Bukan sesuatu yang luar biasa untuk mendengar tentang gout. Mendengar seseorang diserang gout membuatkan kita terbayang ibu jari kakinya yang membengkak dengan rasa berbisa, serta makanan-makanan yang tidak boleh dimakan oleh pesakit tersebut. Benarkah pandangan orang ramai mengenai hal ini?

gout
Sumber: Health

Gout merupakan sejenis arthritis. Ia adalah kesan menyakitkan akibat pembentukan kristal pada sendi. Gout sebenarnya bukan sahaja boleh menyerang pada bahagian ibu jari kaki, malah ia turut boleh mengenai tangan, siku, jari, dan cuping telinga.

Gout memerlukan rawatan berterusan yang lama. Sekiranya tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kerosakan pada tulang, tulang rawan dan buah pinggang.

Punca Gout

Gout berpunca daripada lebihan asid urik. Asid urik dihasilkan oleh tubuh dan diet pemakanan. Asid urik yang berlebihan akan disaring menerusi ginjal dan dikeluarkan melalui air kencing. Jika tubuh menghasilkan terlalu banyak asid urik atau gagal mengumuhkannya di dalam air kencing, kristal urat monosodium akan membentuk  di dalam sendi dan tendon.

Kristal ini menyebabkan keradangan teruk yang menyebabkan bengkak dan kemerahan yang menyakitkan.

Tapi, dari manakah asid urik ini datang sehingga menyebabkan gout dan serangannya? Benarkah makanan makanan laut secara berlebihan menjadi puncanya? Berikut disenaraikan punca sebenar anda mendapat gout dan punca anda diserang gout;

  • Minuman beralkohol atau arak
  • Kecederaan
  • Prosedur pembedahan
  • Dimasukkan ke hospital
  • Tempoh stres
  • Reaksi kepada diet yang tinggi makanan berdaging dan makanan laut.
  • Dadah tertentu seperti antibiotik
gout
Sumber: Bharian

Gout juga boleh muncul bersama-sama atau berhubung kait dengan penyakit lain yang menyerang tubuh seseorang individu. Masalah atau penyakit lain tersebut ialah;

  • Tumor atau kanser
  • Gangguan pada ginjal atau buah pinggang
  • Kekurangan enzim
  • Peracunan plumbum
  • Psoriasis
  • Pesakit dengan pemindahan organ kerana terpaksa mengambil ubat-ubatan
  • Tekanan darah tinggi
  • Obesiti
  • Diabetes

Terdapat juga gout yang kurang sakit yang dikenali sebagai pseudogout. Ia berpunca daripada kristal kalsium pyrofosfat pada sendi. Pseudogout juga boleh menyerang ibu jari kaki, tetapi lebih kerap menyerang pada bahagian yang lebih besar seperti permukaan tengah kaki iaitu di mana ikatan tali kasut anda berada, lutut, pergelangan tangan atau buku lali.

Namun begitu, pseudogout lebih banyak menyerang mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan tidak mengira jantina. Ini berbeza dengan gout yang biasanya menyerang lelaki berusia 30 tahun ke atas dan menyerang wanita yang sudah menopause.

Mungkin ini bukan berita baik untuk lelaki tetapi gout lebih selalu menyerang lelaki berbanding wanita. Sebab itu kita lebih kerap mendengar pengalaman gout daripada lelaki dan bukan wanita.

Simptom Gout

Jika gout tidak dirawat untuk jangka masa panjang, kristal akan membentuk benjolan di bawah kulit di sekeliling sendi. Walaupun tidak sakit, tapi benjolan yang dinamakan tophi ini akan memberi kesan kepada rupa sendi. Anda pasti tidak mahu sendi anda kelihatan buruk disebabkan penyakit yang sebenarnya boleh dirawati. Oleh itu, jika anda melihat tanda-tanda berikut, lakukan tindakan pantas bagi mengawalnya;

  • Sakit tiba-tiba pada sendi yang biasanya menyerang di tengah malam atau awal pagi.
  • Sendi berasa lembut.
  • Sendi berasa hangat apabila disentuh.
  • Kulit berkilau berwarna merah atau ungu pada sendi yang terkesan.
  • Kekejangan pada sendi

Simptom-simptom ini berkembang secara mendadak hanya dalam masa beberapa jam dan berlarutan selama tiga hingga sepuluh hari. Selepas tempoh ini, rasa sakit ini akan berkurangan dan keadaan sendi akan kembali normal dengan tindakan merawat yang pantas. Berikut merupakan corak bagi simptom gout:

  • Serangan pada waktu malam walaupun ia boleh juga berlaku pada bila-bila masa.
  • Berkembang dengan pantas selama beberapa jam.
  • Bertahan antara 3 hingga 10 hari
  • Serangan berlaku lagi setiap beberapa bulan atau tahun.
  • Serangan akan lebih kerap berlaku jika tiada rawatan.

Malangnya, serangan gout tidak dapat dijangka dan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Lekaslah berjumpa dengan doktor jika anda rasa anda mempunyai gout tetapi belum merujuk kepada doktor untuk pengesahan. Lebih-lebih lagi jika anda berasa sakit yang amat sangat pada sendi dan suhu tubuh meningkat atau demam. Anda mungkin sedang diserang gout.

gout
Sumber: Heart

Rawatan Gout

Rawatan untuk penyakit gout meliputi ubat-ubatan bagi melegakan kesakitan dan juga perubahan gaya hidup untuk mengelakkan serangan seterusnya.

Apabila gout menyerang satu bahagian sendi, ia juga boleh merebak ke bahagian sendi yang lain lalu menyebabkannya kelihatan bengkak dan memerah. Ini memang sangat menyakitkan.

Bagi yang risau dengan keadaan yang mengganggu urusan harian ini, ketahuilah bahawa ada cara untuk mengawal gout.

Biasanya pesakit akan diberikan ubat untuk dimakan. Ubat ini membantu mengurangkan kesakitan semasa serangan dan mengurangkan pembentukan asid urik yang menyebabkan serangan gout tersebut.

Pesakit dinasihatkan mendapatkan nasihat doktor untuk jenis ubatan yang perlu diambil. Ini kerana ubatan yang diperlukan bergantung kepada tahap kesihatan pesakit seperti keadaan buah pinggang dan kesan sampingan pengambilan ubat-ubatan tersebut terhadap pesakit.

Ini kerana ada pelbagai jenis ubat yang boleh diambil oleh pesakit. Namun, sesetengah ubat boleh memberi kesan sampingan seperti sakit kepala, cirit-birit, ruam, ketakcernaan dan sebagainya. Oleh itu, cuba fahami setiap ubat-ubatan yang anda ambil dengan berbincang dengan doktor.

Bercakap mengenai pengambilan ubat-ubatan, ubat yang diberikan ini mestilah dimakan secepat mungkin selepas anda menyedari adanya serangan gout.

Apabila anda diserang gout, anda juga perlu merehatkan bahagian yang sakit dan cuba mengangkatnya. Elakkan bahagian itu daripada terhantuk atau tercedera. Anda juga boleh mengurangkan kesakitannya dengan pek ais pada bahagian yang sakit apabila suhu mulai normal. Tetapi, jangan letakkan ais melebihi 20 minit kerana meletakkan pek ais terlalu lama boleh menyebabkan kerosakan pada kulit.

Pesakit juga boleh mengelakkan serangan gout dengan mengamalkan yang berikut:

  • Bersenam dan diet seimbang bagi menjaga berat badan.
  • Minum air pada kuantiti yang banyak.
  • Jauhi minuman bergula.
  • Elakkan pengambilan alkohol yang berlebihan.
  • Kurangkan makan daging terutama hati, limpa dan makanan laut.
  • Dapatkan protein anda daripada makanan tenusu rendah lemak seperti keju, susu dan yogurt.
gout
Sumber: Qataronlonenadgas

Walaupun ramai orang menganggap gout bukan penyakit yang serius, namun ia tetap memberikan kesan kepada psikologi pesakit. Apabila mood pesakit terjejas kerana kesakitan yang dialami, maka ia sekaligus memberi kesan kepada kerja dan keadaan di rumah.

Ia betul-betul mengganggu kerana pesakit tidak dapat bergerak bebas lalu menyukarkan untuk melakukan urusan harian. Sekiranya tidak mendapat sokongan, ia mungkin boleh membawa kepada tekanan.

Oleh itu, mulakanlah hidup yang sihat dengan menjaga pemakanan dan kesihatan diri. Ia juga belum terlewat untuk mengubah gaya hidup walaupun anda telah diserang gout.

Bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang mempunyai penyakit gout, inilah masanya untuk menghulurkan bantuan anda. Berikan sokongan dan bantu mereka melancarkan urusan harian mereka. Bersama-samalah menjalani gaya hidup sihat.                     

Rujukan:

Penulis: Samsiah Ahmad

Merupakan salah seorang penulis di Bidadari.My. Berminat dengan ilmu kerohanian dan lukisan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.