Permainan bersifat eksplorasi adalah amat membantu perkembangan kanak-kanak.
Dalam posting kali ini, saya akan bincangkan tentang satu lagi jenis permainan eksplorasi yang sudah jarang sekali dimainkan oleh anak-anak kita: Menggali Tanah
Menggali Tanah boleh memberikan impak yang amat positif kepada kanak-kanak. Namun, dengan kadar pencemaran persekitaran yang amat tinggi, pelbagai langkah keselamatan perlu dititikberatkan sebelum membenarkan anak bermain dengan tanah di kawasan sebarangan.
Berikut saya senaraikan beberapa cadangan langkah keselamatan sebelum membenarkan anak bermain dengan tanah:
1. Pastikan tanah tidak tercemar dengan sebarang bangkai atau najis binatang.
2. Pastikan tanah tidak tercemar dengan sisa dari puntung rokok.
3. Digalakkan ibu bapa menggunakan tanah yang diyakini kebersihannya seperti dihalaman rumah sendiri atau tanah bersih yang dibeli khas untuk kegunaan permainan anak.
*bermain dengan tanah, efeknya adalah berbeza dengan pasir kerana tanah lebih berat sifatnya dari pasir dan teksturnya juga adalah berbeza.
Koordinasi mata tangan merujuk kepada keupayaan kanak-kanak untuk menggerakkan tangan ke arah yang dirancang oleh perancangan visualnya. Maksudnya, anak menggunakan mata untuk memastikan tangan pergi atau bergerak seperti yang dimahukannnya.
Antara aktiviti yang boleh merangsang koordinasi mata-tangan semasa menggali tanah:
Semasa anak bermain dengan tanah, anak akan berada dalam posisi “on-floor” atau atas lantai. Ini akan memerlukan anak untuk mengolah pelbagai posisi bagi menjalankan aktiviti menggali tanahnya.
Kepelbagaian olahan posisi tubuh ini (sekejap mencangkung, sekejap melutut, sekejap bersila) akan membantu kanak-kanak untuk mempunyai keupayaan kesedaran tubuh yang tinggi dan seterusnya meningkatkan keupayaan kawalan postur tubuh.
Mempunyai kawalan postur tubuh yang baik akan membantu kanak-kanak untuk duduk di meja semasa belajar dengan lebih lama.
Sensori merupakan kefungsian paling asas sekali dalam piramid pembelajaran.
Bermain dengan tanah merupakan salah satu permainan yang dikategorikan sebagai permainan multi-sensori kerana ianya akan memberikan kanak-kanak peluang untuk eksplorasi secara tactile, visual, auditori (bunyian di luar rumah), olfaktori (bau dari tanah).
Kemahiran integrasi sensori akan membantu perkembangan respon adaptif yang amat perlu dalam membantu kanak-kanak belajar kefungsian harian dengan baik.
Sifat tanah yang boleh dibuat pelbagai bentuk berdasarkan acuan, akan memberikan stimulasi yang baik pada daya kreativiti dan imaginasi anak-anak. Kerana itu ianya merupakan salah satu permainan bersifat eksploratori yang memberikan impak yang sangat positif pada perkembangan kanak-kanak.
Bermain dengan tanah akan melibatkan manipulasi alatan dan tanah menggunakan kedua-dua belah tangan. Ini dipanggil kemahiran bilateral. Kemahiran bilateral adalah amat penting dalam kemahiran menulis.
Merujuk kepada keupayaan kanak-kanak memanipulasi pergerakan jarinya. Semasa bermain dengan tanah, kanak-kanak akan perlu menggunakan manipulasi pergerakan jari yang pelbagai. Ini akan meningkatkan keupayaan motor halus kanak-kanak.
Semasa bermain permainan eksplorasi seperti menggali tanah ini, kanak-kanak akan belajar pelbagai kemahiran menyelesaikan masalah. Permainan eksplorasi merupakan permainan yang akan membenarkan kanak-kanak belajar sendiri bagaimana untuk bermain kerana kemungkinannya adalah pelbagai (never ending possibilities).
Bermain menggali dan mengumpulkan tanah, menggali tanah mencari fosil atau menggali dan menanam objek akan membantu meningkatkan daya perhatian dan fokus kanak-kanak.
Ini merupakan satu latihan yang amat baik yang seterusnya akan membantu meningkatkan daya perhatian dan fokus mereka semasa sedang belajar kemahiran yang lebih penting samada di rumah atau di sekolah.
Pendedahan kemahiran asas sains dan matematik akan berlaku secara natural dan tak langsung semasa kanak-kanak sedang bermain dengan permainan seumpama ini.
Berat tanah, sifat tanah, bagaimana tanah memenuhi bekas, apa yang berlaku bila tanah bercampur air, kepelbagaian tekstur tanah dan banyak lagi perkara yang boleh dieksperimentasi oleh kanak-kanak.
Pastikan kebersihan kawasan bagi mengelakan kemudaratan kesihatan.
Semoga bermanfaat