Negara kita pernah digemparkan dengan kes kematian beberapa orang kanak-kanak disebabkan oleh Difteria setelah sekian lama penyakit ini tidak wujud di Malaysia.

Apakah penyakit Difteria? Kenapa ianya terlalu merbahaya hingga boleh menyebabkan kematian?

difteria

Sumber: Nhd

Apa yang dimaksudkan dengan difteria?

Menurut Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Bin Abdullah, difteria adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Corynebacterium diphteriae yang menjangkiti bahagian tekak dan tonsil, atau farinks. Jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang tinggi, iaitu antara 25-50%.

Manakala menurut portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, Difteria adalah jangkitan akut yang menjejaskan sistem pernafasan. Wabak difteria berlaku di Rusia, Ukraine, Mongolia dan Ecuador pada tahun 90-an. Ia jarang berlaku di negara perindustrian kerana pemberian vaksin DPT telah dilaksanakan.

Penyakit difteria meningkat semasa musim sejuk di kawasan yang beriklim sederhana dan melibatkan kanak-kanak berumur di bawah 15 tahun yang belum mendapat imunisasi. Penyakit ini dikesan di kalangan orang dewasa di kawasan yang tidak mendapat imunisasi.

Difteria merupakan sejenis jangkitan bakteria yang menjejaskan ‘mucous membranes’ bahagian tekak dan hidung. Jangkitan ini juga sangat cepat boleh merebak dari seorang ke seorang. Namun demikian difteria ini boleh dicegah menerusi suntikan vaksin.

Difteria ini merupakan sejenis jangkitan pada saluran pernafasan bahagian atas. Penyakit ini juga selalunya boleh dilihat pada anak kecil. Hal ini kerana mereka kemungkinan besar tidak disuntik vaksin bagi mencegah difteria ini.

Selain itu,orang tua yang berusia dalam 60 tahun juga berisiko tinggi untuk mendapat penyakit difteria ini. Hal ini kerana sistem imun mereka agak lemah disebabkan usia yang lanjut. Itulah sebabnya mereka ini amat mudah terjebak ke arah jangkitan seperti ini.

difteria

Sumber: Saude

Apakah punca Difteria?

Agen penyebab Difteria ialah virus Corynebacterium diphtheriae. Bakteria yang dijangkiti oleh virus corynebacteriophage akan mengeluarkan toksin difteria. Toksin Difteria akan menjangkiti tekak (tonsil, farinks, larinks, hidung) dan kadangkala selaput mukus lain, kulit , konjunktiva dan kemaluan.

Berapa lama virus akan berada dalam tubuh sebelum simptom Difteria mula terjadi?

Tempoh pengeraman ialah dari 2 hingga 5 hari atau lebih lama.

Bagaimana Difteria tersebar?

Penyakit ini boleh tersebar melalui titisan cecair pernafasan dan sentuhan fizikal. Bakteria akan menjangkiti tekak (tonsil dan farinks) dan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas.

Penyakit ini merebak melalui sentuhan dari seorang ke seorang atau pun sentuhan objek yang terjejas oleh bakteria tersebut. Selain itu, penyakit ini juga boleh merebak apabila seseorang itu berada berhampiran dengan orang yang mempunyai penyakit ini. Apabila mereka batuk, bersin atau meniup hidung kemungkinan untuk merebakkan virus ini menjadi lebih ketara.

Di samping itu, setelah seseorang itu telah dijangkiti penyakit difteria ini maka bakteria tersebut akan membebaskan toksin berbahaya yang akan melalui saluran darah dan menghasilkan sejenis salutan pekat yang berwarna kelabu pada bahagian hidung, tekak, lidah dan saluran pernafasan. Kadang kala, toksin ini juga boleh merosakkan organ penting seperti otak, jantung dan ginjal.

Menurut ulasan Datuk Dr. Noor Hisham Bin Abdullah, toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis) yang menyebabkan kematian. Jangkitan Difteria adalah teruk dan boleh mengancam nyawa.

Komplikasi Difteria adalah sepanjang hayat bagi individu yang tidak mendapat imunisasi secukupnya. Risiko meningkat di kawasan yang sesak dan mempunyai tahap sosioekonomi yang rendah.

difteria

Sumber: Benhil

Apakah tanda atau simptom Difteria?

Di antara simptom Difteria ialah:

  • Demam
  • Sakit tekak
  • Lapisan selaput nanah berwarna kelabu-kehijauan pada saluran kerongkong
  • Sukar menelan kerana tekak berasa sakit di kawasan antara rongga mulut dan farinks dan bengkak pada kelenjar leher
  • Bagi kes yang teruk, leher menjadi bengkak dan edema
  • Masalah pernafasan

Walau bagaimana pun, kadang-kadang doktor pun boleh terlepas pandang penyakit difteria kanak-kanak apabila pesakit hanya menunjukkan tanda-tanda demam atau sakit tekak biasa yang tidak serius.

Penyakit difteria kanak-kanak hanya dapat dikenalpasti pada peringkat awal dengan mengambil sampel kuman dari pesakit dan diuji di makmal. Namun, doktor akan mulakan rawatan awal pada pesakit yang disyaki kerana penyakit difteria boleh menjadi teruk dalam masa yang singkat.

Apakah komplikasi Difteria?

Penyakit difteria ini sekiranya tidak dirawat dengan segera boleh membawa kepada banyak komplikasi yang membahayakan seperti:

  • Myocarditis iaitu sejenis keradangan pada otot jantung
  • Paralysis yang akan menyebabkan anggota badan yang terjejas menjadi kaku dan tidak boleh bergerak
  • Kerosakan ginjal
  • Kelumpuhan saraf kranial
  • Kelumpuhan motor periferi
  • Kelumpuhan deria miokarditis
  • Kelumpuhan saraf otak, kaki dan tangan (motor periferi) serta deria
  • Radang pada jantung (miokarditis)
difteria

Sumber: Workingmum

Apakah beza di antara Difteria dan Tonsilitis?

Umumnya, difteria juga adalah sejenis jangkitan tonsilitis. Namun, terdapat sedikit perbezaan umum antara selaput tonsil biasa dan difteria. Rupanya lebih kurang dan sering dianggap sama. Oleh itu, jika anda inginkan kepastian lebih lanjut tentang gejala yang dihidapi, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor untuk pengesahan. Ini kerana, penyakit difteria akan merebak dengan sangat cepat dan amat membahayakan nyawa.

Bolehkah Difteria dirawat sehingga pulih?

Boleh. Pesakit Difteria akan diberikan:

  • Antitoksin untuk mengawal penularan toksin difteria di dalam darah. Ia akan diberikan serta-merta selepas sampel diambil tanpa menunggu keputusan tetapi tidak semua pusat perubatan mempunyai antitoksin ini.
  • Eritromisin dan Penisilin untuk mengawal bakteria.
  • Pesakit akan memerlukan pemantauan dan dikuarantinkan untuk mengelak penyakit ini dari tersebar.

Tapi malangnya antitoksin ini tidak akan memusnahkan semua toksin yang sudah ada di dalam badan, maka penyakit ini boleh berulang.

Bagaimana melindungi anak anda daripada dijangkiti Difteria?

Cara terbaik mencegah penyakit difteria ini adalah dengan mengambil vaksin lima serangkai iaitu DTaP-IPV//Hib (Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus influenzae type b). Imunisasi ini diberikan pada usia 2, 3, 5 dan 18 bulan.

Kanak-kanak yang telah menerima imunisasi lengkap hanya akan mengalami gejala ringan apabila dijangkiti dan terlindung dari komplikasi. Mereka yang akan melawat ke luar negara perlu mendapatkan vaksin untuk mencegah Difteria.

difteria

Sumber: Freemalaysiatoday

Itulah dia info tentang Difteria yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami mengenai Influenza A dan penyakit HMFD.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.