Wanita adalah perhiasan dunia dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. Pastinya anda biasa dengar ungkapan ini. Tidak dinafikan bahawa setiap suami inginkan isteri solehah yang bukan sahaja menjadi kekasih di dunia malah ketua bidadari semasa di syurga nanti. Namun, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan wanita solehah? Apakah ciri-ciri isteri solehah yang selalu disebut dalam Al-Quran?

Taat dan bertaqwa kepada Allah

Ciri pertama seorang isteri yang solehah ialah dia sentiasa taat dan bertaqwa kepada Allah. Isteri yang solehah akan sentiasa melakukan segala suruhan agama dan meninggalkan segala larangan. Isteri yang solehah takut untuk melakukan dosa kerana dia tahu bahawa sesungguhnya di bahu kiri dan kanannya ada malaikat yang sentiasa mencatat semua amalan yang dilakukan.

Menjaga kehormatan diri dan nama baik suami

Ciri pertama isteri solehah ialah dia sentiasa menjaga kehormatan diri dan nama baik suami. Tak kira apa pun yang dilakukan atau di mana dia berada, seorang isteri yang solehah akan sentiasa menjaga kehormatan dirinya. Bagaimanakah cara untuk menjaga kehormatan diri? Menjaga kehormatan diri ialah dengan cara tidak mendedahkan diri kepada fitnah.

Sementara menjaga nama baik suami pula ialah dengan cara tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan nama baik suami. Ianya bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi pada zaman moden di mana semuanya di hujung jari. Berapa ramai isteri yang mendedahkan aib suami tanpa sedar semasa menulis di media sosial? Bercerita tentang kekurangan dan kelemahan suami sehingga diketahui oleh orang ramai?

Seorang isteri yang solehah akan berhati-hati semasa menulis dan bersosial di lama sosial agar tidak menconteng arang ke muka suaminya dan tidak menjatuhkan air muka suami.

Menutup aurat dengan sempurna

Ciri kedua seorang isteri yang solehah ialah dia akan sentiasa berusaha untuk menutup aurat dengan sempurna. Pada hari ini berapa ramai di antara kita yang membungkus aurat dan bukannya menutup aurat? Pastinya kita semua tahu bahawa aurat seorang wanita yang sudah akil baligh ialah seluruh tubuh badannya kecuali wajah dan kedua tapak tangan.

Oleh itu, jika kita ingin menjadi seorang isteri solehah, elakkan daripada berpakaian seperti berikut:

  • Bertudung tapi tidak menutup dada
  • Bertudung tapi berbonggil tinggi seperti unta
  • Memakai baju yang ketat dan menampakkan tubuh badan
  • Memakai baju yang jarang
  • Memakai baju yang singkat dan tidak menutup punggung
  • Memakai kain dan seluar ketat yang menampakkan bentuk kaki
  • Memakai seluar singkat
  • Memakai kain yang terbelah
  • Memakai kain yang jarang

Pakaian wanita yang solehah ialah seperti pakaian wanita syurga. Bukan sahaja menutup aurat dengan sempurna, malah kelihatan manis dan sopan. Sangat cantik di mata.

Menjaga solat dan rajin melakukan solat sunat

Ciri isteri solehah yang seterusnya ialah dia akan sentiasa menjaga solat 5 waktu dan rajin untuk mendirikan solat sunat. Isteri yang solehah akan sentiasa solat di awal waktu. Sebelum masuk waktu solat, dia sudah duduk di atas sejadah sambil berzikir atau membaca Al-Quran.

Malah dia juga rajin untuk melakukan solat sunat kerana dia tahu amalananya sangat kurang dan tidak mencukupi untuk masuk ke syurga. Pada waktu malam, dia dan suami akan bertahajud bersama demi mencari keredhaan Allah.

Sumber: Hijabnheels

Menghormati dan melayan kedua ibu bapa mertua seperti ibu bapa sendiri

Isteri yang solehah juga akan menghormati dan melayan kedua ibu bapa mertuanya dengan baik seperti mana dia melayan ibu bapa sendiri. Di dalam islam, kedudukan mertua adalah setaraf dengan ibu bapa sendiri. Oleh itu, seorang isteri yang solehah tidak akan membeza-bezakan di antara mertua dan ibu bapanya.

Bukan sahaja mertua, malah isteri yang solehah akan bergaul dengan ipar-duainya dengan cara yang baik dan penuh hormat. Inilah dia cirri-ciri isteri solehah yang amat sukar untuk dijumpai pada hari ini.

Bersolek dan berhias hanya untuk suami

Mengikut ajaran islam, haram hukumnya bagi seorang wanita untuk bersolek dan berhias secara berlebihan semasa keluar dari rumah atau semasa berhadapan dengan lelaki bukan mahramnya. Ia dipanggil sebagai tabarruj. Namun hari ini berapa ramai dia antara kita yang bersolek secara berlebihan semasa keluar dari rumah?

Tak cukup dengan solekan yang tebal, ditambah pula dengan wangian yang menusuk hidung dan pakaian yang tidak menutup aurat dengan sempurna. Sedangkan sepatutnya kita berhias hanya untuk santapan mata suami?

Menjaga tingkah laku semasa berada dengan orang ramai

Seorang isteri yang solehah akan sentiasa menjaga tingkah laku dan perangainya semasa berada dengan orang ramai. Gerak-gerinya sangat manis dan sopan. Isteri yang solehah juga akan menjaga batasan pergaulan semasa berkomunikasi dengan lelaki bukan mahramnya, terutamanya semasa berada di tempat kerja.

Dewasa ini ramai wanita yang bergelar seorang isteri terlupa untuk menjaga batas perbualan semasa berada di pejabat, bersembang di whatsapp group, atau semasa bersosial di media sosial. Oleh itu, jika teringin untuk menjadi seorang wanita solehah, sentiasa ingat status kita sebagai isteri dan pastikan batasan dijaga semasa kita berhubung dengan lelaki lain.

Sumber: Sitikhadijah

Itulah dia info tentang ciri-ciri isteri solehah  yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian kami, anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang cara buat suami rindu dan nusyuz seorang isteri

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.