Hakikatnya, terdapat banyak penyakit jarang jumpa yang tidak diketahui umum termasuklah HENOCH SCHONLEIN PURPURA (HSP). Demam? Kadang-kadang ia boleh merujuk kepada masalah atau komplikasi kesihatan lain. 

Bukan itu sahaja, tidak semua jenis demam boleh dibiarkan sembuh sendiri tanpa penggunaan ubat. Maksudnya, sekiranya rawatan yang sesuai lambat atau tidak diberi langsung, keadaan kesihatan yang lebih serius boleh berlaku. Perkara malang inilah yang telah menimpa anak perempuan Puan Adhwa Adnin yang bernama Melinna. Luluh hati melihatnya…

HSP
Imej via Facebook Adhwa Adnin

Henoch Schonlein Purpura(HSP)

Bismillahirrahmanirrahim. Saya pernah janji nak tulis tentang ini, tapi aduhhhh perinciannya panjang. Tapi, saya rasa tak sedap pula kalau tak tunaikan, jadi saya tulis juga, moga-moga bermanfaat. Tapi, panjang ya, saya ni orang detail, tak pandai saya nak ringkaskan. Nak baca buat pedoman, bacalah, tak nak tak apa, simpanan buat kenangan saya.

Apakah Antara Simptom-Simptom Yang Dialami Penghidap HSP?

~HARI PERTAMA~
Melinna demam, Ammar pun demam. Musim budak-budak sakit di taska, almaklum musim raya. Tapi, macam biasalah saya tak bagi dia ubat, jaga makan, bagi rehat, madu + lemon dan beberapa kaedah rawatan alternatif yang lain. Saya harap tubuhnya akan lawan demam dan jadi lebih kuat, tak mengharap bantuan ubat, macam saya adik beradik, mak ajar kami lawan penyakit daripada kecik.

~HARI KEDUA~
Dia masih demam, mengadu sakit kepala, mual (nak muntah) dan sakit perut (tak teruk). Saya pujuk supaya dia kuat dan sabar, peluk dan beri dia keselesaan. Tak boleh nak fokus sangat sebab Ammar pun demam, meragam dan sentiasa mahu menyusu (df).

~HARI KETIGA~
Demam, bintik-bintik dah mula muncul, dia gatal dan tak selesa. Saya bimbang sebab habuk atau hama, saya buka semua cadar dan sarung bantal, basuh bersih, jemur. Penat tak terkata.

~HARI KEEMPAT~
demam Ammar nampak dah kebah tapi Melinna makin lemah. Dia mengadu perutnya makin sakit, tapi, saya salahkan dia kerana tak mahu makan 😭 (my bad!), saya ingat dia masuk angin. Bintik-bintik purple kemerahan di kaki dan tangannya semakin merebak dan jelas. Bukan di atas kulit, dalam, di bawah kulit. Menjelang tengah hari, dia makin kesakitan, kakinya sudah bengkak tak boleh berjalan. Saya terkejut!

ASTAGHFIRULLAH! Anak saya tak boleh menjejakkan kakinya ke lantai. Jari jemari kakinya tak boleh digerakkan. Bintik-bintik (purpura) penuh di tapak kaki, betis hingga ke punggung. Melinna menangis-nangis kesakitan. Saya bingung tak keruan, call suami mohon bantuan, agar anak kami segera dibawa jumpa pakar.

HSP
Imej via Facebook Adhwa Adnin

Petang itu, kami jumpa PAEDIATRICIAN (pakar kanak-kanak) di Bangi. Lepas pemeriksaan dan soal jawab, dr sahkan Melinna terkena satu penyakit yang RARE 👉HENOCH SCHONLEIN PURPURA. Tubuhnya terdedah kepada virus (berasal drp penyakit batuk/demam/selsema), kemudian virus tersebut trigger sistem pertahanan tubuhnya (antibodi) jadi gila/pening lalu menyerang tubuh badannya sendiri. Kata doktor, penyakit ini umpama askar makan tuan, antibodi yang patut serang penyakit serang tubuh badan sendiri.

Kesannya kapilari darahnya (yang halus) bengkak (inflame) dan pecah menyebabkan purpura (bintik2 purple merah muncul di bawah kulit), mual, muntah, pening, tak selera, sakit pada sendi (arthritis) upper limb lower limb, sakit perut.

Ketika itu, ketika kami bawa dia jumpa doktor, dia cuma sakit sendi dan bengkak di bahagian kaki, tak boleh jalan serta tak selera makan, simptom lain belum muncul. Doktor kata nanti akan baik sendiri, boleh jadi sekejap, sehari dua hari atau boleh juga jadi lama (sebulan), tak ada ubat, pantau keadaannya, doktor yang cakap begini, sebutir-sebutir saya ingat.

Kami pun lega, balik rumah. Ikut pemahaman saya, kalau kena penyakit akibat virus, once dah masuk, kena tunggu dia settle, baru baik, tak ada ubat. So terpaksa hadap simptom dia, saya ingat macam tu lah. Jadi, bersedia mental fizikal nak hadapi segala simptom dengan harapan satu-satu akan settle dan Melinna akan baik sendiri.

~HARI KELIMA~ 
Hari Jumaat, tangannya sakit, jari jemari tak boleh bergerak. Pegang botol susu pun tak boleh. Bayangkanlah, tak boleh berjalan dan tak boleh pegang apa-apa. Punyalah dia sakit, kalau kita sentuh sahaja jarinya, dia menjerit sekuat hati. Kata suami, macam orang kena gout. Jari jemari dan tapak tangannya bengkak macam belon. Kali ini, ayahnya pula ambil giliran jaga, kata ayahnya, nampak betul-betul Melinna terseksa.

Petang itu, sakit kakinya dah hilang dia dah boleh jalan. Tapi, malamnya pula dia sakit perut yang maha dahsyat. Dia tak tidur satu malam. Merintih-rintih sakit, paling sedih terdengar dia cakap seorang-seorang di tengah malam “Allah, Allah tolonglah adik. Adik sakit sangat Allah. Ayah, tolonglah adik, buatlah apa pun ayah, perut adik sakit sangat ayah”. Pecah empangan air mata mama, dik.

~HARI KEENAM~
Sabtu, tangannya dah boleh digerakkan. Masih sakit perut dan simptom seterusnya keluar, dia muntah-muntah dan muntah, sebanyak-banyaknya. Lebih 8 kali dia muntah hari tu. Melinna lemah, tak selera, tangan dah boleh gerak dan pegang, kaki dah boleh jalan. Mama dan ayah sedikit lega, petanda baik, maybe virus dah hampir selesai ‘buat kerja’ dan dah nak keluar daripada badan adik.

~HARI KETUJUH~
Ahad, nampak tak ada simptom baru keluar, dan semua simptom dah hilang kecuali purpura dan tak selera makan. Saya legaaaaaaaa sangat ingat dia dah nak sihat. Jiran saya, seorang pensyarah kejururawatan (nursing lecturer) dah bising nasihatkan agar kami bawa ke hospital, dia bimbang takut ada internal bleeding. Tapi, saya optimis, harap sangat anak saya dah okay, saya percaya pakar kanak-kanak yang kami rujuk sebelum ini.

Apakah Yang Boleh Berlaku Pada Minggu Ke-2 Jika Penghidap HSP Tidak Mendapat Rawatan Sesuai?

~HARI KELAPAN~
Isnin, saya minta suami jaga dia bawa ke office, tak berani nak lepas ke taska lagi. Dan perkara yang paling ditakuti terjadi, petang itu, serangan kedua berlaku, sakit perutnya datang semula. Menjerit-jeritlah dia dalam bilik ayahnya, kakinya bengkak semula dan tak boleh berjalan, tangannya juga, kali ini dahsyat sebab semua simptom serang serentak!

Sebaik ayahnya khabarkan pada saya, terus saya tersentak! Wake up call, saya kena cari pendapat kedua, bawa jumpa pakar lain. Saya tak sanggup nak lalu sekali lagi cycle simptomnya keluar.

Saya whatssapp kawan saya Azlina Nekmad, mohon pendapat. Terus dia rujuk kepada seorang pakar (prof) ppum di tempatnya bertugas. MasyaAllah, lepas saya dapat respon daripada dia, barulah saya tahu keadaan anak saya teruk dan saya tak sepatutnya biarkan dia tanggung kesakitan. Wallahi, saya tak tahu. Dia gesa agar saya terus ke hospital, sama juga dia bimbang ada internal bleeding atau kesan pada ginjal. Kami ke KPJ Kajang berjumpa Dr Asmuni, jiran kami (nursing lecturer) tu yg suggest.

Apakah Rawatan Yang Penghidap HSP Boleh Dapat Sementara Menunggu Keputusan Ujian?

Di hospital, doktor periksa Melinna dan dia terus ditahan. Malam itu juga dia diberi steroid untuk kurangkan azab sakit dia. Malam itu buat pertama kalinya dalam seminggu ini dia tidur nyenyak senyenyaknya. Ada 3 jenis ubat yg diberi sepanjang kami di sana, hydrocort utk redakan inflammation, ubat demam dan ubat sapu.

Apakah Punca Yang Boleh Menyebabkan HSP Serta Rawatan Sesuai? 

Melinna buat semua ujian, ujian darah, ujian air kencing dan ultra sound. Alhamdulillah tak ada pendarahan dalam perutnya dan ginjalnya juga selamat. Hasil ujian darah mendapati Melinna terdedah dengan STREPTOCOCCUS punca yang trigger antibodinya menggila menyebabkan HSP.

Doktor beri antibiotik untuk Streptococcus. Dari mana Melinna dapat ni? Daripada orang yang batuk, sakit tekak, selsema atau ada pneumonia. Sangat subjektif sebab kami hidup dalam persekitaran begini. Mungkin orang lain kena tak jadi apa, tapi apabila dia yang terdedah, tubuh badannya bereaksi begini. Hampir 2 minggu dia bertarung.

Sepanjang di hospital, dia tak menangis saat dicucuk diambil darah, atau dimasukkan ubat melalui salur darahnya, dia tahan saja. Jadi saya tak boleh bayang bagaimana agaknya tahap kesakitan semasa simptom-simptom HSP menyerang sampai dia menjerit-jerit begitu. Kasihan Melinna. 4 hari sahaja kami di KPJ, seterusnya kami discharge, sambung habiskan ubat di rumah ikut tempoh dan preskripsi doktor serta berterusan pantau keadaannya.

Saya ambil cuti separuh gaji jaga anak saya di rumah. Biar dia sihat betul-betul barulah saya lepaskan dia ke taska semula. Doktor pun dah pesan HSP boleh berulang, 6 bulan baru boleh declare bebas sepenuhnya.

Seminggu dia di rumah, selera makannya mencanak-canak, balas dendam barangkali. Saat bertemu doktor utk pemeriksaan susulan, doktor terkejut melihat dia sudah montel dan beratnya naik begitu cepat. Doktor sahkan dia dah sihat dan boleh kembali ke taska. Alhamdulillah.

Setakat hari ini Melinna sihat dan cergas. Saya dan ayahnya usahakan segala yang boleh kami lakukan untuk tingkatkan antibodi dan fungsi tubuhnya. Kami hidup dalam kawasan membangun, kaya debu dan pencemaran, maka perlu tentang dengan ilmu untuk pencegahan.

Apakah Rumusan Penting Mengenai HSP?

  • HSP bukan penyakit berjangkit.
  • Punca HSP TIDAK DIKETAHUI, lebih kepada reaksi tubuh seseorang terhadap serangan bakteria/virus. Dalam kes Melinna, Streptococcus, dalam kes orang lain WALLAHUALAM.
  • Simptom HSP Melinna keluar satu per satu (fasa pertama), reda 1 hari, keluar serentak (fasa kedua)
  • Satu lagi simptom yang saya tak cerita kat atas, sembelit. Iya, melinna sembelit, AZAB. Saya peluk anak saya semasa dia membuang, menangis dan menjerit, saya lap peluh di dahinya, sedih tak tergambar
  • Pesakit HSP boleh pulih sepenuhnya dengan rawatan yang sesuai
  • HSP yang teruk boleh menjejaskan ginjal 
  • HSP boleh terjadi kepada orang dewasa 
  • Total tempoh Melinna tanggung simptom sebelum ditahan di wad ; 9 hari.
  • Total tempoh terima rawatan di KPJ KAJANG; 4 hari 
  • Total tempoh jagaan penuh di rumah ; 9 hari

Sorry kalau ada kesalahan dari segi penerangan perubatan, saya bukan doktor tapi saya cuba memahami penyakit anak saya daripada apa yg saya saya lihat, lalui dan kata-kata doktor. Cara kerja penyakit, beza virus dan bakteria, hubungan virus dan bakteria tidaklah begitu saya kuasai (bukan bidang saya). Justeru, sekiranya terdapat kekurangan, harap dimaafkan.

*Wah, bahayanya! Jadi, supaya lebih ramai lagi yang berpengetahuan mengenai Henoch Schonlein Purpura (HSP), tunggu apa lagi, share ya!

Penulis: Fadhilah

Seorang yang enjoy movies, bersiar-siar, bersukan & sangat suka kucing. Hobi menulis di Bidadari.my bagaikan sebuah laman persinggahan dari hidup seorang pelajar pascasiswazah di UKM.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.