Influenza A atau H1N1 juga digelar dengan nama ‘Swine Flu’ atau ‘Bird Flu’ kerana ia boleh menjangkiti haiwan tersebut. Ibu-ibu perlu berhati-hati kerana virus ini merupakan sebahagian daripada influenza bermusim  dan amat mudah berjangkit. Bayi yang belum mencapai usia setahun didapati berisiko tinggi untuk dijangkiti virus ini. Jom kami kongsikan info mengenai virus merbahaya ini.

influenza a

Sumber: Myjoyonline

Apakah penyakit Influenza A (H1N1)?

Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit berjangkit pada saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus influenza A (H1N1). Ia merupakan sebahagian daripada influenza bermusim (seasonal influenza). Ini disebabkan cara jangkitan, tanda-tanda jangkitan dan risiko untuk mendapat jangkitan dan komplikasi akibat Influenza A (H1N1) adalah serupa dengan influenza bermusim (seasonal influenza) yang lain.

Bilakah penyakit Influenza A(H1N1) berlaku?

Rantau beriklim sederhana seperti  Amerika Syarikat mempunyai variasi musim penularan influenza yang jelas, dengan kemuncak penularan yang selalunya berlaku pada musim sejuk. Ini berbeza dengan rantau tropika seperti Malaysia, di mana tiada musim penularan influenza yang jelas atau dengan kata lain, ianya berlaku sepanjang tahun.

Apakah tanda-tanda jangkitan virus ini?

Tanda-tanda jangkitan virus influenza A (H1N1) adalah serupa dengan gejala Influenza-like-Illness (ILI) iaitu seperti:

  • Demam
  • Batuk
  • Sakit tekak
  • Selesema
  • Sakit badan
  • Sakit kepala
  • Badan berasa sejuk dan lesu
  • Terdapat juga individu yang dijangkiti virus ini mengalami cirit-birit dan muntah

Kebanyakan orang yang dijangkiti hanya mendapat tanda-tanda ringan. Namun begitu, terdapat sebilangan kecil pesakit terutamanya golongan berisiko tinggi mendapat tanda-tanda teruk seperti pneumonia (jangkitan paru-paru), encephalitis (jangkitan otak), carditis (jangkitan jantung) serta menyebabkan penyakit yang telah dihidapi (seperti asma) bertambah teruk.

influenza a

Sumber: Discasdermulher

Bagaimana kita boleh dijangkiti?

Cara jangkitan virus influenza bermusim termasuk Influenza A (H1N1) di dalam komuniti adalah melalui cecair  batuk atau bersin daripada pesakit yang dijangkiti Influenza A (H1N1).

Titisan cecair pernafasan yang keluar akan terkena tangan pesakit, permukaan-permukaan (surfaces) atau tersebar ke udara. Seseorang boleh dijangkiti sama ada melalui pernafasan; melalui sentuhan dengan tangan pesakit atau menyentuh permukaan-permukaan yang tercemar dengan titisan cecair pesakit.

Berapa lamakah orang yang dijangkiti boleh menyebarkan virus ini?

Selagi pesakit mempunyai gejala penyakit ini. Biasanya sehingga tujuh (7) hari daripada tarikh mula mengalami gejala penyakit ini terutamanya semasa demam.

Siapakah golongan berisiko tinggi untuk dijangkiti?

Seperti demam selsema, risiko jangkitan influenza A juga ada pada semua bayi. Namun, bayi yang mempunyai penyakit seperti asthma dan diabetis lebih berisiko untuk menghadapi komplikasi apabila didiagnos dengan virus H1N1.

Selain bayi, golongan berisiko tinggi juga terdiri daripada kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis.

Tanpa rawatan awal, komplikasi yang dihadapi boleh melarat sehingga membawa maut. Oleh itu, adalah penting untuk ibu bapa mendapatkan rawatan segera sekiranya bayi demam dan menunjukkan beberapa simptom di atas.

Adakah terdapat vaksin khusus untuk melindungi diri daripada Influenza A (H1N1)?

Orang awam terutamanya golongan berisiko tinggi boleh mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang turut meliputi Influenza A(H1N1) di fasiliti kesihatan swasta yang kini berada di pasaran.

influenza a

Sumber: Firstcry

Apakah rawatan dan vaksin untuk penyakit ini?

Menurut pakar perubatan, pengambilan vaksin setahun sekali adalah ikhtiar yang terbaik dan jimat untuk mencegah diri daripada jangkitan virus Influenza A, terutamanya bagi golongan berisiko. Di Malaysia, ia boleh didapati dengan harga sekitar RM40 ke RM250, bergantung kepada jenis dan jenama.

Namun, bayi yang berusia kurang daripada 6 bulan tidak sesuai untuk mendapatkan vaksin ini kerana didapati suntikan tersebut tidak menunjukkan tindak balas postif untuk melindunginya.  Oleh itu, adalah disarankan untuk ahli keluarga lain untuk mendapatkan vaksin ini dalam usaha mencegahnya daripada menjangkiti bayi. Kanak-kanak yang menghidap penyakit seperti lelah (asthma) atau jangkitan paru-paru juga boleh mengambil vaksin ini untuk perlindungan awal.

Jika telah dijangkiti, ubat antiviral seperti Oseltamivir (Tamiflu®) dan Zanamivir (Relenza®) adalah antara yang boleh digunakan untuk merawatnya. Ubat ini hanya akan diberikan kepada pesakit-pesakit yang telah dimasukkan ke hospital.

Apakah langkah – langkah pencegahan yang boleh diambil oleh orang awam?

 Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa:

  • Mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau hand sanitiser dan mengamalkan adab batuk yang baik;
  • Mengamalkan cara hidup yang sihat.
  • Bagi mereka yang mempunyai gejala Influenza-like-Illness (ILI) adalah dinasihatkan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai/tempat kerja dan perlu mendapatkan rawatan segera di klinik yang berhampiran.
influenza a

Sumber: Statefarm

Adakah pesakit influenza A (H1N1) perlu dikuarantin?

Pesakit influenza A (H1N1) TIDAK perlu dikuarantin. Namun begitu, sekiranya anda berasa TIDAK SIHAT atau mengalami gejala selesema:

  • Anda dinasihatkan untuk berada di rumah dan elakkan berada di tempat kerja, sekolah atau tempat sesak;
  • Berehat dan meminum banyak air;
  • Tutup mulut dan hidung bila batuk dan selesema dan, jika menggunakan tisu, buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah. Bersihkan tangan segera dengan sabun dan air atau bersihkan dengan bahan cuci berasaskan alkohol;
  • Jika anda tidak mempunyai tisu ketika batuk atau bersin, tutup mulut dan hidung dengan dengan lengan dan siku anda;
  • Gunakan mask bagi mengelakkan titisan cecair tersebar kepada orang lain di sekeliling anda. Pastikan anda memakai mask dengan cara yang betul; dan
  • Jika perlu mendapatkan rawatan lanjut ataupun gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk/sakit tekak yang berterusan hendaklah segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

Kalau seseorang pesakit positif H1N1 dan telah sembuh, adakah beliau boleh hadir ke tempat kerja seperti biasa?

Ya, beliau boleh hadir ke tempat kerja seperti biasa. Secara umumnya seseorang pesakit yang telah mendapat rawatan lengkap, tidak akan menjangkiti orang lain.

Itulah dia info tentang Influenza A yang ingin kami kongsikan. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami mengenai gegata, petua cairkan kahak, dan G6PD.

Sumber: Kementerian Kesihatan

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.