Cili kisar atas cili boh adalah di antara bahan masakan yang sangat penting di dalam dapur. Banyak masakan yang menggunakan cili kisar, di antaranya sambal tumis dan asam pedas. Boleh saja beli cili kisar yang dijual di kedai namun ada masanya cili kisar yang dibeli tak menepati cita rasa kita.

Sekali beli cilinya pedas, lain kali beli cili kisarnya tak berapa pedas pula. Malah cili kisar yang dibeli tidak akan tahan lama walau pun dah dimasukkan bahan pengawet. Sekejap sahaja dah berkulat. Bagi kita yang beragama islam ada juga isu keraguan tentang tahap kebersihan semasam proses penghasilan cili kisar yang dibeli.

cili kisar

Sumber: Akuman999

Membuat sendiri cili kisar bukan sahaja menjimatkan duit malah ianya dijamin bersih dan menggunakan bahan yang suci. Jika anda tahu caranya, cili kisar yang dibuat sendiri akan membuatkan masakan anda terasa sangat sedap dan tahan lama. Tak mudah berkulat seperti cili kisar yang dijual di pasaran. Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan cara buat cili kisar homemade dan tips serta petua agar cili kisar tahan lama.

Cara buat cili kisar homemade

Untuk buat cili kisar sendiri tak susah pun sebenarnya. Modalnya tak mahal. Malah tak ambil masa yang lama untuk siap. Sekali dah buat sendiri anda takkan mahu lagi beli cili kisar di kedai. Jom kami kongsikan cara untuk membuat cili kisar.

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1 kilo cili kering
  • Segenggam garam kasar
  • Minyak masak secukupnya untuk mengisar cili kering
  • Air secukupnya untuk merebus cili kering

Cara-caranya:

  • Basuh cili kering dan gunting untuk mengeluarkan bijinya. Untuk keluarkan biji dengan mudah, tipsnya ialah gunting pada bahagian tengah cili kering sehigga cili kering terbuka dua. Kalau anda gunting dengan cara ini, mudah untuk biji keluar dan jatuh semasa anda mencuci untuk kali kedua nanti.
  • Selesai menggunting, rendam cili kering tadi dalam sebesen air. Ramas-ramas dan kacau agar biji terasing daripada cili kering. Biarkan cili terus terendam.
  • Sambil merendam cili kering tadi, panaskan air dalam satu periuk air sehingga mendidih. Apabila air tadi mendidih, masukkan cili kering yang  telah terasing dari biji tadi. Masak sehingga cili kering nampak lembut.
  • Tutup api. Angkat cili kering. Tapiskan kalau supaya tiada air yang tinggal dan untuk memastikan tiada lagi biji yang melekat.
  • Kisar cili kering yang telah direbus dengan sedikit garam dan minyak masak. Tak perlu masukkan air. Kita kisar cili kering dengan minyak masak agar bila nak digunakan untuk memasak nanti tak perlu lagi masukkan minyak masak. Boleh terus masukkan cili kering ke dalam kuali yang panas.
  • Kisar sehingga halus.
  • Masukkan ke dalam bekas bertutup. Pastikan cili kisar betul-betul sejuk sebelum ditutup dan disimpan di dalam peti sejuk. Tak perlu simpan di tempat beku. Simpan di bawah sudah memadai.
cili kisar

Sumber: Yoy

Petua tahan lama

Yang ini tak ramai yang tahu. Tak ramai yang tahu macam mana cara untuk pastikan cili kisar tahan lama dan tak mudah berkulat.  Di antara petua dan tips yang boleh anda lakukan agar cili kisar tahan lama ialah:

  • Pastikan anda tos air sehingga kering selepas merebus cili kering. Selepas cili kering diangkat dari air rebusan, tos cili kering agar semua air hilang dari cili kering. Semasa mengisar cili kering gunakan minyak masak sahaja, tak perlu tambah air. Kehadiran air dalam cili kisar akan menyebabkan cili kering tidak tahan lama serta mudah berkulat kerana air akan menjadi punca pembiakan kulat dalam cili kering.
  • Pastikan cili kisar betul-betul sejuk sebelum ditutup kerana jika anda menutup cili kisar semasa masih panas, ia akan menyebabkan cili kering tadi meruwap. Apabila proses meruwap berlaku akan ada air yang terhasil dalam bekas menyimpan cili kisar tadi. Apabila ada air, ia akan masuk ke dalam cili kisar lalu menyebabkan cili kisar  tidak akan tahan lama.
  • Simpan cili kisar dalam bekas kecil supaya cuma sedikit cili kisar terdedah setiap kali anda mengambil cili kisar dari bekas simpanan. Pendedahan cili kisar kepada udara setiap kali bekas dibuka dan sudu dimasukkan akan menyebabkan cili kisar terjejas. Jika anda menyimpan cili kisar dalam bekas yang besar, kesemua cili kisar anda akan terdedah setiap kali bekas dibuka.
  • Simpan cili kisar dalam bahagian sejuk beku. Letakkan satu bekas yang hendak digunakan sahaja di bahagian bawah. Ini kerana menyimpan cili kisar dalam tempat beku akan memanjangkan jangka hayat cili kisar.
  • Gunakan minyak masak yang baru semasa mengisar cili kering. Jangan guna semula minyak yang sudah digunakan untuk menggoreng kerana ianya sudah terjejas semasa proses menggorang dijalankan.
  • Gunakan sudu yang bersih semasa mengambil cili kisar dari bekas simpananan. Jangan gunakan sudu yang sudah tercemar dengan bahan masakan lain kerana ia akan menyebabkan cili kisar terjejas dan berlakunya pertumbuhan kulat.
  • Semasa menyediakan cili kering untuk diproses, pilih dan pastikan tiada cili kering yang rosak atau berkulat. Buang cili kering yang tidak sesuai untuk digunakan. Pilih cili kering yang berada dalam keadaan elok sahaja.

Itulah dia info tentang cara sediakan cili kisar homemade dan tipa agar cili kisar tahan lama yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang cara buat stok ayam untuk bayi, jus prune untuk bayi sembelit, dan cara buat ikan pekasam.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.