Ibu yang mengandung bukan saja akan mengalami perubahan bentuk badan dengan penambahan berat malah bahagian perut juga akan mula timbul garis hitam.

garis hitam di perut ibu mengandung
image via : Parenting Dream

Pasti ibu-ibu yang pertama kali mengandung berasa pelik dan risau bila ternampak garis hitam yang memanjang dari bahagian atas kawasan perut hingga ke bawah ni. Malah apabila usia kandungan semakin membesar maka akan semakin jelas lagi garisan hitam tersebut. Apapun jangan risau, ianya adalah normal.

5 Maksud Garis Hitam Pada Perut Ibu Hamil Yang Patut Diketahui

Apa pun jangan khuatir dan cemas, apa maksud garisan pada perut wanita mengandung dan adakah ia akan hilang? InshaAllah dengan membaca artikel ini ibu-ibu boleh tahu apakah maksud garis hitam tersebut. Bolehlah kita pakat ketahui sama-sama apakah maksud sebenar pada garis hitam di perut ibu mengandung ini supaya dapat lebih memahami.

1. Garis Hitam Di Perut Ibu Hamil Bukan Kerana Kesan Regangan

Ramai yang berpendapat bahawa garis hitam ini adalah kesan akibat regangan. Sebenarnya ia terjadi adalah disebabkan hormon. Sesetengah ibu mengandung akan mendapati garis hitam di perut adalah lebih hitam.  Lazimnya ini terjadi kepada perut ibu mengandung yang mempunyai kulit yang lebih gelap.

2. Garis Hitam Di Perut Ibu Hamil Berlaku Disebabkan Oleh Hormon

Garis hitam pada perut terjadi disebabkan oleh perubahan pada horman ibu mengandung.  Peningkatan hormon estorgen dan progesteron merupakan faktor utama garis hitam ini timbul. 

Perubahan hormon ini juga membuatkan melanin iaitu pigmen warna bertindak membuat kulit beransur gelap malah kalau diperhati hormon ini juga adalah penyebab perubahan warna di sekitar puting susu (areola) menjadi kecoklatan dan lebih gelap bergantung pada warna kulit seseorang ibu mengandung.

3. Warna Garis Berbeza Mengikut Faktor Warna Kulit

Garis di perut sebenarnya dimiliki semua orang cuma setiap orang berbeza warnanya mengikut warna kulit.  Garis ini mempunyai dua panggilan nama. Bagi ibu yang berkulit gelap, garis hitam ini akan jelas gelapnya dan dipanggil sebagai linea negra manakala bagi ibu yang berkulit cerah pula garis ini akan kelihatan lebih putih yang disebut sebagai linea alba.

4. Tidak Mendatangkan Sebarang Bahaya Pada Kandungan

Garis hitam pada perut ibu mengandung ini langsung tidaklah merbahaya kepada ibu mahupun pada kandungan.  Apa yang penting ibu yang mengandung perlu menjaga kesihatan badan dan bayi dalam kandungan selama tempoh mengandung hingga tiba waktu kelahiran.

5. Boleh Menjadi Petanda Yang Tubuh Ibu Kurang Asid Folic

Sebuah kajian yang dilaporkan dalam Journal of Family Medicine and Primary Care mendapati antara punca munculnya garis hitam di perut ibu mengandung disebabkan oleh kekurangan asid folik dalam tubuh. Kalau nak tahu, asid folik ini sangat penting!

Ianya amat perlu untuk perkembangan janin di dalam kandungan. Asid folic juga dapat mengelakkan anemia (masalah kurang darah atau darah rendah), mencegah kecacatan bayi dalam kandungan serta menjaga kondisi kulit ibu semasa sedang hamil.

6. Garis Hitam Ini Tidak Sebarang Kaitan Dengan Penentu Jantina Bayi

Orang lama rajin mengaitkan garis hitam di perut ibu hamil ini sebagai penentu kepada jantina bayi yang bakal dilahirkan kelak. Kata mereka jika tanda garisan ini berhenti sehingga ke pusat maka itu membawa makna bahawa anak dalam kandungan si ibu itu adalah anak perempuan.

Adalah tidak benar sama sekali tentang anggapan dan ramalan garis hitam pada perut ibu mengandung adalah penentu akan jantina bayi dalam kandungan. Dikatakan sekiranya garis membentang dari tulang kemaluan hingga ke pusat, bayi tersebut adalah perempuan dan sekiranya membentang sehingga ke bawah tulang rusuk, bayi yang bakal lahir adalah lelaki.

Ada juga yang mengatakan jika garis hitam kelihatan pada perut ibu mengandung, bayi yang bakal lahir adalah bayi lelaki. Jangan percaya mitos ini ya takut nanti ada ibu mahupun bapa makan hati kerana terlalu berharap!

garis hitam di perut ibu mengandung.png
image via : Hello Sehat

Malah di sebut juga yang bidan-bidan kampung masih ada yang berpendapat bahawa sekiranya pada perut si ibu itu ada garisan yang sangat ketara bermakna sis ibu tersebut akan mudah bersalin nanti. Terus terang itu semua mengarut! Kita sebagai umat Islam perlu yakin pada ketentuan Allah SWT bukannya pada perkara yang sebegini.

Apakah Garis Hitam Di Perut Ibu Mengandung Akan Hilang Selepas Melahirkan?

Untuk perkara ini, ia bergantung pada tubuh si ibu itu sendiri. Ada sesetengahnya, garis hitam ini akan hilang dengan sendiri selepas melahirkan. Namun tempoh hilangnya garis hitam ini tidak pula dapat dipastikan tetapi dianggarkan lebih kurang dalam jangka 3 hingga 4 bulan selepas kelahiran.

Bagi ibu-ibu yang berkulit agak gelap pula, garis hitam ini agak lambat untuk hilang. Berbeza pula dengan ibu-ibu yang berkulit cerah kerana garis hitam di perut ibu berkulit cerah ini akan lebih cepat hilang.  Untuk mempercepatkan lagi proses hilangkan garis gelap di perut ibu mengandung ini, ibu-ibu sebaiknya menghindari dari terkena sinaran matahari secara langsung dan boleh juga gunakan krim pencerah kulit.

Walaubagaimanapun ibu-ibu harus ketahui bahawa garis hitam ini akan muncul kembali apabila mengandung semula untuk kelahiran anak yang seterusnya.

Garis Hitam Di Perut Ibu Mengandung Adalah Normal, Tolong Jangan Percaya Yang Bukan-Bukan

Suka untuk diingatkan sekali lagi yang garisan di perut ibu mengandung ini adalah normal. Jangan percaya pada apa jua mitos. Kita di ajar untuk tidak percaya pada benda yang tidak masuk akal dan hanya boleh berpegang pada ketentuan Allah SWT maka jangan sesekali terpesong dari ajaran yang sebenar.

Sumber :

Sirap Limau

Hello Sehat


Penulis: Siti Awadah

Minat menulis untuk pelbagai topik seperti kesihatan, keibubapaan, perhubungan, kecantikkan, makanan, travel, Islamik dan sebagainya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.