Nak tahu tips best cuci tandas boleh cuba?

Orang tua-tua kata, kalau nak tahu sama ada penghuni rumah tu bersih atau tak, tengok bahagian tandasnya. Agak-agak betul tak? Apa pandangan pembaca Bidadari.my tentang kenyataan ni?

Tandas merupakan bahagian yang paling penting untuk kita membersihkan diri dan melepaskan hajat besar atau kecil. Oleh itu, tandas sepatutnya dijaga dengan bersih kerana di situlah bakteria mudah membiak.

Bayangkan kalau hampir sebulan kita tak bersihkan tandas. Pastinya lumut menebal seinci di atas lantai. Lantai yang licin amat berbahaya kerana kita akan tergelincir, lebih-lebih lagi orang tua.

Tak cukup dengan tu, dinding pun akan kotor dengan lumut-lumut kuning dan hijau. Rambut-rambut yang gugur tersangkut di lubang tandas. Bau hancing dan haring tak payah cakaplah.

Kalau tiba-tiba ada tetamu yang datang nak menumpang guna tandas, berkerut dahi mereka dibuatnya. Justeru, tandas perlu kerap dibersihkan kerana Islam amat menitikberatkan kebersihan. Malahan, keselamatan di dalam tandas juga perlu diutamakan.

Dalam artikel ni, penulis akan kongsikan 9 tips mencuci tandas yang berkesan. Jangan pula fikir, alah nak cuci tandas pun susah ke? Sebenarnya, tips-tips yang dikongsikan ni menggunakan bahan-bahan yang ada di sekitar kita.

Yang malas nak cuci tandas pun boleh jadi rajin. Bahan-bahan yang digunakan boleh didapati di dapur saja. Selain kurang penggunaan bahan kimia, hasilnya juga akan buat anda kagum. Jom baca!

 #1 Gunakan Pencuci dan Bahan Peluntur yang Sesuai

Sebenarnya inilah kesilapan yang paling umum kita lakukan. Pencuci serbuk pakaian digunakan untuk cuci tandas. Ada pula yang gunakan sabun badan atau syampu rambut untuk menyental lantai tandas yang berdaki.

Sebenarnya, sabun-sabun ni tak efektif untuk menanggalkan kotoran di lantai dan dinding tandas. Anda tetap perlu menggunakan sabun khas yang direka untuk kegunaan tandas. Ia mempunyai peluntur khas untuk membersihkan kotoran degil.

Terdapat pelbagai jenis pencuci tandas khas untuk dinding, lantai, mangkuk tandas, cermin dan sebagainya. Malahan, ada juga pencuci yang mempunyai wangian khas untuk memberi kesegaran di dalam tandas.

#2 Penggunaan Cuka Putih

Selain digunakan dalam masakan dan perubatan tradisional, cuka putih juga sangat berkesan dalam menghilangkan kotoran. Cuka mengandungi asid asetik yang mampu menghakis kotoran-kotoran ringan.

Jika dinding mozek di tandas anda dah pudar warnanya dan berdaki, semburkan cuka yang diisi ke dalam botol kecil. Biarkan selama 10 hingga 15 minit, kemudian lapkan dengan kain yang telah dibasahkan.

Selain itu, jika singki atau kepala paip chrome diselaputi kotoran berwarna putih atau kehitaman, tuangkan campuran cuka dan sedikit garam halus. Biarkan beberapa minit, kotoran tersebut akan mencair dan hilang.

Selain itu, cuka juga boleh dituangkan ke dalam mangkuk tandas dan digunakan untuk mengelap cermin. Tak perlu beli pencuci yang mahal-mahal. Jimat bukan?

#3 Gunakan Buah Limau

Sama seperti cuka, buah-buahan sitrus seperti limau, limau kasturi, lemon, limau purut, oren dan sebagainya juga mengandungi asid. Oleh itu, selain dimakan begitu saja, dijadikan jus dan produk kesihatan, buah-buahan sitrus boleh digunakan untuk membersihkan tandas.

Tak perlu beli limau yang mahal seperti lemon atau grapefruit, jika anda menanam pokok limau nipis, kasturi atau purut. Boleh saja gunakan jusnya untuk membersihkan tandas.

Caranya ialah ambil beberapa biji buah limau kasturi dan perahkan jusnya. Semburkan pada dinding, cermin, singki atau mangkuk tandas. Anda juga boleh menyental celah-celah mozek dengan kulit limau tersebut. Hasilnya, tandas anda bukan saja berkilat, malah berbau wangi dan segar.

#4 Gunakan Soda Bikarbonat

Bagi yang suka membuat kek, biskut atau kuih-muih, nama soda bikarbonat pastinya dah biasa kedengaran. Ia ialah bahan alkali yang menghasilkan karbon dioksida apabila bercampur dengan bahan berasid seperti jus lemon dan sebagainya.

Soda bikarbonat mampu menghakis kotoran yang terdapat di permukaan singki dan mangkuk tandas. Caranya ialah campurkan soda bikarbonat dengan sedikit garam atau jus limau. Tuang ke atas kain yang lembap dan lap bahagian yang kotor.

#5 Gunakan Minyak Bayi

Jangan tak tahu, minyak bayi juga boleh digunakan untuk bersih dan mengilatkan tandas. Jangan pula gunakan minyak masak kerana tahap kelikatan minyak bayi lebih rendah dan mudah dibersihkan. Tak pasal-pasal terjatuh pula masa nak bersihkan tandas.

Anda boleh mengilatkan kepala paip atau apa-apa saja alatan yang disaluti chrome atau porselin di tandas anda. Malahan, anda boleh mengilatkan jubin di dinding, mangkuk tandas, singki dan almari atau rak yang terdapat di dalam tandas.

Caranya ialah tuang sedikit minyak bayi ke atas kain yang bersih dan lembut. Kemudian, lapkan bahagian yang diingini. Mudah bukan?

#6 Hentikan Karat dengan Pengilat Kuku

Hardware yang terdapat di dalam tandas mudah berkarat walaupun ada yang diperbuat daripada bahan antikarat. Ini kerana penggunaan air dan sabun membuatkan permukaan peralatan chrome mudah rosak dan terhakis.

Kadangkala, skru-skru di bahagian rak atau penutup mangkuk tandas juga mudah berkarat dan senang terbuka. Senang saja nak atasi masalah ni, anda hanya perlukan pengilat kuku.

Pertama sekali, bersihkan dan sental bahagian yang berkarat. Lapkan dengan kain kering dan biarkan hingga benar-benar kering. Sapukan pengilat kuku sebanyak beberapa lapisan. Percikan air dan sabun tak akan memberi kesan pada bahagian tersebut lagi.

#7 Hilangkan Paip Tersumbat dengan Air Panas

Tanpa kita sedari, saluran paip di tandas juga boleh tersumbat jika kita tak membersihkannya. Buih-buih sabun yang terkumpul boleh membentuk lapisan minyak yang tersangkut dengan kotoran lain seperti rambut, kertas, tisu dan sebagainya.

Caranya, anda boleh didihkan air panas. Kemudian, curahkan ke dalam saluran paip dengan berhati-hati. Buat seminggu sekali. Pasti tak akan ada masalah paip tersumbat. Anda juga praktiskan cara ni pada lubang singki anda.

#8 Letakkan Pewangi

Setelah mencuba tips-tips yang diberikan ni, macam ada yang kurang pula kalau kita tak letak pewangi. Anda boleh menggunakan pewangi tandas yang ada di pasaran dalam bentuk gel, bunga-bunga kering dan penyembur.

Kalau nak lebih semula jadi, anda boleh letakkan beberapa helai daun pandai di sudut yang tersembunyi. Anda juga boleh letakkan hirisan lemon, air daun pudina dan essential oil.

Jangan lupa buka tingkap pada setiap pagi untuk pengaliran udara yang baik. Paling penting jangan sidai tuala yang lembap dan basah di dalam tandas. Disebabkan kurangnya pancaran sinaran matahari, tuala tak mudah kering dan akan berbau hapak.

#9 Hiaskan Tandas

Setelah bersusah-payah bersihkan tandas sehingga wangi dan berkilat. Jangan lupa pula hiaskan tandas anda. Tak perlu hiasan sarat, cuma letakkan pasu bunga hiasan atau pokok hidup yang cantik. Anda juga boleh menggantung hiasan dinding bagi menaikkan seri bilik air anda tu.

Diharapkan anda semua dapatlah sedikit ilham dan tips berkesan untuk mencuci tandas hingga jayanya. Ingat ya! Jangan malas dan keraplah membersihkan tandas anda tu. Selamat mencuba. Jemput juga baca artikel cara kemas rumah dan cara susun kasut

Rujukan

https://www.thespruce.com/weird-toilet-fixes-that-really-work-327019

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.