Pernah dengar tak tentang ‘gantung tak bertali‘? Pada yang belum kahwin mungkin ayat ini agak pelik namun untuk yang sudah bergelar suami isteri, gantung tidak bertali ini sudah sedia maklum apakah maksudnya.
Terus terang, kejadian gantung tak bertali ini satu situasi yang amat menyedihkan. Dalam kehidupan rumah tangga, ujian sentiasa hadir dan pergaduhan boleh berlaku dengan mudah. Akibatnya boleh melarat kepada penceraian dan makin tidak bernasib baik jika berlaku perpisahan dengan cara yang tidak betul.
Gantung tidak bertali ini maksudnya apabila si suami meninggalkan isteri begitu saja tanpa sebarang ucapan kata cerai. Apabila tidak ada perkataan cerai maka si isteri ini masih memegang status isteri orang walaupun suami telah hilang entah ke mana.
Status gantung tidak bertali ini sesungguhnya boleh membuatkan seseorang wanita itu menderita dan apa yang lebih menyedihkan memang ada segelintir suami yang dengan sengaja ingin menganiaya si isteri dengan meninggalkan isterinya itu dengan status gantung tak bertali dek kerana rasa tidak puashati akan sesuatu perkara. Sedih rasanya apabila kejadian sebegini berlaku.
Allah SWT berfirman bahawa: “Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu mereka mendekati akhir idahnya, maka rujuklah mereka dengan cara yang ma’ruf, atau ceraikanlah mereka dengan cara yang ma’ruf (pula). Janganlah kamu rujuk mereka untuk memberi kemudaratan, kerana dengan demikian kamu menganiaya mereka. Barang siapa berbuat demikian, maka sungguh ia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri. Janganlah kamu jadikan hukum-hukum Allah permainan, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu iaitu al-Kitab dan al-Hikmah. Allah memberi pengajaran kepadamu dengan apa yang diturunkan-Nya itu. Dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah bahawasanya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah Al-Baqarah, ayat 231).
Jika di tanya apakah hukum bagi suami yang tinggalkan isteri tanpa sebab, jawapannya adalah haram hukumnya bagi suami yang dengan sengaja mendatangkan mudarat kepada isteri tanpa ada sebab yang hak.
Ini kerana mendatangkan mudarat kepada orang lain adalah suatu kezaliman. Melakukan kezaliman adalah haram kerana Allah tidak menyukai orang yang berlaku zalim.
Perkahwinan tidak berjalan dengan lancar dan sering bergaduh maka gatung tidak bertali menjadi pilihan untuk membalas dendam. Sesungguhnya agama tidak mencadangkan tindakan yang begini. Jika benar perkahwinan sudah tidak boleh diselamatkan maka berpisah dengan baik mengikut cara yang betul adalah jalan yang terbaik.
Mengapa mesti mengikut hati sedangkan kehidupan ini memang ada banyak ujian dan Allah SWT sentiasa tahu apa yang lebih baik untuk kita. Mungkin ada jodoh yang lebih bagus di depan hari.
Dan andaikata gantung tidak bertali ini dek kerana dendam akibat sikap isteri yang curang mungkin, ketahuilah yang status gantung tak bertali itu hanya akan memberi pulangan yang tidak baik untuk diri sendiri sebenarnya.
Inilah persoalan yang timbul dalam fikiran seorang wanita apabila di gantung tidak bertali. Kebanyakkannya tidak tahu langkah yang boleh di ambil apabila di tinggalkan oleh suami yang tidak bertanggung jawab dalam keadaan terkongtang kanting seperti ini.
Ramai dikalangan isteri yang digantung tak bertali ini merasakan sudah tiada jalan untuk selesaikan masalah tersebut dan terus dibiarkan saja diri mereka itu dalam keadaan teraniaya. Cara ini salah!
Sebenarnya ada banyak cara untuk selesaikan masalah ini melalui undang-undang syariah cuma atas diri si wanita itu sendiri sama ada berani untuk mula mengorak langkah atau tidak. Antara langkah-langkah yang boleh di ambil untuk selesaikan isu gantung tidak bertali ini adalah :
Mula-mula pergi pejabat agama untuk buat aduan kemudian dapatkan sesi kaunseling. Bila aduan dah dibuat pasangan akan di panggil oleh pejabat agama untuk Sesi kaunseling tersebut untuk mencari punca dan jalan perdamaian. Dengan cara ini si pasangan akan di beri kauseling dan nasihat dari pegawai agama yang bertauliah.
Cara ini adalah untuk menyelesaikan masalah atau selamatkan rumah tangga anda. Masalah takkan selesai kalau satu pihak tidak mahu berbincang dan cuba lepas tangan. Masa kaunseling nanti ceritakan segala masalah, isu dan pegawai agama akan menasihatkan agak pihak suami supaya bersikap lebih bertanggungjawab.
Sesi kauseling hanya antara anda dan semua dengan bantuan kauselor tak ada apa yang anda perlu anda malukan. Anda cuma nak cari jalan penyelesaian supaya anda tidak perlu berdepan dengan situasi gantung tidak bertali dan mungkin juga masalah rumah tangga anda ini masih boleh diselamatkan.
Jika anda dan dah cuba dan pasangan anda tidak mahu berkerjasama hingga menyebabkan sesi kaunseling tadi gagal, maka Anda sebagai isteri yang jadi telah menjadi mangsa keadaan ini boleh membuat permohonan cerai cara baik di mahkamah. Walaubagaimanapun biarlah penceraian itu menjadi jalan terakhir setelah semua usaha anda untuk berbaik gagal.
Penceraian secara baik amat di galakkan kerana bila bercerai secara baik begini ianya dapat menutup aib kedua pasangan. Lepas permohonan di buat, pihak makamah akan panggil suami untuk melafazkan cerai dan jika suami bersetuju serta akur dengan perintah mahkamah itu maka masalah anda dari terus di gantung tak bertali ini akan selesai dengan mudah.
Dalam hidup masyarakat memang penceraian sangat tidak elok dan di pandang sinis tetapi adalah lebih baik berpisah daripada teruskan perkahwinan yang sudah tiada kasih sayang dan tidak lagi mengikut hukum syarak.
Dalam hukum syarak perkhwinan itu adalah untuk kamu bersenang-senang dan memupuk cinta dan kasih sayang di samping menjaga amanah serta tanggung jawab kerana Allah SWT bukannya untuk memudaratkan.
Fasakh bermaksud perceraian dengan perintah mahkamah. Fasakh adalah permintaan perceraian yang boleh difailkan oleh isteri terhadap suaminya. Bila kaunseling gagal, cuba perceraian secara baik juga gagal, maka anda boleh memohon cerai secara fasakh sebagai langkah terakhir apabila pasangan anda masih berdegil dan tidak mahu beri kerjasama.
Caranya anda buat permohonan di mahkamah dan pihak mahkamah akan panggil suami untuk urusan penceraian. Akan tetapi, sekiranya si suami tetap enggan hadirkan diri maka tuntutan fasakh masih boleh diteruskan.
Dalam permohonan fasakh, anda boleh mengemukakan isu cuai bagi nafkah zahir batin sebagai alasan kuat untuk minta carai secara fasakh ini. Bila mahkamah setuju selepas melakukan pertimbangan berdasarkan bukti dan saksi yang kuat, bererti tuntutan fasakh anda boleh dibenarkan dan mahkamah sendiri boleh membubarkan ikatan perkahwinan tersebut.
Tolonglah jangan pandang situasi gantung tidak bertali ini janganlah dengan pandangan yang ringan. Dan si wanita juga janganlah terus menyalahkan takdir semata-mata.
Wanita itu ada hak untuk di bebaskan dan jika hati dah tak sayang lepaskanlah isteri anda dengan cara yang baik seperti mana anda mengambil mereka dengan baik dari ibubapanya dahulu. Baca juga 10 punca masalah rumahtangga yang boleh membawa kepada penceraian.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan