Ayuh ketahui perkara makhruh dalam berwudhuk.

Wuduk yang sempurna adalah yang menjaga adab dan tertibnya. Berwuduk bukan hanya membasahkan menyapu air pada bahagian tertentu semata-mata. Namun mempunyai pengertian yang tersendiri dalam aspek kebersihan zahir dan batin terutamanya.

Wuduk berasal daripada bahasa Arab ‘al-wada’ah’ yang bermakna al-hasan iaitu kebaikan dan makna an-nazofah (kebersihan).

Umat muslim sering dianjur untuk berwuduk dengan menepati tatacara yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, iaitu dengan menjaga adab dan tertib yang baik.

Sebolehnya jauhilah perkara makhruk wuduk, iaitu  sesuatu perbuatan yang tidak disukai Allah walau tidak berdosa jika melakukannya. Dengan itu, berusahalah menjauhi perkara makhruh dalam berwuduk dan elak daripada mengamalnya.

Apakah makhruh wudhuk? Berikut adalah perbuatan-perbuatanya;



1. Berkata-Kata Atau Berbual

Selain berzikir atau menyebut nama Allah SWT, perbuatan bercakap-cakap ketika mengambil wuduk dihukumkan oleh ulama sebagai tidak beradab. Sekalipun berbicara atas sebab yang mendesak, hal ini tetap juga makruh.

2. Wuduk Di Tempat Yang Tidak Bersih

Sebaiknya jauhilah berwuduk di kawasan yang kotor dan bernajis. Hal ini dibimbangi akan ada percikan air najis dari tempat yang bernajis tersebut.

“Dimakruhkan mengambil wuduk pada tempat yang najis kerana wuduk itu adalah bersuci, maka elakkan dari tempat yang najis atau dari tempat berkeadaan yang seperti itu kerana sesungguhnya air wuduk itu dihormati.”

(Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah)

Termasuklah jika berwuduk dalam tandas, pastikan kawasan tandas dijirus dan diyakini bersih terlebih dahulu.

3. Mendahulukan Anggota Kiri

Walaupun membasuh anggota wuduk dengan bahagian kanan terlebih dahulu adalah sunat,  namun hukumnya adalah makruh jika mencuci bahagian di sebelah kiri terlebih dahulu tanpa sebarang keuzuran.

4.  Membasuh Anggota Wudhuk Lebih Tiga Kali

Usah membasuh anggota wuduk melebihi tiga kali lantaran hukumnya yang mahkruh.

Imam Nawawi berkata: 

“Maknanya barang siapa meyakini bahawa lebih dari tiga kali atau kurang daripadanya adalah sunah, maka sungguhnya dia telah berbuat salah dan zalim kerana dia sesungguhnya telah menyalahi akan sunah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW.”

(Kitab al-Majmu’)

5. Berlebihan Menggunakan Air

Firman Allah SWT: 

“Dan janganlah kamu sekalian berlebih-lebihan kerana sungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang berlebih-lebihan.”

(al-A’raf: 31)

Perbuatan berlebih-lebihan ketika mengambil wuduk adalah seperti, menyimbah air yang banyak ketika menyucikan anggota wuduk, membiarkan air paip mengalir termasuk menyucikan anggota secara berulang-ulang dan lebih tiga kali.

Perbuatan seperti ini termasuk sebagai pembaziran yang sangat tidak disukai oleh Allah SWT.

Sebaiknya, anggota wuduk dibasuh dengan cara yang sesuai mengikut syarak walaupun berwuduk dengan air yang banyak seperti air sungai atau laut.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr  RA: 

“Sesungguhnya Rasulullah SAW telah lalu dekat Sa’ad RA dan beliau sedang mengambil wuduk. Lalu baginda bertanya: “Apakah pembaziran ini wahai Sa’ad?” Kata Sa’ad: “Adakah ketika berwuduk pun ada pembaziran?” Sabda baginda lagi: “Ya. Walaupun kamu sedang berwuduk di sungai yang mengalir.”

(Riwayat Ahmad, Ibn Majah dan al-Baihaqi)

Ini termasuklah berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung secara berlebihan.  Terutamanya kepada golongan yang sedang berpuasa. Hal ini sangat dikhuatiri akan merosakkan puasanya.

6. Meninggalkan Anggota Sunat Berwuduk Dengan Sengaja

Walaupun hanya anggota sunat  wuduk, namun hukumnya makruh jika meninggalkan dengan sengaja. Rasulullah SAW bersabda;


“Inilah wuduk yang benar, maka barang siapa yang menambahkannya maka dia telah berbuat buru, berlebih-lebihan dan zalim.”

(Hadis Riwayat Ahmad, An-Nasa’i, dan Ibnu Majah)

Contoh perbuatan yang selalu dipandang ringan; meninggalkan basmalah,  tidak berkumur, selain tidak memasukkan air ke dalam hidung dan selainnya,

Sebahagian ulama berpendapat,  meninggalkan sunat-sunat wuduk itu adalah ‘khilaful awla’ iaitu menyalahi yang lebih utama.

7. Merenjis Air Selepas Berwuduk

Jangan mengambil wuduk dengan cara merenjis atau menyebarkan air selepas berwuduk. Mengikut pandangan ulama perbuatan ini sangat disukai oleh syaitan.

8. Mengulang Wuduk

Ini bermaksud seseorang itu mengulang wudhuknya  sebelum dia menunaikan solat dengan wudhuk yang pertama tadi. Ertinya, jangan berwudhuk di atas wuduk.

9. Mengelap Air Wuduk

Sebaiknya air wudhuk yang masih melekat pada anggota wudhuk tidak dikeringkan dengan sengaja. Malah dibiarkan mengering sendiri.

Ini kerana, Nabi Muhammad SAW tidak melakukan sedemikian. Tambahan pula, air bekas wuduk pada badan itu sebenarnya adalah kesan-kesan ibadah.

Diriwayatkan daripada Maimunah RA, beliau berkata: 

“Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah diberikan dengan sehelai tuala kecil selepas berwuduk maka baginda tidak menyapunya.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Jika tiada keperluan, usahlah mengelap air bekas wuduk tersebut melainkan bahagian tersebut terdapat luka atau kecederaan atau apa-apa yang memudaratkan.

10. Menampar Anggota Wuduk

Maksud menampar anggota wuduk adalah apabila seseorang itu mengambil air, lalu ditepuknya dengan kuat pada mukanya sewaktu membasuh anggota wuduk. Perbuatan seperti ini  adalah tidak manis dan tidak diperlukan sewaktu melakukan ibadah.

Kadangkala air yang ditepuk dengan kuat itu tidak meratai anggota wudhuk. Maka, dibimbangi tidak  sah wudhuknya.

Syeikh Khatib Al-Bujairimi berkata: 

“Dan bahawasanya janganlah yang berwuduk itu menampar akan mukanya dengan air.”

(Kitab Tuhfatul Habib)

 Para ulama juga telah memberi nas bahawa makruh  jika menampar muka atau anggota wuduk yang lain dengan air. Dan disebut khusus akan muka itu kerana muka itu adalah anggota yang dianggap mulia.

11.  Menyuruh Orang Lain Membasuh Anggota Wuduk

Jika tidak mengalami apa-apa keuzuran atau masalah keupayaan, perbuatan ini adalah makhruh.Dalam hal itu, Syeikh Ibnu Hajar menjelaskan bahawa: 

 “Dan dimakruhkan meminta tolong orang lain membasuh segala anggota wuduknya melainkan kerana uzur.”

(Kitab Minhajul Qawwim)

Rasulullah SAW juga tidak pernah menyuruh orang lain membasuh anggota wudhuk Baginda sewaktu berwuduk.


12. Menggunakan Air Yang Musyammas

Air musyammas adalah air  yang terdedah kepada matahari. Menggunakan air ini untuk berwudhuk adalah makhruh.

13. Tidak Tertib

Perbuatan tertib adalah rukun yang ke enam mengikut mazhab Shafie. Tertib dan lakukanlah wudhuk dengan urutan yang betul dan berakhlak.

Penutup: Wuduk Yang Baik Akan Melengkapkan Ibadah Lain

Setiap daripada umat muslim seharusnya sentiasa memperbaiki cara berwuduk. Ini kerana tanpa wuduk yang baik dan tertib, akan menjejaskan ibadah solat dan merosakkan kualiti wuduk itu sendiri.

Jangan tergesa-gesa dalam berwudhuk, termasuklah memandang ringan perbuatan bersuci ini dan mengambil mudah. Ingatlah, wudhuk yang sempurna menjadikan anggota wudhuk kita bercahaya di hari kiamat kelak, bahkan sebagai saksi pada ibadah kita di dunia.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat kelak dalam keadaan putih (pada dahi) dan bercahaya (pada anggota) kerana kesan wuduk. Maka sesiapa yang mampu melebarkan warna putihnya, maka lakukanlah.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Rujukan:

  1. Sinar  Harian
  2. Aku Muslim
  3. Harian Metro

Bacaan lain:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.