Antara keistimewaan bila makan laksa ialah aromanya yang sangat memikat selera. Aroma ini tidak lain dan tidak bukan datang dari daun kesum dan juga bunga kantan. Cara potong bunga kantan dalam keadaan menyerong itu ternyata sangat mengamit selera untuk menikmatinya.
Tapi tahukah anda apakah antara khasiat atau kandungan yang terdapat pada bunga kantan ini? Tahukah juga cara simpan bunga kantan yang betul untuk tahan lama?
Jika masih belum tahu, melalui artikel ini akan dikongsikan beberapa khasiat, kegunaan dan cara simpan bunga kantan dengan kaedah yang boleh diguna pakai.
Tumbuhan Etlingera atau kantan pertama dijumpai ahli botani Johann Gerhard Konig pada tahun 1783 di Thailand dan dinamakan Amomum littorale. Pada tahun 1792, ahli botani German Andreas Ernest Etlinger menjumpai tumbuhan ini dan menamakannya Etlingera.
Tumbuhan dengan nama saintifik terkini Etlingera elatior var. elatior ini boleh dimakan dan dikenali sebagai kantan atau ‘halia obor’.
Tumbuhan ini adalah tumbuhan semusim dan menjalar serta mempunyai ketinggian lebih 15 kaki atau 5 meter, tumbuh berdekatan antara satu sama lain, tinggi tangkai bunga 3 kaki, bunga berbentuk kon terbalik yang luas dan kelopak bunga yang tidak berbulu dan mempunyai permukaan batang, daun, bunga yang berkilat.
Kantan digunakan secara meluas dalam masakan sebagai bahan perasa dan ulam-ulaman (bunga, buah, dan empulur batang muda). Di Malaysia, tumbuhan ini banyak digunakan untuk masakan seperti asam laksa, nasi kerabu, dan nasi ulam serta sebagai ubat-ubatan tradisional khususnya di Semenanjung Malaysia.
Daunnya pula digunakan sebagai mandian wanita selepas bersalin bagi menghilangkan bau badan. Kantan boleh dijadikan ubat tonik untuk merawat kerbau, ubat tradisional untuk merawat sakit telinga (rebusan buah) dan pembersih luka (rebusan daun). Batangnya digunakan untuk membuat tikar di Sumatera dan kertas di Singapura.
Berdasarkan kajian-kajian yang pernah dilaporkan sebelum ini, sebanyak 92 komponen kimia telah dikenal pasti dari daun, batang, rizom, seluruh tumbuhan, bunga, pangkal bunga, buah, paksi buah dan pangkal buah.
Tumbuhan ini mempunyai sejumlah 2 asid lemak, 17 monoterpena hidrokarbon, 23 monoterpena beroksigen, 16 seskuiterpena hidrokarbon, 4 seskuiterpena beroksigen, 8 hidrokarbon, 9 alkohol, 6 aldehid, 3 keton, 2 ester dan 1 eter.
Daun bunga kantan mempunyai kandungan antikosidan yang tinggi. Fungsi antioksidan adalah menjadi penapis bagi radikal bebas. Jika dibiarkan, radikal bebas ini boleh merosakkan sel-sel dalam tubuh badan yang sihat. Dengan adanya antioksidan ini boleh menjadi penapis radikal bebas dan dapat mengelakkan diri kita daripada mendapat penyakit seperti kanser, penyakit jantung dan pelbagai penyakit yang disebabkan oleh radikal bebas ini.
Menurut kajian lepas, ekstrak kantan mempunyai kandungan fenolik, asid askorbik, dan kuasa pengoksidaan/penurunan ferik yang tinggi.
Kandungan fenolik dan aktiviti antipengoksidaan bagi ekstrak tumbuhan kantan berdasarkan bahagian mengikut susunan ialah daun > batang > rizom.
Menerusi kajian yang dijalankan pokok bunga kantan (daun, ekstrak rizom) telah dilaporkan mempunyai keupayaan yang ketara sebagai agen anti-bakteria dalam gejala yang disebabkan oleh mikrob patogen. Ini disebabkan oleh kandungan flavonoid, fenolik dan terpenoid yang tinggi di dalam pokok bunga kantan telah membantu ianya menjadi anti mikrob yang baik.
Aktiviti antimikrob dalam tumbuhan famili Zingiberaceae telah dilaporkan oleh ramai penyelidik. Sabulal et al. (2006) melaporkan rizom Zingiber mempunyai aktiviti antimikrob terhadap fungus Candida glabrata, Candida albicans, Aspergillus niger dan bakteria Basillus subtilis dan Pseudomonas aeruginosa.
Kajian dari Universiti Kebangsaan Malaysia pula mendapati bahawa aktiviti antibakteria minyak pati kantan adalah disebabkan kehadiran monoterpena yang tinggi seperti β-pinena, 1,8-sineol, α-terpineol dan γ-terpineol yang dapat merencatkan bakteria.
Menerusi kajian (ekstrak etanol daripada pokok bunga kantan), dengan menghalang enzim α-glucosidase atau α-amylase, seterusnya akan melambatkan penyerapan karbohidrat dan mengurangkan penyerapan gula selepas makan dan akhirnya mengurangkan pengambilan glukosa dan glukosa darah.
Dilaporkan, pokok bunga kantan (ekstrak etanol : 25 μg mL-1) menunjukkan perencatan yang kuat terhadap α-glucosidase dan α-amylase berbanding acarbose.
PERINGATAN : Penurunan kadar gula dalam darah memerlukan penggunaan cara yang betul.
Bunga kantan (bahagian yang berwarna merah jambu) boleh dijadikan bahan utama dalam masakan seperti laksa, salad (kerabu), menjadi campuran dalam nasi goreng kerabu dan sebagainya.
Dengan kehadiran bunga kantan ini, dapat membantu menaikan aroma yang sangat harum dalam masakan dan mampu meningkatkkan selera makan seseorang yang hilang selera makan.
Batang bunga kantan ini mempunyai bau yang harum. Justeru itu, batang bunga ini boleh dijadikan wangian semula jadi untuk merawat bau badan terutamanya bagi wanita yang baru bersalin.
Cara-caranya adalah ;
1) Ambil bahagian batang bunga kantan ini, dan ditumbuk sehingga lumat.
2) Rebus daun yang sudah ditumbuk sehingga lumat dan air rebusan itu boleh digunakan untuk menjadi air mandian.
PERINGATAN : Jangan mandi air rebusan tersebut pada waktu air tersebut panas ditakuti ianya akan menyebabkan lecuran berlaku.
Daun bunga kantan ini mempunyai ciri-ciri anti-mikrob. Ia sangat baik untuk merawat luka supaya luka tetap steril (tiada kuman) dan mempercepatkkan penyembuhan. Ianya lebih baik berbanding dengan menggunakan ubat yang berasakan bahan kimia kerana ianya lebih semula jadi.
– Rebus daun bunga kantan sehingga mendidih
– Air rebusan yang masih suam dilumurkan di kawasan atau bahagian luka.
PERINGATAN : Sekiranya luka masih tidak pulih pergilah berjumpa dengan doktor. Cara ini TIDAK disarankan bagi pesakit kencing manis kerana setiap luka pesakit kencing manis sukar untuk dirawat secara tradisional.
Macam mana nak simpan bunga kantan? Banyak stok bunga kantan ni kat rumah tapi selalu saja buang sebab tak tahu cara nak simpan. Sebenarnya, cara penyimpanan bunga kantan ini sama seperti bunga-bunga yang lain, sama ada simpan ia di dalam peti sejuk atau letakan bunga ini di dalam pasu yang berisi air.
Cara terbaik untuk simpan bunga kantan agar tahan hingga berbulan-bulan adalah dengan menggunakan adalah kaedah simpan bunga kantan frozen.
Cara simpan bunga kantan frozen ini boleh juga digunakan sebagai cara simpan daun kesum. Lagi pula bunga kantan dan daun kesum ni kan saling digunakan bersama. Alhamdulillah, dengan membaca artikel ini bukan saja boleh tahu cara simpan bunga kantan tahan lama malah dapat juga tahu cara simpan daun kesum tahan lama.
Bunga kantan ini tidak sesegar bunga kantan yang baru dibeli. Justeru itu, bunga kantan yang disimpan di dalam sejuk beku tidak sesuai untuk dibuat kerabu salad kerana kualiti bunga kantan tidak seperti yang segar. Tetapi ianya boleh digunakan dalam pembuatan laksa dan selain daripada kerabu.
Tetapi, sekiranya meletakkan bunga kantan di dalam pasu, ianya bagi memastikan bunga kantan sentiasa segar. Walau bagaimana sekali pun, ianya tidak boleh bertahan dalam masa yang lama, cara ini hanya bagi memastikan bunga kantan kekal segar dalam penyediaan makanan.
Itulah dia petua untuk simpan bunga kantan agar kekal segar dan tidak lebam. Tips simpan bunga kantan freozen ini elok juga digunakan untuk daun kesum dan daun pegaga. Walaubagaimanapun, pastikan pilih bunga kantan yang segar dan baik dulu untuk dibekukan. Lepas ni tak payahlah membazir lagi. Almaklumlah harga sekuntum bunga kantan ni agak mahal juga.
Kini, penyelidikan ke atas kantan semakin giat dijalankan, bukan sekadar dicampakkan ke dalam masakan. Hasilnya, pelbagai aplikasi larutan dapat dihasilkan khususnya sebagai ejen aktimikrob.
Penemuan daripada penyelidikan sebegini dapat membuka peluang kepada para penyelidik untuk lebih memahami mekanisme pembentukan sebatian organik dalam tumbuhan.
Selain itu, tumbuhan yang banyak dijumpai di Malaysia ini boleh dianggap sebagai antara khazanah negara apabila permintaan terhadap bekalan tumbuhan ini akan meningkat untuk memenuhi keperluan komuniti saintifik dan pemasaran yang sekali gus menjana pendapatan negara.
Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof.