Mari kita ketahui info sebenar mengenai hukum pesakit buah pinggang menjalani dialisis di bulan ramadhan.

Kami akan kongsikan pendapat yang diberi oleh Dr. Suhazeli Abdullah.

Pesakit Buah Pinggang yang menjalani dialisis secara umumnya dibenarkan oleh syariat tidak berpuasa. Kategori sakit yang sedemikian boleh menimbulkan mudarat kepada sesetengah individu pesakit. Namun ketabahan menjalankan ibadah puasa pada bulan Ramadhan dengan berlapar dan dahaga itu terserah kepada pesakit itu sendiri. Pakar akan memberikan nasihat secara individu dengan melihat kepada rekod-rekod perubatan pesakit dan kesesuaian melakukan ibadah puasa.

dialisis untuk pesakit buah pinggang
Image via Facebook

Adakah proses dialisis ini akan membatalkan puasa jika pesakit mengambil keputusan untuk terus berpuasa di bulan Ramadhan?

Telebih dahulu berikut adalah ringkasan proses dialisis atau cuci buah pinggang dilakukan. Terdapat dua cara yang biasa;

a. Proses dilakukan menggunakan mesin dialisis (hemodialisis), dimana darah pesakit akan disedut ke dalam mesin dan ia berfungsi membersihkan darah dari bahan-bahan yang memudaratkan tubuh, darah yang telah dibersihkan dikembalikan semula ke dalam tubuh melalui pembuluh darah. Pesakit yang mendapatkan kaedah rawatan ini perlu melalui proses rawatan dialisis mengikut jadual yang ketat. Kebanyakan pesakit perlu melalui proses rawatan ini sebanyak tiga kali seminggu dan proses ini berlaku selama 3 hingga 5 bagi setiap sesi rawatan.

b. Kaedah kedua dilakukan melalui lapisan Peritoneal di perut (maksud perut di sini bukannya gaster / stomach atau usus). Melalui proses ini satu tiub akan dimasukkan melalui satu lubang kecil yang dibuat pada dinding perut yang berada di atas daripada pusat. Kemudian bahan cecair yang mengandungi garam mineral seperti natrium, potassium, magnesium, klorida dan beberapa lagi dimasukkan dalam peritoneal. Sesetengah keadaan sedikit glukos ditambah, bergantung kepada keperluan klinikal setiap pesakit.

Fungsi cecair pekat ini untuk menarik toksin melalui proses osmosis. Kemudian cecair ini akan dikeluarkan semula setelah proses ini selesai. Proses rawatan ini akan berlaku berulang kali dalam satu hari. Ketika proses ini berlaku, pertukaran bahan-bahan asing seperti gula dan garam yang terdapat dalam darah.

Terdapat kajian perubatan yang menyatakan pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis boleh meneruskan puasa mereka tanpa sebarang mudarat yang besar.

Kajian ke atas pesakit hemodialisis oleh beberapa pengkaji melaporkan komplikasi pesakit-pesakit Haemodialisis yang berpuasa dari segi fizikal (contohnya tekanan darah dan berat badan). Didapati keputusan darah menunjukkan garam potassium sedikit tinggi. Namun pesakit dinasihatkan supaya mengawal pengambilan makanan yang tinggi potassium terutamanya semasa berbuka.

Untuk pesakit Peritoneal Dialisis pula, kajian tidak menunjukkan mudarat besar kepada pesakit untuk berpuasa dengan syarat mendapat perhatian dari pihak doktor dan keadaan klinikalnya stabil.

Ulama masa kini berselisih pendapat dalam menentukan hukum melakukan dialisis bagi orang yang berpuasa adakah ia membatalkan puasa atau sebaliknya.

Pendapat daripada Syeikh Abdul Aziz dan Dr. Wahbah Az-Zuhali.

Mereka berpendapat mencuci buah pinggang bererti membekalkan badan dengan darah yang bersih, dalam proses ini juga, turut di sertakan bahan-bahan lain yang mengandungi makanan dan ia dikira membatalkan puasa.

Dengan itu rawatan mencuci buah pinggang menyebabkan berlakunya pertindihan antara proses rawatan dan memberikan makanan kepada pesakit. Dengan ini rawatan dialisis ini dikira membatalkan puasa.

Pendapat daripada Dr. Muhammad Al-Khayat.

Beliau berpendapat mencuci buah pinggang tidak membatalkan puasa. Beliau berhujah, mencuci buah pinggang atau dialisis hanyalah proses suntikan. Proses ini bukannya makan atau minum, sebaliknya ia hanyalah suntikan cecair pada perut tambahan pula cecair yang telah dimasukkan ke dalam tubuh itu akan di keluarkan kembali apabila proses ini selesai. Hal ini sama apabila darah yang dikeluarkan dari tubuh kemudiannya akan dimasukkan kembali kepada tubuh setelah darah tersebut telah ditapis oleh mesin dialisis.

Pendapat daripada Dr. Yusuf al-Qaradawi, Dr. Ali Qurah Daghi dan Syeikh al-Sadahan.

Dr. Yusuf al-Qaradawi, ulama Mesir yang terkenal dalam dunia Islam, Dr. Ali Qurah Daghi iaitu Pensyarah Fekah dari Universiti Qatar dan Syeikh al-Sadahan, Ahli Majlis Fatwa dari kerajaan Arab Saudi juga mengeluarkan pandangan yang sama.

Amalan mencuci darah melalui mesin hemodialisis bagi pesakit buah pinggang tidak membatalkan puasa, tetapi diharuskan bagi mereka berbuka dan menggantikannya di hari lain. Hal ini kerana, proses dialisis tidak dikategorikan sebagai makan atau minum. Proses dialisis juga menggunakan darah sendiri dan kebiasaannya tiada penambahan zat semasa dialisis.

Kesimpulan: Setelah dibincangkan proses yang berkaitan dengan dialisis dan pandangan ulama berkaitan hukum sah batal puasa pesakit yang menerima keadah rawatan ini bagi orang yang berpuasa, dapat disimpulkan bahawa kesahan puasa orang yang menerima rawatan dialisis berkait rapat dengan bahan yang dimasukkan ke dalam tubuh pesakit itu sendiri, jika bahan yang dimasukkan ke dalam tubuh merupakan bahan yang mengandungi zat makanan, puasa penerima rawatan tersebut terbatal.

Manakala jika bahan yang dimasukkan ke dalam tubuh untuk proses dialisis bukan berbentuk makanan atau bahan yang boleh membentuk tenaga, maka proses dialisis tidak membatalkan puasa penerima rawatan tersebut.

Bagi ahli perubatan, proses dialisis adalah satu kewajiban yang perlu dilakukan oleh pesakit. Jika tidak, ianya akan mendatangkan mudarat besar pada diri samada pengsan atau maut. Pilihan yang diberikan kepada pesakit ini adalah dialisis samada hemodialisis atau peritoneal dialisis dan pemindahan organ buah pinggang.

Pemindahan buah pinggang pula sukar dilakukan kerana memerlukan penderma dan kesesuaian penderma-penerima. Justeru dialisis adalah langkah yang biasa dijalankan. Melihat kepada kajian yang dibincangkan di atas, majoriti pesakit tiada masalah besar menjalani ibadah puasa semasa melakukan dialisis. Pilihan untuk berpuasa atau tidak juga perlu dibincangkan bersama pakar kerana setiap individu mempunyai rekod tersendiri penyakit yang mereka alami.

*Maka, kepada pesakit yang ingin membuat dialisis semasa berpuasa tidak perlu bimbang lagi. Seperti yang dinasihatkan doktor, dialisis penting pesakit buah pinggang untuk mengelakkan kemudaratan kepada diri. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang tersayang.

Artikel ini diberi kebenaran penuh oleh penulis. Baca artikel asal di sini.

Penulis: aqirah

Seorang yang rajin dan gemar untuk kongsikan sesuatu yang bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.