Nak tahu cara dan kelebihan fikir positif?

Cuba bayangkan 2 situasi berikut yang berlaku di sebuah restoran.

Situasi A

“Macam manalah pekerja restoran ni buat kerja? Dahlah ambil order lambat. Muka pun macam yakin tak yakin saja. Lepas tu, lauk-pauk semua tak sedap. Air rasa tawar. Gula pun kedekut ke? Tak kena langsung dengan selera. Menyesal datang.”

Situasi B

“Pekerja lambat ambil order tak apa. Mungkin banyak pesanan nak kena siapkan. Sanggup hantar air dulu sebab takut pelanggan tunggu lama. Kasihan mereka, nampak kepenatan. Tapi lauk-pauk semua sedap. Walaupun lambat, berbaloi menunggu. Memang akan datang lagi ke sini.”

Yang mana satukah anda? Orang yang berada dalam Situasi A atau Situasi B? Jika anda menyokong Situasi B, tahniah diucapkan. Anda seorang yang sangat positif dalam hidup. Anda seorang yang bertimbang rasa, bertoleransi dan bersyukur.

Jika anda sering berada dalam Situasi A, anda perlu mengubah diri. Buang perasaan negatif dan ego yang melangit. Jangan menyalahkan situasi jika ia tak selari dengan keinginan anda. Letakkan diri dalam situasi orang lain.

Dalam artikel ni, penulis akan kongsikan topik tentang cara berfikiran positif yang juga menyentuh aspek kelebihan dan kesannya. Sebelum tu, mari kita fahamkan dulu maksud positif.

Positif ialah tidak meragui akan sesuatu perkara dan segala cabaran akan diatasi dengan sebaik-baiknya. Malah orang yang berfikiran positif, tidak akan menjadikan masalah sebagai beban hidup. Mereka memandangnya dari sisi yang lebih baik. Jom ketahui cara fikir positif.

Cara Fikir Positif

Di bawah ni disenaraikan beberapa langkah untuk berfikiran positif. Antaranya ialah:

#1 Jangan Bersangka Buruk Pada Allah

Sebagai seorang hamba kepada Allah, kita seharusnya menganggap ujian yang diturunkan bertujuan untuk menduga kita. Setiap ujian yang diharungi dengan penuh sabar akan diberikan ganjaran pahala.

Apabila masalah menimpa, jangan mempersoalkannya kepada Allah. Terima dengan hati yang lapang. Allah menguji kerana sayang dan mahu kita sentiasa mengingat-Nya. Apabila kita redha, hati akan berasa lapang dan keimanan juga bertambah.

#2 Jangan Bersangka Buruk dengan Orang Lain

Seperti dalam contoh Situasi A dan Situasi B di atas, kita sebagai manusia biasa pastinya mempunyai kelemahan. Kita bukan manusia yang sempurna, begitu juga dengan orang lain.

Jangan terus menuding jari menyalahkan orang lain atas kesilapan kecil yang dilakukan. Jika makanan lambat dihantar, mungkin sebab terlalu banyak pesanan. Mereka hendakkan sesuatu yang terbaik buat para pelanggan.

Pilih kawan yang mempunyai aura positif dan elakkan berada dalam lingkungan orang yang suka berdendam, iri hati dan suka bergosip. Jika ada orang yang menyakiti hati kita, maafkan saja mereka. Jangan simpan dendam yang berpanjangan.

#3 Sentiasa Bersyukur

Kita ada makanan di atas meja, rumah untuk berlindung, keluarga bahagia, rezeki yang cukup dan pakaian yang elok. Kita harus bersyukur dengan sekecil-kecil kurniaan Allah. Jangan sesekali iri hati dengan rezeki dan kejayaan orang lain.

 #4 Menjaga Tutur Kata

Kata-kata yang baik menggambarkan jiwa yang sihat. Orang yang suka menjaga tutur katanya disayangi ramai. Gunakan kata-kata yang positif pada bila-bila masa saja. Ia dapat menyejukkan jiwa orang yang mendengarnya.

#5 Keseimbangan Rohani dan Jasmani

Dari aspek rohani sentiasalah membaca al-Quran, menunaikan ibadah wajib dan sunat, berzikir dan menyertai kuliah agama. Orang yang melebihkan agamanya akan sentiasa takut pada Allah. Mereka akan menjauhi segala larangan-Nya.

Dari aspek jasmani pula amalkan gaya hidup sihat dengan amalan pemakanan seimbang, bersenam dan jauhi stres. Keseimbangan rohani dan jasmani akan mewujudkan pemikiran positif dalam diri kita.

Kelebihan Berfikiran Positif

Orang yang berfikiran positif mempunyai banyak kelebihan berbanding orang yang hidup dalam kegelisahan. Sikap positif yang dipraktikkan dalam kehidupan harian boleh memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Antaranya ialah:

#1 Berfikiran Matang

Orang yang positif akan menapis dulu kata-kata yang nak diluahkan. Mereka akan berfikir dalam-dalam sebelum bertindak. Setiap tindakan yang diambil akan dipertimbangkan buruk baiknya terlebih dulu.

#2 Hidup Lebih Sihat

Orang yang positif ialah orang yang hidup bahagia. Mereka akan sentiasa tersenyum, kekal aktif dan gembira. Bukan kerana tiada masalah tetapi mereka bijak mengawal keadaan agar tidak terus merana. Pergaulan dan aktiviti yang sihat membuatkan mereka tiada masa untuk fikir masalah.

#3 Prestasi Kerja Meningkat

Apabila kita berfikiran positif, semua urusan boleh diselesaikan dengan baik. Jika anda seorang majikan, anda akan disayangi pekerja. Jika anda seorang pekerja, anda mungkin akan dinaikkan pangkat kerana prestasi kerja yang baik.

#4 Akhlak yang Mulia

Orang yang berfikiran positif menunjukkan akhlak yang baik. Tingkah laku dan keperibadian mereka amat disenangi dan dicontohi. Mereka gemar membuat kebajikan dengan membantu orang lain. Orang yang positif akan menggalakan orang lain membuat kebaikan seperti mereka.

#5 Hubungan Sosial yang Baik

Orang yang berfikiran positif disenangi oleh semua orang. Tak kiralah ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai. Mereka sering dijadikan tempat rujukan dalam melaksanakan sesuatu.

Ini kerana orang yang positif mempunyai sikap yang boleh dipercayai, kepimpinan dan bersifat pelindung.

Kesan Berfikiran Positif

Apabila kita menjadi orang yang berfikiran positif, banyak kebaikan yang boleh diperoleh. Kesannya boleh dirasakan pada diri sendiri dan orang di sekeliling. Apakah kesan apabila kita mengamalkan fikiran positif dalam kehidupan harian? Antaranya:

  1. Menjadi manusia yang bermoral dan berakhlak tinggi.
  2. Dikasihi oleh Allah
  3. Disayangi dan disenangi oleh orang lain.
  4. Wajah nampak berseri kerana sentiasa membawa aura positif.
  5. Sihat mental dan fizikal.
  6. Penuh dengan nilai simpati dan empati.
  7. Hidup tenang dan bahagia.
  8. Sentiasa bersedia dan redha dengan ketentuan Allah.

Setakat ni saja perkongsian penulis tentang topik fikir positif. Kita sebagai manusia biasa tak lari daripada kesalahan. Namun, kita sentiasa ada peluang untuk mengubah diri menjadi insan yang baik.

Salah satu caranya ialah dengan mengamalkan fikiran positif. Fikiran yang positif merupakan magnet yang menarik semua kebaikan datang kepada diri kita. Semoga kita akan terus berusaha tanpa jemu menjadi orang yang berfikiran positif.

Jemput juga baca artikel tentang ayat motivasi untuk wanita dan lagu semangat

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.