Tahukah anda, setiap ibu yang bertugas sebagai penjawat awam layak untuk mendapat cuti untuk menjaga anak yang sakit. Menarik kan? Namun tak semua ibu cakna dengan kelebihan yang diberikan oleh kerajaan ini. Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan fakta lengkap tentang cuti menjaga anak 2019 yang semua ibu wajib tahu.

cuti menjaga anak 2019
Sumber: Dailymail

Terdapat beberapa kategori kelayakan untuk memohon cuti menjaga anak iaitu:

Kemudahan cuti menjaga anak yang bersambung daripada cuti bersalin

Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2014, cuti menjaga anak ialah cuti menjaga anak yang bersambung dengan cuti bersalin. Maksudnya, selepas cuti bersalin anda habis, anda boleh memohon untuk terus menyambung cuti jaga anak.

Siapa yang layak untuk memohon cuti menjaga anak yang bersambung dengan cuti bersalin? Kami merujuk kepada pekeliling yang sama seperti di atas. Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2014, Perenggan 6:

(i) Terhad kepada pegawai Perkhidmatan Awam wanita yang bersalin, dan

(ii): Tempoh keseluruhan kemudahan Cuti Menjaga Anak termasuk Cuti Menjaga Anak yang tidak terikat dengan tempoh Cuti Bersalin terhad sehingga lima (5) tahun sepanjang tempoh perkhidmatan.

Maksudnya, semua ibu yang baru bersalin layak untuk mendapat cuti menjaga anak dengan syarat ianya terhad kepada 5 tahun sepanjang tempoh perkhidmatan, tidak boleh lebih daripada itu.

Apakah syarat sah untuk memohon cuti menjaga anak yang bersambung daripada cuti bersalin? Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2014, Perenggan 8:

(i) Tempoh kemudahan Cuti Menjaga Anak akan bermula pada tarikh selepas tamatnya tempoh Cuti Bersalin bagi pegawai yang mempunyai baki Cuti Bersalin bergaji penuh.

(ii) Tempoh kemudahan Cuti Menjaga Anak akan bermula pada tarikh pegawai melahirkan anak bagi pegawai yang telah menggunakan sepenuhnya 300 hari kelayakan kemudahan Cuti Bersalin.

(iii) Kemudahan Cuti Menjaga Anak boleh diambil sama ada secara sekali gus sehingga lima (5) tahun atau sebahagian daripadanya.

(iv): Pegawai yang telah menggunakan kemudahan Cuti Menjaga Anak sepenuhnya sehingga lima (5) tahun, tidak lagi layak sebarang kemudahan Cuti Menjaga Anak.

(v): Pegawai yang telah menggunakan sebahagian daripada lima (5) tahun bagi satu kelahiran, boleh menggunakan baki Cuti Menjaga Anak bagi kelahiran anak yang seterusnya atau kemudahan Cuti Menjaga Anak yang tidak terikat dengan Cuti Bersalin

(vi): Pegawai yang telah diluluskan kemudahan Cuti Menjaga Anak di bawah Pekeliling Perkhidmatan Kemudahan Cuti Menjaga Anak yang terdahulu, hendaklah ditolak daripada jumlah kelayakan di bawah Pekeliling Perkhidmatan ini.

Maksudnya, bagi pegawai yang masih mempunyai baki cuti bergaji penuh, cuti menjaga anak akan bermula sebaik sahaja cuti bersalin anda tamat. Jika anda sudah menghabiskan kemudahan cuti bersalin, cuti menjaga anak akan bermula pada hari anda bersalin. Cuti menjaga anak bagi kategori ini boleh diambil sekali gus 5 tahun atau dibahagi kepada 2 cuti. Apabila anda sudah menggunakan 5 tahun cuti menjaga anak, anda tidak layak lagi untuk memohon cuti yang sama untuk kategori ini.

cuti menjaga anak 2019
Sumber: Thebump

Kemudahan cuti menjaga anak yang tidak terikat dengan cuti bersalin

Sekali lagi kami merujuk kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2014. Menurut pekeliling tersebut, cuti menjaga anak bagi kategori ini layak dipohon oleh pegawai perkhidmatan awam wanita yang mempunyai anak.

Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2014, Perenggan 7:

(i): Kelayakan kemudahan Cuti Menjaga Anak tidak terikat dengan Cuti Bersalin melibatkan pegawai Perkhidmatan Awam wanita yang mempunyai:

(a) anak kandung;

(b) anak tiri tanggungan;

(c) anak angkat de facto;

(d) anak angkat; dan

(e) anak pelihara

(ii): Tempoh kelayakan kemudahan Cuti Menjaga Anak tidak terikat dengan tempoh Cuti Bersalin yang dibenarkan terhad sehingga satu (1) tahun sepanjang tempoh perkhidmatan atau sehingga anak mencapai lima (5) tahun, mengikut mana yang terdahulu.

Maksudnya, ibu yang mempunyai anak dibawah jagaan, walau pun bukan anak kandung sendiri layak untuk mendapat cuti menjaga anak yang tidak terikat dengan cuti bersalin. Namun cuti ini hanya terhad kepada tempoh cuti 1 tahun sahaja sepanjang tempoh perkhidmatan atau sebelum anak mencapai umur 5 tahun, bergantung kepada yang mana satu berlaku dahulu. Jika anak sudah melebihi umur 5 tahun, anda tidak layak untuk memohon cuti ini.

Apakah syarat sah untuk memohon cuti menjaga anak yang tidak terikat dengan cuti bersalin? Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2014, Perenggan 9

(ii) Pegawai boleh mengambil Cuti Menjaga Anak sama ada secara sekali gus atau sebahagian terhad sehingga satu (1) tahun sepanjang tempoh perkhidmatan atau sehingga anak berumur lima (5) tahun, mengikut mana yang terdahulu.

(iii): Pegawai yang telah menggunakan sebahagian kemudahan Cuti Menjaga Anak daripada satu (1) tahun, layak mendapat baki kemudahan Cuti Menjaga Anak yang belum digunakan.

Kami juga merujuk kepada syarat umum yang terdapat dalam Perenggan 10 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2014 yang menyatakan bahawa:

(i) Kelayakan kemudahan Cuti Menjaga Anak tidak tertakluk kepada tempoh perkhidmatan yang melayakkan, dan pegawai tidak perlu menghabiskan semua Cuti Rehat yang berkelayakan sebelum menggunakan kemudahan Cuti Menjaga Anak.

(ii) Kemudahan Cuti Menjaga Anak di bawah Pekeliling Perkhidmatan ini tidak menjejaskan kelayakan pegawai bagi kemudahan Cuti Separuh Gaji di bawah peruntukan Perintah Am 13 dan 51 Bab C (Cuti) Tahun 1974 serta Cuti Tanpa Gaji di bawah peruntukan Perintah Am 14 dan 52 Bab C (Cuti) Tahun 1974.

(iii) Penggunaan kemudahan Cuti Menjaga Anak semasa pegawai berkhidmat dengan Perkhidmatan Awam Persekutuan, Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun atau Pihak Berkuasa Tempatan hendaklah diambil kira bagi maksud kelayakan kemudahan di bawah Pekeliling Perkhidmatan ini.

(iv): Pegawai yang menggunakan kemudahan Cuti Menjaga Anak melebihi 180 hari dalam satu (1) tahun kalendar layak dipertimbangkan pergerakan gaji secara isyarat, tertakluk kepada maksimum sebanyak tiga (3) kali pergerakan gaji secara isyarat bagi sepanjang tempoh perkhidmatan.

(vi): Bagi pegawai dalam tempoh percubaan dan telah diluluskan kemudahan Cuti Menjaga Anak, tempoh percubaannya dibekukan dan akan disambung semula mulai tarikh pegawai melapor diri bertugas. Walau bagaimanapun, pegawai boleh dikehendaki mengikuti kursus atau peperiksaan perkhidmatan yang disyaratkan bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan.

Bagaimanakah cara untuk memohon cuti menjaga anak untuk kategori ini? Menurut Perenggan 11:

(ii) Permohonan untuk menggunakan kemudahan Cuti Menjaga Anak yang tidak terikat dengan Cuti Bersalin hendaklah dikemukakan kepada Ketua Jabatan selewat-lewatnya 30 hari sebelum tarikh kuat kuasa Cuti Menjaga Anak.

(iv): Permohonan dikemukakan kepada Ketua Jabatan menggunakan Borang Permohonan Kemudahan Cuti Menjaga Anak 1/15 seperti di Lampiran A di dalam Pekeliling Perkhidmatan ini berserta salinan dokumen-dokumen yang berkaitan.

(vi): Pegawai dikehendaki melapor diri bertugas sebaik sahaja tamat tempoh Cuti Menjaga Anak atau apabila hubungan antara pegawai dan anak di perenggan 7(i) terputus atas sebab kematian anak atau lucut hak penjagaan.

cuti menjaga anak 2019
Sumber: Missfrugalmommy

Itulah dia info tentang cuti menjaga anak 2019 yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang cara mendidik anak perempuan gaya Rasulullah dan cara mendidik anak lelaki.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.