Sebagai ibu bapa pastinya anda berasa teruja untuk menyambut kehadiran orang baru sebagai penyeri rumah tangga. Biasanya masuk bulan kelima usia kandungan, ibu bapa akan mula menyediakan persediaan untuk bayi seperti membeli kelengkapan bayi, memilih hospital untuk bersalin, mencari nama yang indah dengan maksud yang baik, dan sebagainya.
Satu lagi perkara penting yang ada kalanya ramai yang terlupa ialah untuk mendapatkan ilmu tentang cara menyambut bayi yang baru dilahirkan. Di antara adab dan adat yang biasa diamalkan oleh orang kita ialah mengazankan bayi, mendoakan bayi, mentahnik, cukur jambul, dan aqiqah.
Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan koleksi doa bayi baru lahir yang boleh anda simpan untuk dibaca apabila bayi anda lahir kelak.
Menurut hadith sahih Al-Bukhari, Asma’ binti Abi Bakar Radhiyallahu ‘Anha bercerita bahawa semasa dia mengadungkan anak lelaki yang bernama Abdullah bin al-Zubair, dia telah berhijrah ke Madinah. Sesampai di Madinah dia melahirkan bayinya. Kemudian dia membawa bayinya kepada Rasulullah. Rasulullah meletakkan bayi tadi di pangkuannya lalu baginda meminta sebiji kurma.
Baginda Rasulullah mengunyahnya kurma tadi dan mencalitkan sedikit kurma ke lelangit bayi itu. Ia adalah upacara tahnik. Setelah mentahnik bayi tadi, Rasulullah membacakan doa berikut:
ثم دعا له وبرك عليه، وكان أول مولود ولد في الإسلام
“Kemudian beliau mendoakan kebaikan dan keberkahan kepadanya. Abdullah bin Zubari adalah anak yang pertama kali terlahir dalam Islam.”
ثُمَّ دَعَا بِتَمْرَةٍ فَمَضَغَهَا، ثُمَّ تَفَلَ فِي فِيهِ، فَكَانَ أَوَّلَ شَيْءٍ دَخَلَ جَوْفَهُ رِيقُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ دَعَا لَهُ، وَبَرَّكَ عَلَيْهِ
“..Kemudian Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam minta kurma, lalu beliau mengunyahnya dan meletakkannya di mulut si bayi. Makanan pertama yang masuk ke perut si bayi adalah ludah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, kemudian beliau mendoakannya dan dan memohon keberkahan untuknya.” (HR. Bukhari 3909).
Doa bayi baru lahir yang seterusnya ialah doa yang dibaca oleh Rasulullah buat bayi Abu Musa Radhiyallhu’Anhu. Menurut Hadith riwayat Al-Bukhari, setelah anak lelaki Abu Musa lahir, dia bawa anak itu kepada Rasulullah. Rasulullah menamakan bayi itu Ibrahim. Kemudian Rasulullah mentahnik Ibrahim dengan sebiji kurma lalu membacakan doa keberkatan buat bayi Ibrahim.
Dari Abu Musa radliallahu ‘anhu, beliau mengatakan,
وُلِدَ لِي غُلاَمٌ، فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَسَمَّاهُ إِبْرَاهِيمَ، فَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ، وَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ، وَدَفَعَهُ إِلَيَّ
“Ketika anakku lahir, aku membawanya ke hadapan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Beliau memberi nama bayiku, Ibrahim dan men-tahnik dengan kurma lalu mendoakannya dengan keberkahan. Kemudian beliau kembalikan kepadaku.” (HR. Bukhari 5467 dan Muslim 2145).
Setakat ini tidak ditemukan doa sebenar yang dibacakan oleh Rasulullah untuk bayi tersebut. Menurut para ulama, berdasarkan hadith tadi, sangat baik jika kita bacakan doa keberkatan dan mendoakan yang baik-baik untuk bayi yang baru dilahirkan.
Doa bayi baru lahir yang boleh anda bacakan yang ini adalah diriwayatkan dari Ayyub As-Sikhtiyani. Menurut riwayat tersebut, setiap kali mendapat berita kelahiran bayi, beliau akan membacakan doa keberkatan yang berikut:
جَعَلَهُ اللهُ مُبَارَكًا عَلَيكَ وَعَلَى أُمَّةِ مُحَمَّدٍ – صلى الله عليه وسلم –
“Semoga Allah menjadikannya anak yang diberkahi untukmu dan untuk umat Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam.”
Sebagai ibu bapa, pastinya kita mahukan yang terbaik buat bayi yang baru dilahirkan. Berikut adalah doa yang boleh anda bacakan kepada bayi agar anak anda sentiasa berada dalam keadaan selamat dan perlindungan Allah sepanjang hidupnya dan insya Allah meninggal dunia dalam keadaan yang baik, Husnul Khotimah. Doanya adalah seperti berikut:
اَللهُمَّ اِنَّا نَسْأَلُكَ سَلاَمَةً فِى الدِّيْنِ وَعَافِيَةً فِى الْجَسَدِ وَزِيَادَةً فِى الْعِلْمِ وَبَرَكَةً فِى الرِّزْقِ وَتَوْبَةً قَبْلَ الْمَوْتِ وَرَحْمَةً عِنْدَ الْمَوْتِ وَمَغْفِرَةً بَعْدَ الْمَوْتِ
“Ya Allah kami memohon kepada-Mu keselamatan dalam agama, dan kesejahteraan pada tubuh dan penambahan ilmu, dan keberkahan rizqi, serta taubat sebelum mati dan rahmat di waktu mati, dan keampunan sesudah mati.
Doa bayi baru lahir yang seterusnya ialah doa yang boleh anda baca agar anak anda membesar menjadi anak yang soleh dan solehah serta dipanjangkan umurnya oleh Allah. Doanya berbunyi seperti berikut:
اَللَّهُمَّ طَوِّلْ عُمُورَنَا وَصَحِّحْ أَجْسَادَنَا وَنَوِّرْ قُلُوْبَنَا وَثَبِّتْ إِيْمَانَنَا وَأَحْسِنْ أَعْمَالَنَا وَوَسِّعْ أَرْزَقَنَا وَإِلَى الخَيْرِ قَرِّبْنَا وَعَنِ الشَّرِّ اَبْعِدْنَا وَاقْضِ حَوَائِجَنَا فِى الدِّيْنِ وَالدُّنْيَا وَالۤاخِرَةِ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيْرٌ
“Ya Allah! Panjangkanlah umur kami, sehatkanlah jasad kami, terangilah hati kami, tetapkanlah iman kami, baikkanlah amalan kami, luaskanlah rezeki kami, dekatkanlah kami pada kebaikan dan jauhkanlah kami dari kejahatan, kabulkanlah segala keperluann kami dalam pada agama, dunia, dan akhirat. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
Itulah dia info tentang doa bayi baru lahir yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami mengenai cara azan bayi, cara hilangkan kahak bayi, dan hadith berkaitan ibu bapa