Mari ketahui bagaimana Islam menyantuni OKU!

Orang Kelainan Upaya (OKU) ataupun golongan yang diuji Allah dengan perbezaan keupayaan ini adalah insan istimewa yang  selalunya mempunyai masalah dalam kecacatan fizikal, kekeliruan mental, intelektual atau deria.

Keadaan ini disebabkan sejak lahir secara semulajadi ataupun akibat kejadian tertentu seperti kemalangan, peperangan atau sebagainya. Pun begitu Islam tidak sama sekali melayani golongan ini secara dikriminasi, malah sangat memandang mulia terhadap mereka dengan menggalakkan layanan yang sebaiknya.

Sejak dari zaman Rasulullah SAW lagi, golongan OKU sudah dilayani sama rata. Malah Baginda juga mempunyai ramai sahabat dari kalangan OKU, antaranya Abdullah bin Ummu Maktum RA dan Julaibib RA. Baginda SAW sangat menyantuni mereka.

Abdullah bin Ummu Maktum seorang yang buta sejak dilahirkan telah dilantik sebagai muazin oleh Rasulullah SAW, bersama Bilal bin Rabah RA. Baginda mendoakan agar Abdullah diganjarkan dengan syurga. Abdullah juga menjadi orang yang pertama menyambut seruan Nabi Muhammad semasa kaum muslimin berhijrah ke Madinah.

Jadi bagaimana untuk umat Islam hari mencontohi perilaku Rasululah SAW dalam menyantuni golongan kelainan upaya ini?

1. Menyediakan Kemudahan

Menyediakan kemudahan kepada mereka dalam apa-apa jua bentuk. Termasuklah bantuan dalam  melakukan ibadah dengan selesa dan mudah.

Perlu selalu mengemaskini infrastruktur untuk OKU agar mereka dapat menjalani kehidupan yang baik dan  lebih bermakna seperti orang biasa.

2. Tidak Mengejek Dan Menghina

Tidak ada sesiapapun di dunia yang minta dilahirkan dengan kekurangan diri dan mahu dihina.  Bahkan tidak  ada sesiapun manusia yang layak dihina oleh manusia juga.

Dengan itu jangan sesekali menggelarkan golongan OKU dengan cacian dan makian, serta

cercaan yang menghina dan menjatuhkan kedudukan mereka.

Elakkan diri dari menggelar mereka dengan nama yang negatif seperti, si pekak atau si bisu.

Bahkan jangan juga memanggil mereka dengan cara yang tidak sopan seperti menghentak kaki, memukul meja, membaling objek kepada mereka dan lain-lain lagi perbuatan yang merendahkan mereka.

3. Memberi Sokongan Motivasi

Masyarakat perlu memberi sokongan dari aspek moral kepada golongan ini ke arah hal yang lebih positif.

Selalunya golongan ini mempunyai semangat yang nipis, selain berasa mudah putus asa dan tidak bersemangat kerana menganggap mereka tidak sama seperti orang lain. Sentiasa menyokong mereka dengan kata-kata semangat yang menenangkan hati dan membuatkan mereka tidak berasa rendah diri.

4. Menawarkan Pertolongan

Bersedia untuk menghulurkan bantuan jika diminta dan diperlukan, malah jangan paksa untuk membantu sekiranya tidak diperlukan. Dan jangan memaksa mereka tetapi hormatilah keputusan dan keehndak mereka. Golongan OKU bukan untuk dihina atau diketawakan tetapi untuk difahami dan dibantu.

Contohnya jika seorang buta ingin pergi ke sesuatu tempat, murahkan hati untuk membantunya. Itu juga adalah sokongan dan cara menyantuni golongan ini yang disukai Allah.

5. Menggunakan Bahasa Isyarat

Hari ini bahasa isyarat bukan untuk golongan OKU yang pekak dan bisu sahaja, tetapi merupakan satu keperluan dalam memudahkan komunikasi. Dengan menggunakan cara ini membuatkan golongan ini berasa lebih dihargai dan lebih berkeyakinan untuk menyertai masyarakat.

6. Menyediakan Kemahiran Dan Peluang Pekerjaan

Semua peringkat dan sektor perlu berkerjasaama dalam membantu golongan OKU membabitkan diri dalam ruangan pekerjaan. Termasuklah menyediakan peluang atau dengan memberikan sektor kemahiran yang bersesuaian untuk mereka.

Jangan singkirkan dan asingkan golongan OKU dengan menghadkan kekurangan mereka dalam sektor ekonomi. Jangan jadikan kekurangan mereka sebagai penghalang untuk apa-apa jawatan perkerjaan, sedangkan banyak dari mereka yang berpotensi.

7. Memberikan Layanan Dengan Kasih Sayang

Sebaiknya kasihilah mereka seperti ahli keluarga sendiri. Jangan sesekali bertindak

memukul serta menyakiti mereka secara fizikal.

Mereka juga mempunyai perasaan sama seperti manusia biasa. Allah menjadikan mereka

sebagai OKU juga bukanlah tanpa sebab, ini kerana ujian untuk mereka juga merupakan ujian untuk kita juga.

8. Membantu Mengurus Emosi

Sepatutnya golongan OKU juga perlu diberikan layanan dengan penuh kasih sayang tanpa apa-apa prejudis atau pandangan yang rendah. 

Barangkali dengan mendengar masalah dan luahan mereka dapat membantu mereka menguruskan emosi. Selain membuatkan mereka menerima kekurangan diri sebagai ujian yang Allah untuk meningkatkan martabat mereka. OKU bukanlah satu kelemahan dan kekurangan!

Penutup: Tuntutan Islam Agar Melayani Semua Orang Dengan Baik

Masyarakat, terutamanya umat Islam wajib melayani golongan OKU ini dengan sebaiknya, sama-tara sebagai tuntutan Islam bahawa semua umatnya bersaudara.

Jangan sesekali melakukan hal yang membuatkan golongan OKU tersisih dan terus menerus berasakan diri mereka hina dan tidak bermakna.

Terimalah golongan OKU sebagai ahli masyarakat tanpa apa-apa kekurangan sepertimana Islam menerima semua umatnya.

Bacaan lain:

Rujukan:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.