Cendawan mekah, unik namanya. Oh ya, anda sendiri pernah dengar tentang ‘cendawan Mekah’ ni?
Jika belum, anda boleh tahu sedikit sebanyak mengenainya melalui artikel ini.
Jika dilihat pada rupanya, terus terang tak seperti kulat pun! Sebaliknya ia lebih kelihatan seperti obor-obor yang hidup dalam air bersih yang manis dengan tambahan gula.
Cendawan ini turut dikenali dengan pelbagai nama seperti Kombucha Tea, Alga Mekah, Mud-mud dan Ibu Som.
Kenapa namanya begitu unik sekali? Pertama sekali, anda perlu tahu bahawa cendawan Mekah atau orang Barat memanggilnya kombucha ini merupakan hasil penemuan nenek moyang kita di nusantara ini!
Anda boleh anggap cendawan Mekah ini sebagai yogurt nusantara kerana cendawan Mekah mengandungi banyak khasiat perubatan daripada kehadiran probiotik di dalamnya.
Alkisahnya, nenek moyang kita dahulu pergi menunaikan haji menggunakan kapal laut yang mengambil masa berbulan-bulan. Untuk menempuh perjalanan berbulan-bulan itu, antara bekalan yang dibawa ialah air teh yang disimpan dalam balang.
Lama-kelamaan, air teh tersebut mula berkeladak dengan kehadiran bakteria dan yis membentuk kultur yang dipanggil cendawan itu. Mereka terus meminumnya juga, namun, ajaibnya, mereka berasa semakin bertambah sihat!
Rupa-rupanya, tanpa sengaja mereka telah mencipta minuman probiotik mereka sendiri semasa dalam perjalanan ke Mekah! Oleh itu, dinamakannya cendawan Mekah!
Secara saintifiknya, pepejal yang terampai kelihatan seperti yang dipanggil cendawan itu bukanlah sejenis cendawan! Tetapi merupakan jaringan selulosa yang terhasil melalui tindakan penapaian bakteria dan yis dalam air teh.
Menyentuh tentang khasiat Cendawan Mekah ini ternyata ianya dapat membantu sembuhkan banyak jenis penyakit. 1001 penyakit dapat diubati. Kiranya cendawan ini boleh dicuba sebagai salah satu kaedah untuk sihat.
Sekumpulan penyelidik dari India ada mengulas khasiat kesihatan cendawan Mekah ini berdasarkan laporan kajian lepas yang diterbitkan di jurnal Comprehensive Reviews in Food Science and Food Safety pada tahun 2014, antaranya :
Pelik! Memang pelik! Berbeza dengan tumbuhan lain. Cendawan mekah ini dibiakkan melalui proses rendaman dengan air teh O. Ya air teh O yang sering diminum itu adalah cara terbaik untuk membiakkannya.
Jika direndam sebulan, benih ini akan membesar mengikut bekas yang kita rendam. Kalau anda rendam dalam baldi, maka sebesar baldilah ia akan membesar. Ada juga yang membesarkannya dalam aquarium.
Cendawan Mekah hidup sebab ada gula dalam air teh o. Ajaibnya, walaupun air teh bergula dan manis tetapi rasa air teh o yang direndam dengan cendawan mekah ini mempunyai rasa masam. Maka cendawan mekah ini sama sekali tidak akan boleh hidup tanpa gula sebab gula itu adalah makanannya. Tanda cendawan mekah mati adalah apabila ia jatuh ke dasar dan tidak terapung lagi.
Benih cendawan ini agak mahal harganya sesuai dengan khasiatnya untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Benih ini menjadi rebutan diseluruh Nusantara, India, Asia Barat, Eropah kerana nilai kandungan perubatan yang terkandung dalam air cendawan ajaib ini.
Satu cendawan mekah dengan saiz benihnya yang kecil saja sudah boleh mencecah puluhan ringgit. Dan yang pasti stoknya juga adalah sangat terhad!
Pada zaman ini, kita boleh membuat pesanan dalam talian untuk membeli SCOBY atau Symbiotic Culture of Bacteria and Yeast yang merupakan agen probiotik untuk menghasilkan kombucha ini.
Pernah pada era tahun 70-an, penghasilan cendawan Mekah oleh penduduk tempatan mula tidak menjadi. Hal ini disebabkan oleh langkah kerajaan yang telah membekalkan air paip ke seluruh negara. Malangnya, air paip tersebut masih belum dirawat dan mengandungi klorin. Kehadiran klorin telah membunuh pertumbuhan cendawan Mekah.
Menurut Pengusaha Produk Alga Mekah Ahmad Sanusi Sulaiman, satu ketika dulu produk berkenaan begitu popular hingga membantu pihaknya meraih pendapatan sekitar RM6,000 sebulan.
Pada awalnya air cendawan mekah dihasilkan untuk kegunaan sendiri sebagai ikhtiar kepada masalah kesihatan isteri yang juga pesakit diabetes dan hampir mengalami serangan strok akibat paras gula terlalu tinggi.
Benih cendawan itu dibawa rakan dari negara dan beliau turut di ajar cara pembiakan dengan menggunakan balang kaca. Hanya perlu sediakan bancuhan air teh bersama gula ke dalam bekas peraman.
“Tindak balas selepas minum cendawan mekah terhadap isteri ternyata positif. Semakin sihat dan paras gulanya juga terkawal. Sejak itu, saya mula jadikan ia amalan sendiri serta ahli keluarga,” katanya.
Menurut kajian, cendawan Mekah mengandungi probiotik atau bakteria baik yang sama macam dalam minuman yogurt dan yogurt.
Oleh itu, kehadiran probiotik ini khususnya dalam sistem pencernaan akan membantu penguraian makanan dengan lebih baik dan melancarkan penghadaman.
Selain itu, cendawan Mekah menghasilkan asid asetik dan polifenol yang membantu proses kawalan gula dalam darah dan metabolisme karbohidrat yang lebih teratur untuk memberi rasa kenyang lebih lama.
Hal ini membantu dalam kawalan berat badan yang ideal.
Selain itu, minuman ini juga rendah kalori iaitu kira-kira 34 kalori sahaja bagi setiap secawan hidangan dengan 0% kandungan lemak tepu dan kolesterol.
Mengandungi asid glukoronik, bahan ini telah dilaporkan secara meluas dalam dunia saintifik, mampu menjadi sebatian antikanser.
Sebagaimana ulasan dalam kajian saintifik penyelidikan saintis dari Perancis pada tahun 2018 yang diterbitkan di Jurnal of Food Science, asid glukoronik merupakan komponen yang paling banyak dijumpai dalam teh kombucha atau cendawan Mekah ini.
Dengan kehadiran glukosamin, bahan ini bertindak melegakan sistem saraf dan melegakan sakit-sakit sendi.
Terutamanya sesuai diamalkan oleh mereka yang mengalami masalah arthritis.
Hal ini turut menarik minat pengkaji dari Kanada yang membentangkan ulasan mereka di jurnal Food Research International, bahawa cendawan Mekah membantu masalah sendi dan melegakan kesakitan akibat keradangan.
Antara nutrisi lain yang terdapat dalam cendawan Mekah ialah vitamin B dan enzim yang boleh memberikan tenaga dengan metabolisme karbohidrat dalam sistem tubuh.
Proses detoks atau penyingkiran toksik ini berlaku dengan kehadiran probiotik dan antioksidan yang tinggi dalam minuman cendawan Mekah ini.
Radikal bebas dalam tubuh akan diperangkap dan disingkirkan bagi memberikan kesihatan tubuh yang lebih berkualiti.
Malah, menurut hasil kajian saintis Belanda pada tahun 2000, minuman ini mampu melawan serangan dan melindungi tubuh daripada mikroorganisma berbahaya seperti E. coli, Sh. sonnei, Sal. typhimurium, Sal. enteritidis dan Cm. jejuni.
Soal sihat dari sakit sebenarnya tidak boleh diharap ke atas mana-mana makhluk baik tumbuhan atau sebaliknya. Semua itu terjadi hanyalah asbab sedangkan pemberi kesembuhan yang sebenar adalah Allah SWT.
Maka jadikanlah ianya sebagai ikhtiar tanpa lalai untuk terus berdoa setiap masa agar diberi kesembuhan supaya kembali cergas seperti dulu semula.
Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri bin Mohd Yusof.