Islam telah menyediakan pelbagai garis panduan dari ayat Al-Quran dan hadis memilih pasangan yang tepat dan betul.

Bagi mereka yang tidak mengamalkan dan mempraktikkan dalam kehidupan tidak kiralah ia lelaki atau perempuan sudah tentu mereka akan menganggap yang perkahwinan itu ibarat satu perjudian.

Sebaliknya yang memahaminya, perkahwinan merupakan pelaburan kita sebagai seorang hamba Allah untuk kebaikan di dunia dan akhirat.

Justeru itu, artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai beberapa ayat Al-Quran dan hadis memilih pasangan bagi memudahkan anda mencari jodoh yang sesuai mengikut perintah agama.

Hadis 1


تنكح المرأة لأربع: لمالها ولحسبها وجمالها ولدينها، فاظفر بذات الدين تربت يداك

“Wanita biasanya dinikahi kerana empat hal: kerana hartanya, kerana kedudukannya,kerana parasnya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu pilih karena agamanya (keislamannya), sebab kalau tidak demikian, nescaya kamu akan merugi.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Pertama, hadis ini menerangkan tentang kriteria memilih calon isteri yang tepat. Empat faktor yang disebutkan dalam hadis adalah harta, keturunan, rupa paras, dan agama.

Menurut jumhur ulama’, setiap perkara di dalam hadis tersebut perlu ditekankan dan diambil kira, namun yang paling penting ialah ia perlu berkait dengan agama. 

Setiap daripada ciri-ciri yang kita letakkan untuk pasangan kita mestilah bersandarkan kepada Islam dan melihat kepada agamanya. 

Sekiranya baik agama seorang wanita itu, maka tentunya harta dan kecantikannya, akan digunakan kepada jalan yang benar dan berupaya juga melahirkan zuriat-zuriat yang soleh solehah dari rahimnya.

Hadis 2


الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَاالْمَرْأَةُ الصَّالِحَة

“Dunia adalah hiasan, dan sebaik-baik hiasan dunia adalah wanita solehah.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Kedua, bagi seorang lelaki berusahalah untuk menikahi seorang wanita solehah. Ciri-ciri wanita solehah itu ada disebutkan dalam satu hadis.

Daripada Abdurrahman bin Auf berkata, Rasulullah SAW bersabda:


عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّتْ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا وَصَامَتْ شَهْرَهَا وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا قِيلَ لَهَا ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

“Apabila seorang wanita melaksanakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, nescaya akan dikatakan kepadanya; ‘Masuklah kamu ke dalam syurga dari pintu mana saja yang kamu inginkan." - (Hadis Riwayat Ahmad, No. 1573)

Dalam hadis di atas tadi, boleh kita simpulkan bahawa wanita solehah mempunyai ciri-ciri seperti:

  • Melaksanakan solat lima waktu dengan sempurna.
  • Berpuasa wajib di bulan Ramadhan.
  • Menjaga kemaluan (menjauhi zina).
  • Taat dan berbakti kepada suami.

Bahagianya seorang suami selepas bertaqwa kepada Allah adalah memiliki seorang isteri yang solehah.

Sabda Nabi SAW:

أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ

“Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya." - (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 1664)

Wanita solehah tidak mudah terpesona dengan godaan dunia. Apabila dipandang, ia menenangkan. Dan apabila berpergian, dia menjaga maruah dirinya itu.

Hadis 3


تزوجوا الودود الولود فاني مكاثر بكم الأمم

“Nikahilah wanita yang penyayang dan subur. Kerana aku berbangga dengan banyaknya umatku.” – (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Ketiga, kita digalakkan untuk menikahi wanita yang subur. Kunci kebahagian rumah tangga adalah apabila mana-mana pasangan mendapatkan cahaya mata.

Bahkan dengan hadirnya zuriat juga, ini akan menguatkan lagi hubungan di dalam perkahwinan tersebut. 

Justeru itu galakan untuk lelaki mengahwini wanita yang subur adalah boleh melahirkan ramai anak bagi meramaikan umat Nabi Muhammad SAW.

Hadis 4


مَنْ أَرَادَ أَنْ يَلْقَى اللَّهَ طَاهِرًا مُطَهَّرًا فَلْيَتَزَوَّجْ الْحَرَائِرَ

“Barang siapa yang mahu menghendaki Allah dalam keadaan suci dan disucikan, maka hendaklah dia mengawini wanita merdeka.” – (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Keempat, mencari pasangan atau calon suami / isteri yang bujang. Jangan mencari jodoh yang sudah menikah sama ada lelaki atau perempuan.

Hadis 5



أَنْ يَبِيعَ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَلَا يَخْطُبَ الرَّجُلُ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ حَتَّى يَتْرُكَ الْخَاطِبُ قَبْلَهُ أَوْ يَأْذَنَ لَهُ الْخَاطِبُ

“Sesama mukmin adalah bersaudara, maka baginya tidak halal menawar barang yang telah ditawar (dibeli) oleh saudaranya dan tidak halal meminang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya, kecuali bila saudaranya telah membatalkan pinangan.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelima, jangan kita meminang di atas pinangan orang lain. Hukumnya boleh jatuh haram sekiranya kita memiliki empat ciri-ciri ini iaitu:

  • Mengetahui pinangan lelaki lain.
  • Mengetahui jawapan terhadap pinangan tersebut.
  • Telah jelas penerimaan wanita tersebut kepada pinangan itu.
  • Pinangan pertama adalah pinangan yang dibenarkan di sisi syarak.

Sekiranya ciri-ciri di atas tadi tidak ada pada diri kita, maka ia tidak termasuk dalam pengharaman yang disebutkan itu.

Hadis 6


إِذَا أَتَاكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ، إِلا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

“Jika datang kepada kamu sesiapa yang kamu reda akan agama dan akhlaknya maka kahwinkanlah dia. Jika kamu tidak melakukannya maka ia akan menjadi fitnah di bumi dan juga akan berlaku keburukan.” – (Hadis Riwayat Al-Tabarani)

Keenam, menerima pinangan yang kita redha calonnya mempunyai agama dan akhlak yang baik.

Dalam hal ini, pernahkan anda terfikir mengapa agama dan akhlak disebutkan secara berasingan dan bukannya sekali atau salah satu daripadanya sahaja? Apakah bezanya agama dan akhlak?

"Adakah orang berakhlak itu tidak beragama?"
"Adakah orang beragama itu tidak berakhlak?"

Jawapnya, orang yang beragama tidak semestinya ia berakhlak. Sebaliknya, orang yang berakhlak pasti mereka beragama.

Contohnya, seseorang yang rajin solat, selalu berjemaah di masjid, ringkasnya bila sebut bab agama dia memang bagus.

Namun begitu, bila berbicara suaranya suka meninggi, menguriskan hati orang lain, menghina, mengherdik, dan mudah berkasar dengan perbuatannya kepada orang lain.

Di sinilah yang kita perlu kenal pasti calon yang terbaik dari akhlak dan agamanya.

Surah Al-Baqarah, ayat 221


وَلَا تَنْكِحُوا الْمُشْرِكٰتِ حَتّٰى يُؤْمِنَّ ۗ وَلَاَمَةٌ مُّؤْمِنَةٌ خَيْرٌ مِّنْ مُّشْرِكَةٍ وَّلَوْ اَعْجَبَتْكُمْ ۚ وَلَا تُنْكِحُوا الْمُشْرِكِيْنَ حَتّٰى يُؤْمِنُوْا ۗ وَلَعَبْدٌ مُّؤْمِنٌ خَيْرٌ مِّنْ مُّشْرِكٍ وَّلَوْ اَعْجَبَكُمْ ۗ اُولٰۤىِٕكَ يَدْعُوْنَ اِلَى النَّارِ ۖ وَاللّٰهُ يَدْعُوْٓا اِلَى الْجَنَّةِ وَالْمَغْفِرَةِ بِاِذْنِهٖۚ وَيُبَيِّنُ اٰيٰتِهٖ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُوْنَ ࣖ – ٢٢١


“Dan janganlah kamu nikahi perempuan musyrik, sebelum mereka beriman. Sungguh, hamba sahaya perempuan yang beriman lebih baik daripada perempuan musyrik meskipun dia menarik hatimu. Dan janganlah kamu nikahkan orang (laki-laki) musyrik (dengan perempuan yang beriman) sebelum mereka beriman. Sungguh, hamba sahaya laki-laki yang beriman lebih baik daripada laki-laki musyrik meskipun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka, sedangkan Allah mengajak ke surga dan ampunan dengan izin-Nya. (Allah) menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia agar mereka mengambil pelajaran.”

Akhir sekali, jangan berkahwin dengan pasangan yang melakukan syirik kepada Allah. Allah SWT memerintahkan orang lelaki dan perempuan yang beriman untuk memilih pasangannya dalam kalangan orang yang beriman juga.

Dalam masa yang sama tidak memilih daripada golongan yang musyrik walaupun yang musyrik tersebut menarik perhatian mereka.

Selain dari panduan hadis memilih pasangan ini, anda juga boleh baca artikel tips kami yang lain berkenaan perkahwinan seperti:

Sumber:

  1. Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-701: Benarkah Wanita Yang Paling Malang AdalahWanita Yang Salah Pilih Suami? Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Kriteria Mencari Jodoh. IKIM
  3. Pesan Rasulullah Cari Empat Ciri Ini Dalam Seseorang Untuk Tahu Dia Jodoh Kita. Iluminasi

Penulis: hannani

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.