Salah satu rutin wajib saya dengan Yaya ialah mengajarnya membaca dan iqra’. Sekurang-kurangnya sekali setiap hari.
Tapi, realitinya, waktu 30 minit itulah mama perlu ‘on’kan butang kesabaran. Sebab, si anak akan mengeluarkan macam macam perangai, berbagai karenah. Kadang kadang macam cacing kepanasan, tak boleh duduk diam. Time tu lah dia kononnya mengantuk atau lapar. Sedangkan sebelum tu kusyuk je tengok karton.
Geram je mama dibuatnya. Tapi saya tahu, tak elok saya mengajar dia dengan kurang sabar. Tak guna anak pandai membaca tapi tertekan dibuatnya. Saya sedar yg lebih penting dalam hidup ini, bukan apa yg kita buat, tapi kebahagiaan dan keberkatan dari apa yang kita buat.
Kerana itu saya mencari formula, macamana supaya saya dapat menghadapi karenahnya ketika mengajar, tanpa mencalar keberkatan yang dicari. Alhamdulillah, akhirnya saya temui pada satu kalimat agung. Ia selalu dibaca sebelum memulakan sesuatu. Cuma kali ini saya mendapat perspektif berbeza.
Rupanya ia bukan sekadar di baca supaya amal kita diterima. Tapi ia penuh dengan pengharapan yg bersandarkan pada kasih sayang Allah yang sememangnya Maha Pengasih Maha Penyayang.
Imej:themominmemd
Ya, formula itu ada pada ayat pertama dalam Al-Quran.
Bismillahirrohmanirrohim. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Maha Penyayang.
Saya baca ayat ini sebelum mengajar yaya, cuma kali ini penuh dengan pengharapan dan doa semoga Allah dengan kasih sayangNya yang tidak terbatas membantu saya melakukan tugasan itu penuh dengan kasih sayang juga.
Jika saya benar benar memaknai doa itu, tentu 30 minit tersebut akan menjadi aktiviti yg membahagiakan dan mudah-mudahan mendatangkan keberkatan. Belajar sekejap tapi anak mudah faham. Anak tidak tertekan sebaliknya merasa seronok. Begitu juga mama.
Ya, itulah yang saya rasai. Karenah anak tetap saya, tapi Alhamdulillah saya lebih bahagia menghadapinya.