selamat seperti yang telah diterangkan oleh ahli profesional kesihatan.

3. Ambil ubat bersama-sama segelas AIR KOSONG. Jangan campur ubat ke dalam minuman panas kerana suhu yang tinggi boleh mengurangkan keberkesanan sesetengah ubat.

4. JANGAN CAMPUR ubat ke dalam makanan kecuali diarahkan berbuat demikian.

5. JANGAN ambil herba pada MASA YANG SAMA ketika mengambil ubat.

6. JANGAN ambil ubat bersama-sama ALKOHOL/ARAK. Tapai juga mengandungi kandungan alkohol yang bukan bermaksud arak.

7. SENTIASA MAKLUMKAN doktor atau ahli farmasi berkenaan ubat-ubatan serta herba / yang sedang diambil.

8. MAKLUMKAN ahli profesional kesihatan berkenaan sebarang PERUBAHAN dalam rutin harian (senaman, diet, pengambilan alkohol).

9. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan atau kemusykilan berkenaan interaksi ubat-ubatan yang mungkin berlaku, BERTANYALAH PADA DOKTOR / AHLI FARMASI. Simpanlah nombor penting doktor atau farmasi yang anda sayangi.

*Semoga info ini dapat memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.

Berhati-hatilah semasa memilih makanan dan jangan makan terlalu banyak makanan berminyak dan tidak sihat terutama kepada pesakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan lain-lain. Dapatkan nasihat pakar jika ingin mengambil seberang ubat.

Artikel ini diterbitkan oleh kebenaran penulis. Baca artikel penuh di sini.

Penulis: aqirah

Seorang yang rajin dan gemar untuk kongsikan sesuatu yang bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.