Mahu menegur kesalahan orang lain pun ada caranya, jom ketahui bagaimana. Cara teguran dalam Islam terutamanya cara menasihati rakan.

Dari hadis riwayat Muslim, suatu hari, datang seorang Badwi, lalu berdiri untuk kencing di masjid. Para sahabat menggertaknya. Namun, Nabi SAW bersabda,

“Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.”

Para sahabat kembali bertenang dan membiarkan orang itu menyelesaikan hajatnya. Selepas itu, Nabi SAW menasihati Badwi itu,

“Sesungguhnya, masjid ini tidak boleh dicemari dengan sebarang najis dan kekotoran. Masjid adalah tempat untuk berzikir, solat dan membaca al-Quran.” Sejurus itu, Nabi SAW memerintahkan seseorang mengambil sebaldi air dan menyiram najis tersebut.

Jika kita teliti, betapa berhikmah,berhati-hati tetapi tegas adalah cara Rasulullah SAW menasihati orang Arab Badwi itu, walaupun tindakannya itu jelas tidak bersopan dan wajar dihukum. Cara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW inilah perlu kita ikuti agar nasihat tersebut lebih masuk ke hati dan seseorang itu tidak akan mengulangi kesalahan sama lagi.

Namun begitu, Islam juga turut menggariskan beberapa lagi cara sebagai teguran yang tidak menyinggung tetapi berkesan untuk mengubah kesilapan seseorang. Antaranya ialah:

Membetulkan Niat

Dari Amirul Mukminin Abu Hafsh, Umar bin Al-Khattab RA, ia berkata :

“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Segala amal itu bergantung pada niatnya, dan setiap orang hanya mendapatkan apa yang diniatnya. Maka barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya itu kerana kesenangan dunia atau kerana seorang wanita yang akan dikawininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang ditujunya.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selaras dengan hadis ini, setiap perbuatan perlu mempunyai niat yang betul. Barulah pekerjaan itu lebih diberkati. Begitu juga dalam aspek memberi nasihat. Hendaklah nasihat itu berdasarkan keinginan untuk mengubah seseorang supaya menjadi lebih baik, bukanlah kerana mahu menonjolkan bahawa diri sendiri lebih baik mahupun kerana cemburu serta iri atau sebab-sebab negatif yang lain.

Mengenal Pasti Golongan Yang Ditegur

Sebelum menegur seseorang, kenal pasti dahulu golongan yang bakal ditegur itu. Ini kerana cara untuk menegur ahli keluarga dan rakan sekerja pastinya berbeza dari segi pendekatan ataupun percakapan.

Begitu juga dalam menasihati pemimpin, sama ada pemimpin pemerintah atau pemimpin agama tetaplah ada caranya yang tersendiri. Teguran untuk ulama juga, agar mereka menegakkan kebenaran, menghapuskan kejahatan dan menyampaikan ilmu dengan cara terbaik.

Dalam menegur pemimpin perlulah mengikut saranan dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang hendak menasihati sultan (penguasa) tentang sesuatu perkara maka janganlah dia melaksanakannya secara terang-terangan, tetapi hendaklah dia mengambil tangannya, lalu duduk bersunyian dengannya. Jika dia menerima nasihatnya maka itulah sememangnya dan jika tidak, dia telah pun menunaikan kewajipannya terhadapnya.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Menggunakan Bahasa Dan Suara Yang Lembut

Elak menggunakan bahasa yang kasar dan nada suara yang angkuh dan tinggi. Tujuan kita adalah untuk menegur kesalahan orang, bukannya mahu menunjukkan bahawa diri kita lebih hebat dan baik

Dengan cara ini dikhuatiri pesalah tersebut tidak mahu peduli dan terus menerus melakukan kesalahannya. Jadi nasihati dengan bahasa dan nada yang lemah lembut. Paling penting adalah mengekalkan adab dan budi bahasa. Apabila kena dengan caranya pasti teguran juga akan diterima dengan baik dan berkesan.

Allah berfirman dalam al-Quran:

“Maka kamu katakan kepadanya kata-kata yang lemah-lembut, mudah-mudahan dia beringat (sedar) atau takut (kepada Tuhan)”

 (Taha:44)

Selain itu, kawallah emosi agar  tidak menguasai diri semasa menegur kesilapan orang lain.

Memilih Tempat Yang Sesuai

Sebelum menegur seseorang, pilihlah tempat yang sesuai. Menegur di hadapan orang ramai walaupun dalam kalangan ahli keluarga, akan membuat seseorang berasa malu dan berasa diabkan. Sebaiknya, pilih tempat yang tertutup atau ketika dia bersendirian. Ingat, kita hanya mahu membaiki kesalahannya, bukan mahu membuka atau mendedahkan aibnya.

Imam as-Syafie berpesan;

“Sesiapa yang menegur saudaranya secara sembunyi-sembunyi maka dia benar-benar telah menasihatinya dan menjaga aibnya. Namun, sesiapa yang menegurnya secara terang-terangan maka sesungguhnya dia telah memalukannya dan membuka aibnya.”

Mulakan Dengan Pujian

Bukan semua orang mudah menerima teguran dan mengakui kesilapan, apatah lagi jika cara teguran tersebut keras dan kasar. Maka, mulakan dengan memuji perkara baik dan elok yang telah dilakukan oleh individu tersebut. Selepas itu, barulah ditegur apa-apa yang salah. Kaedah ini bagi menaikkan semangat, dan secara tidak langsung mengurangkan rasa bersalah dan malu.

Bersangka Baik

Kita perlu bersangka baik terhadap orang yang ditegur. Boleh jadi, dia tidak mengetahui perkara yang dilakukannya itu salah ataupun kesilapannya itu adalah tidak sengaja. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa.”

(al-Hujurat:12)

Setiap manusia pasti melakukan kesilapan. Janganlah kerana satu kesalahan, memadamkan semua perbuatan baik yang dilakukannya. Dengan itu bersangka baiklah terlebih dahulu dan bersikap terbuka dalam menegur apa-apa kesilapan sekalipun.

Penutup: Budaya saling menegur dan menasihati perlu diteruskan dalam masyarakat.

Adalah tidak bagus untuk dibiarkan kesalahan dan kesilapan terus dilakukan begitu sahaja. Jadi dalam menegur, gunakanlah kaedah yang menyenangkan namun ada ketegasannya. Cara teguran dalam Islam.

Sifat ini menunjukkan kesungguhan untuk menegur dan mengelak kesalahan sama berulang lagi. Semoga dengan cara ini, keharmonian sesuatu hubungan terus berkekalan dan hidup akan dirahmati Allah dunia dan akhirat. Amin.

Rujukan

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.