Bila anda sudah bergelar seorang ibu, secara automatik anda juga merupakan pendidik kepada anak-anak. Sekaligus anda berperanan sebagai pengajar dan bertanggungjawab dengan didikan yang diberika kepada anak-anak anda. Anak-anak adalahs eperti kain yang berwarna putih dan ibu bapalah yang perlu mencorakkan warna-warna kehidupan anak mengikut acuan masing-masing.

Didikan yang diberikan mestilah mengikut kesesuaian waktu dan keadaan bukan sekadar memberi arahan dan paksaan semata dan itu bukanlah penyebab pembentukkan peribadi insan mulia. Anak-anak juga berhak untuk menikmati zaman kanak-kanak mereka dengan gembira.

Sebagai seorang ibu yang ingin mengawasi anak pasti akan membuat pemantauan mengenai kehidupan seharian. Walaubagaimanapun, pada usia kanak-kanak mereka tidak sewajarnya untuk melakukan perkara yang membebankan kerana dikhuatiri akan memberi tekanan kepada mereka dan mengganggu proses pembesaran anak-anak.

Didikan yang kurang sempurna akan memberi kesan kepada kanak-kanak dari segi fizikal mahupun mental. Kebanyakkan pelajar yang mempunyai masalah disiplin di dalam kelas adalah kerana inginkan perhatian daripada orang lain dan mempunyai masalah di rumah. Mereka juga mempunyai keyakinan diri yang rendah kerana tidak mendapat sokongan moral yang betul dan secukupnya oleh ibu bapa.

Kebanyakan ibu bapa mengharapkan anak mereka menjadi seorang yang sempurna lebih dari kemampuan si anak itu sendiri sedangkan seorang anak itu tidaklah sempurna, mereka juga insan biasa seperti orang lain. Sepatutnya ibu bapa menerima dengan seadanya kelebihan dan kekurangan anaknya.

Hukuman secara fizikal hanyalah memberi kesakitan dan perlu dielakkan dalam proses mendidik anak-anak. Sekiranya mereka ada melakukan kesalahan dan memerlukan pengajaran, nasihatkan mereka terlebih dahulu dan sekiranya kesalahan yang dilakukan memerlukan untuk menjalani hukuman atau denda, terangkanlah kepada mereka kenapa mereka perlu menjalani hukuman tersebut.

mendidik anak

Sudah pastinya tujuan memberi hukuman itu adalah untuk memberi pengajaran tetapi perlu diingat tindakan yang dilakukan perlu diberi perhatian iaitu mengawal perasaan marah agar tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh membuat mereka terasa dan memalukan mereka sekiranya di hadapan kawan-kawanya atau saudara-mara. Terangkan padanya yang anda tidak suka adalah kesalahan yang dilakukan olehnya bukan dirinya.

Didiklah anak-anak dengan nilai-nilai murni supaya baik akhlak, teguh peribadi, bukannya dengan kemewahan dan paksaan. Nasihatkanlah mereka kerana kasih sayang bukan sekadar menunjukkan kuasa. Sesungguhnya mendidik dan memberi ajaran yang betul mengenai kehidupan bagi anak-anak adalah sebahagian daripada tanggunggjawab ibu dan bapa.

 

Kredit gambar kepada : azean87.blogspot.com

Penulis: Tasneem Haneem

Tasneem Haneem merupakan penulis di Bidadari.My. Minat dengan tulisan kekeluargaan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.