Mencari hotel di Hatyai yang murah dan berbaloi? Kami kongsikan 15 hotel yang menjadi tumpuan kebanyakan pelancong ke sini.
Hatyai merupakan salah satu bandar tumpuan untuk percutian luar negara lebih-lebih lagi buat rakyat Malaysia. Setiap kali hujung minggu atau cuti bermula, pasti ramai yang memilih untuk bercuti di Hatyai.
Banyak tempat menarik yang ada di sini. Ramai pelancong berulang kali bercuti ke sini kerana boleh membeli-belah dengan murah dan puas. Bukan itu sahaja, pelbagai makanan menarik dan sedap yang harus dicuba. Nak terokai kesemua tempat dalam masa satu hari memang tidak puas.
Menginaplah walau satu malam agar lebih seronok dan lebih banyak tempat boleh diteroka. Cari hotel yang berbaloi dan kedudukannya yang strategik agar anda mudah untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Jom menginap di hotel-hotel ini:
Jika sebut tentang hotel di Hatyai, Grand Plaza Hotel antara yang muncul di bibir dalam kalangan pelancong yang bercuti di sini. Kedudukannya strategik dan mempunyai pelbagai kemudahan.
Paling penting, parkir disediakan dengan percuma. Masuk sahaja perkarangan hotel, anda dapat melihat perkarangan lobby yang luas dan cantik. Bukan itu sahaja, ada juga tempat mengurut dan kolam renang untuk pelancong bermandi-manda dan berehat. Wi-Fi disediakan buat semua pelancong yang menginap.
Grand Plaza Hotel berada berhadapan dengan Lee Garden Night Market dimana pengunjung boleh food hunting sepuasnya di sini. Nak cari makanan halal dan barangan runcit juga mudah kerana terdapat banyak pilihan yang berdekatan.
Alamat: 24/1 Saneha Nusorn Rd, Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand
Lee Gardens juga berada berhampiran Lee Garden Night Market dan Grand Plaza Hotel. Keluar saja dari hotel tiga bintang ini, penginap boleh teruskan misi mencari makanan sedap!
Parkir mudah untuk dicari kerana luas. Berada di bilik yang tinggi membolehkan pengunjung layan permandangan bandar Hatyai yang cantik. Jika mahu menginap, buat tempahan bilik dengan awal dan boleh dapatkan harga bawah RM 200 untuk satu malam.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk kolam renang, parkir khas dan percuma serta gym. Jarak untuk ke Central Festival Mall juga dekat iaitu 3.1KM sahaja dimana penginap boleh menaiki tuktuk untuk ke sana.
Alamat: 29 Prachathipat Road, Tambon Hat Yai, Amphoe Hat Yai, Songkhla 90110, Thailand
Centara Hotel juga popular di kalangan pelancong Malaysia terutama penginap Muslim kerana Centara Hotel menyediakan pakej sarapan yang halal. Harga bilik juga berpatutan iaitu serendah RM 120 ke atas.
Ramai yang memberi komen positif terhadap keselesaan menginap di sini ekoran kemudahan yang disediakan lengkap. Bukan sahaja bahagian hotel yang cantik, malah bilik juga luas, kemas dan selesa.
Menginap di Centara Hotel juga antara pilihan yang baik kerana berdekatan dengan kawasan tumpuan untuk membeli-belah dan mencari makanan sedap seperti kebab, makanan laut dan sate. Harga barangan di sini juga berpatutan.
Alamat: 3 Saneha Nusorn Rd, Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand
Menginap di The Florida Hotel memudahkan pengunjung untuk ulang alik Lee Garden Market dan Kim Yong Market dengan hanya berjalan kaki. Jika lapar pada waktu tengah malam, berjalan pula ke 7Eleven terdekat yang berada di seberang jalan dan dapatkan makanan viral di Thailand.
Florida Hotel merupakan hotel tiga bintang.
Florida Hotel juga berdekatan dengan Magic Eye 3D Museum iaitu sebuah muzium yang memaparkan karya seni yang tak terjangkau di fikiran. Bergambarlah sepuasnya mengikut latar yang ada agar menjadi lebih realistik.
Alamat: Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand
Jika menginap di The Raise Hotel, anda boleh dapatkan harga serendah RM 128 atau ada yang lebih rendah jika menempahnya awal. Harga menginap di hotel ini juga termasuk pakej sarapan yang halal. Ramai yang kata sarapan di sini sedap!
The Raise Hotel berdekatan dengan Greenway Night Market, Magic Eye 3D Museum dan hanya 1 KM untuk ke Central Festival Mall. Mudah untuk anda bergerak sendiri ke tempat-tempat ini.
Rata-rata pengunjung memberikan komen positif dan memuji terhadap layanan yang diberikan oleh staf serta bilik yang bersih dan kemas.
Alamat: XFWR+V35, Soi 1 Thaveevarn, Tambon Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand
Hatyai Signature Hotel merupakan hotel bajet di Hatyai tapi memberikan kepuasan terhadap ramai pelancong yang menginap di sini. Keseluruhannya terdapat 99 bilik yang terdiri daripada tujuh bilik serendah bawah RM 100 jika membuat tempahan awal.
Hotel empat bintang ini berdekatan dengan lapangan terbang. Ia mengambil masa kira-kira 10 minit untuk ke Asian Night Bazaar, Central Festival Mall dan Greenway Market.
Berada di sini agak tenang sesuai untuk mereka yang mencari ketenangan sewaktu bercuti di Hatyai. Kafe yang berada di The Signature Hotel mempunyai sijil halal dan anda boleh makan sepuasnya. Kolam renang dan gym antara kemudahan lain yang disediakan buat penginap.
Alamat: 44 Noppakaow-Rimmaung Road Korhong Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand
Diamond Plaza Hotel berada di tengah bandar Hatyai dan berdekatan Kim Yong Market. Hotel disini juga boleh didapati dengan harga bawah RM 150. Parkir mudah untuk didapati dan percuma.
Setiap bilik keluasannya memang cukup dan tidak sempit. Dengan harga ini bilik juga bersih dan cantik. Setiap bilik dilengkapi dengan bath tub dan permandangan bandar yang memukau.
Jika anda seorang food hunter, anda boleh menginap di sini kerana jaraknya adalah dua minit sahaja berjalan kaki ke Lee Garden Market. Perut terasa lapar? Datang sahaja ke Lee Garden Market dan pilih makanan yang viral seperti makanan laut dan steak.
Alamat: 62 Thanon Niphatuthit 3, Tambon Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand
Ada yang mencari hotel murah tetapi segenap ruangnya yang cantik? Kami cadangkan anda untuk menginap di Richmann Resort Hotel kerana landskap luar dan dalam yang sangat memukau, dikelilingi bukit menghijau.
Siapa sangka hotel ini berharga RM 200 dan ke atas. Memang puas untuk menginap di hotel yang berkonsepkan tropika, serba mewah dan kelihatan eksklusif. Ramai yang menjadikan hotel ini sebagai lokasi berbulan madu.
Kemudahan lain yang disediakan termasuklah kolam renang, sauna dan taman. Tempat menarik yang berdekatan dengan Richmann Resort Hotel adalah Central Festival Mall.
Alamat: 3 Soi Rattanasopha, Kho Hong, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand
Satu lagi hotel yang instagrammable dan estetik semestinya Casa 33 yang turut menjadi pilihan ramai pelancong Malaysia. Mana tidaknya, semua serba putih bangunannya. Ramai yang memberi komen positif terhadap staf yang mesra dan kemudahan yang lengkap.
Sampai sahaja di perkarangan hotel, penginap akan disajikan dengan ‘welcome drink’. Hotel ini tidak menyediakan sarapan namun terdapat kafe di ruangan bawah. Semak dahulu status halal sebelum memesan makanan di sini.
Hotel viral ini turut menyediakan kolam renang yang bersih. Bagi yang datang menaiki kenderaan sendiri, pihak hotel menyediakan parkir yang mencukupi.
Nampak mahal tapi siapa sangka anda boleh dapatkan dengan harga bawah RM 150! Terlebih berbaloi dengan semua kemudahan diberikan. Jangan lupa ootd di dalam bilik atau perkarangan hotel kerana sememangnya memukau.
Alamat: 33 Nipatsongkrew 1 Soi 4 Rd, Tambon Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand
Crystal Hotel terletak di tengah bandar Hatyai. Hanya mengambil masa kurang lima minit untuk ke Central Festival Mall dengan hanya berjalan kaki kerana hotel ini berhadapan pusat membeli-belah terkenal di Hatyai. Nak ke Asean Night Market juga dekat. Hotel ini antara hotel di Hatyai yang terbaik kerana berada di lokasi yang strategik.
Hotel ini menawarkan pakej bersama sarapan namun buat masa ini tidak mempunyai sijil halal. Menginap di sini pasti puas dan tidak bosan kerana dilengkapi kolam renang, parkir persendirian, gym, taman permainan dan taman untuk bersiar-siar.
Hotel bertaraf empat bintang ini menawarkan harga berpatutan dan kesemuanya RM 200 ke atas untuk satu malam. Jika tempah dengan lebih awal, anda pasti dapat memiliki harga bawah RM 200 termasuk cukai.
Alamat: 4 ถนน กาญจนวนิช ซอย 23 Tambon Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand
ATK Garden Hill antara hotel di Hatyai yang strategik. Mudah untuk pelancong yang melancong secara sendiri, hanya mengambil masa kira-kira lima minit berjalan kaki untuk ke Greenway Market dan Asian Night Market. Naik pula tuktuk untuk ke Lee Garden Market kira-kira 10 minit untuk sampai ke sana.
Setakat ini harga terendah untuk menginap di ATK Garden Hill adalah RM 120. Murah dan mampu milik. Yang penting biliknya luas, kemas dan bersih. ATK Garden Hills Hotel antara hotel di Hatyai yang tersenarai sebagai hotel yang menyediakan pakej sarapan yang halal.
Sekiranya anda membawa anak-anak, bawa mereka bermandi-manda di kolam renang dengan kedalaman yang sesuai untuk kanak-kanak dan dewasa. Permandangan di sini tidak kurang hebatnya dimana penginap boleh melihat bandar Hatyai dengan jelas.
Alamat: 128 Soi Thaveerat, Kho Hong, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand
Hotel Al Fahad berkonsepkan seperti negara timur tengah iaitu Arab. Bukan sahaja perkarangan hotel yang cantik, malah bilik juga diselitkan dengan konsep ini.
Hotel ini turut menyediakan sarapan yang halal dan sedap! Buat mereka yang mencari pakej penginapan dan sarapan, tempah saja hotel ini dan tidak perlu ragu dengan status halalnya. Ruang bilik kelihatan luas dan selesa.
Kolam renang di Al Fahad antara yang terbesar di Hatyai dan mempunyai dua kedalaman berbeza, sesuai untuk dewasa dan kanak-kanak. Jarak untuk ke Central Festival Mall hanya 3KM sahaja.
Alamat: 132 หมู่ที่1 ถนน เลี่ยงเมือง Khuan Lang, Hat Yai District, Songkhla, Thailand
Pilihan bilik di Asian Hotel antara yang berpatutan kerana pengunjung boleh mendapatinya bawah RM 150, lengkap dengan pelbagai kemudahan bilik dan hotel. Empat jenis bilik boleh dipilih dilengkapi dengan kemudahan asas seperti pendingin hawa, water heater, ruangan yang luas serta televisyen.
Asian Hotel berada berdekatan dengan street food. Menginap di sini juga mudah untuk mendapatkan makanan yang halal. Asian Hotel berdekatan Kim Yong Market dan Odean Shopping Mall.
Alamat: 55 Thanon Niphatuthit 3, Tambon Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand
Siam Mansion antara hotel di Hatyai yang menjadi sebutan ramai. Hotel selesa ini boleh didapati dengan harga bawah RM 100. Walaupun ada bilik yang berharga bawah RM 100 namun ruang bilik memang luas, bersih Dan cantik. Ramai yang memuji tentang tilamnya yang empuk, selesa untuk tidur dengan nyenyak.
Bilik paling murah adalah serendah RM 50 namun ia berkonsepkan dorm yang perlu dikongsi. Bilik ini sesuai untuk mereka yang melancong secara solo. Hotel menyediakan ruangan lepak di bahagian bawah dilengkapi sofa empuk, meja makan, water cooler dan microwave.
Namun untuk berada betul-betul di bandar Hatyai, ia mengambil masa 5 minit menaiki tuktuk. Tidak sesuai untuk berjalan kaki kerana jaraknya yang jauh dan mengambil masa lebih kurang 15 minit.
Alamat: 233 Prachathipat Road, Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand
Dah jumpa hotel di Hatyai yang ingin dicuba? Jangan risau, hotel di atas dicadangkan oleh ramai pelancong yang sering kali ke Hatyai. Rata-rata memberi komen positif terhadap keselesaan, harga dan servis yang ditawarkan.
Mencari hotel yang strategik dapat memudahkan pergerakan anda ke tempat-tempat menarik, yang menjadi tumpuan pelancong. Pelancong yang melancong sendiri tanpa perkhidmatan agent khususnya sesuai untuk menginap di hotel-hotel ini. Ada penginapan yang hanya berjalan kaki beberapa minit untuk ke tempat tumpuan dan ada juga yang perlu menaiki tuktuk atau menyewa perkhidmatan e-hailing.
Tempah secepatnya agar anda mendapat harga yang jauh lebih murah dari harga asal. Buat perancangan sebaiknya ketika bercuti dan paling penting, jaga keselamatan anda dan barangan sendiri. Selamat bercuti!
Jom ke tempat menarik di Thailand yang lain iaitu tempat menarik di Krabi dan tempat menarik di Bangkok.