Pernahkah anda menghadapi keadaan ini? Anak anda hanya menumpukan perhatian hanya bila si dia mahukannya sahaja. Cuba bayangkan keadaan ini.

Bayangkan anda sedang menunjukkan kepada anak anda berusia 5 tahun cara menulis huruf “A” yang sudah pun diulang berjuta kali. Anda berkata, “Mulakan dari atas, pergi ke bawah, dan buat satu garisan melintang.”

Tetapi malangnya, semasa anda bercakap, dia melihat hampir kesemua disekelilingnya kecuali apa yang sedang dilakukannya. Dia gelisah dan bermain dengan penselnya.

Anda sentiasa berusaha menarik perhatiannya semula kepada perkara yang sedang dilakukan dan tidak putus-putus berkata “Adik tumpukan perhatian!” tetapi anda mula kehilangan sabar.

Tumpuan kanak-kanak

Tips meningkatkan tumpuan kanak-kanak [Sebastian]

Pakar perkembangan kanak-kanak berkata, secara purata, seorang kanak-kanak berusia 4 atau 5 tahun perlu mampu untuk kekal fokus kepada satu atau dua tugasan selama 2 hingga 5 minit didarab dengan usia mereka. Oleh itu, kanak-kanak sepatutnya mampu untuk fokus di antara 4 hingga 20 minit, dan boleh jadi lebih, bergantung kepada tugasan.

Prinsip ini bagaimanapun, sepertimana garis panduan untuk membesarkan kanak-kanak, bergantung kepada situasi. Disini dikongsikan tips untuk meningkatkan tumpuan kanak-kanak.

Berikan Perhatian Untuk Mendapatkan Perhatian

Berapa banyak perhatian yang diberikan oleh seorang kanak-kanak terhadap suatu tugasan bergantung sama ada dia menikmatinya atau tidak. Ramai kanak-kanak bergelut apabila diminta untuk melakukan sesuatu yang tidak mahu dilakukan oleh mereka.

“Pertama kali anda memperkenalkan suatu aktiviti yang lebih penting kepada anda daripada kepentingannya kepada anak anda, anda sebenarnya sedang diuji kreativiti dan kefleksibelan sebagai ibu bapa dan guru,” jelas Dr. Rojas, seorang pakar kanak-kanak.

Ini menjadi satu pergelutan bagi ibu bapa kerana kanak-kanak yang memasuki alam persekolahan perlu melakukan tugasan yang lebih berstruktur, berulang, dan berbentuk akademik seperti menulis nama mereka atau membunyikan huruf. Pada waktu petang, anda mungkin mahu dia belajar tetapi dia lebih ingin bermain permainan kereta di lantai ruang keluarga. Ini bukan semestinya sesuatu yang buruk.

“Bermain dengan kereta secara intrinsiknya memotivasikan kanak-kanak,” kata Margret Nickels, Ph.D., pakar psikologi klinikal dan juga pengarah Pusat Kanak-Kanak dan Keluarga di Erikson Institute di Chicago.

“Ada kanak-kanak 5 tahun yang boleh bermain dengan Lego untuk 30 minit tetapi tidak boleh duduk tetap untuk menulis nama mereka.”

Jadi, sedikit kreativiti boleh menukarkan sesuatu yang suram kepada sesuatu yang menarik. Sebagai ganti mendesak anak lelaki anda menulis huruf “A” dengan pensel di dalam buku kerjanya, anda juga boleh menyuruhnya menulis dengan kapur, membentuknya dengan Play-Doh, atau menirunya dengan cat di atas kuda-kuda lukisan yang besar.

Menurut Mart Doty, seorang guru taman didikan kanak-kanak di Waimea Country School di Kepulauan Hawaii.

“Buku kerja boleh menjadi sukar dan mengelirukan kepada kanak-kanak, jadi buatlah buku ABC anda sendiri,” cadang Doty.

“Potong gambar daripada suratkhabar atau majalah yang bermula dengan huruf “A” atau buka majalah dan lihat berapa banyak huruf “A” boleh ditemui.

Gunakan blok untuk membentuk huruf A. Semua ini akan membantu kemahiran pergerakan dan ia dijamin lebih menarik.”

Permainan seperti permainan papan dan permainan yang menggunakan memori juga boleh menguatkan otot penumpuan. Ibu bapa perlu mengambil masa mengenalpasti maklumat terperinci yang kecil dan menarik di persekitaran mereka yang menunjukkan kanak-kanak cara untuk menumpukan perhatian mereka.

Semasa berjalan, ibu bapa boleh berhenti dan menunjukkan anak-anak tentang warna bunga atau bercerita tentang bentuk dan rasa batu yang mereka kutip.Untuk mendapatkan perhatian kanak-kanak, ibu bapa juga perlu memberi perhatian.

Jarak Fizikal dan Arahan yang Pendek

“Ia mudah untuk ibu bapa terperangkap dalam lubang. Perhatian kita seringkali bertaburan,” kata Dr. Rojas.

“Jika perhatian kita juga bertaburan, dan kita tidak boleh membawa diri kita kembali kepada masa itu, kita juga tidak boleh menjangkakan seorang kanak-kanak untuk mampu melakukannya.”

Jarak fizikal semasa memberi arahan yang ringkas dan jelas dapat membantu kanak-kanak untuk mempunyai fokus lebih baik.

“Cara terbaik untuk mendapatkan perhatian mereka adalah dengan berada rapat secara fizikal dengan kanak-kanak.

Jangan menjerit dari dapur sehingga didengari di ruang tamu semasa menyampaikan permintaan,” kata Dr. Nickels.

Pergilah ke ruang tamu, berdiri di depan anak anda, pandang matanya, berada pada jarak matanya atau sentuh bahu mereka, dan kata ‘Ibu perlukan kamu untuk melakukan ini sekarang.’

Kata Dr. Rojas, “Biasanya apabila melihat anak saya, saya akan berkata, ‘Hei Alex, tengok ibu. Apa yang kamu perlu buat sekarang?’ Dia akan menjawab, ‘Membaca’. Kemudian saya akan katakan kepadanya, ‘Tunjukkan saya apa yang kamu tahu kamu perlu buat sekarang.’

Adakah Mereka Letih Atau Lapar?

Ibu bapa perlu juga menyedari jika ada sesuatu yang mengganggu tumpuan kanak-kanak. Adakah dia lapar atau letih? Untuk melawan kelaparan dan keletihan, berikan anak anda makanan ringan sebelum dia melakukan kerja rumahnya atau tugasan lain yang berstruktur. Pastikan makanan ringan tersebut adalah sihat, dan bukan yang dipenuhi gula dan lemak.

Menurut Mayo Clinic, pilihan yang bijak adalah termasuk pretzel bijirin penuh, sayur mentah yang dicelup ke dalam kuah bebas lemak atau hummus, tairu, dan mentega kacang di atas pisang atau epal. Tidur yang baik pada malam hari juga penting, oleh itu pastikan anak anda mendapat rehat yang cukup.

Ramai kanak-kanak memerlukan sedikit rehat bila mereka pulang dari sekolah.

“Semua orang memerlukan masa di mana mereka tidak perlu melakukan apa-apa. Ia membantu kita untuk kembali segar dan fokus.

Jika kanak-kanak tidak mempunyai masa rehat seperti itu dan mempunyai jadual yang terlampau padat, mereka akan ‘merayu’ dengan cara memaparkannya melalui tingkah laku mereka,” kata Dr. Rojas.

“Mereka mungkin menentang rutin atau permintaan yang kita buat, untuk memberitahu kita yang mereka perlukan ruang supaya minda mereka bersiar-siar dan berehat.”

Jika terdapatnya adik-beradik mengganggu satu sama lain, asingkan mereka di bilik lain semasa mereka membuat kerja.

Tips Hiatt Tentang Meningkatkan Tumpuan Anak

Hayati kisah Betsy Hiatt, seorang ibu kepada 6 orang di Olympia, Washington, tentang kepentingan untuk kanak-kanak menumpukan perhatian. 4 orang daripada anak-anaknya yang paling muda adalah 2 pasangan kembar, masing-masing berusia 6 dan 8 tahun.

Anak kembarnya yang berusia 6 tahun mempunyai masalah dalam menumpukan perhatian di sekolah dan juga di rumah. Walaupun begitu, salah seorang anaknya yang berusia 8 tahun, yang sebelum ini mempunyai masalah tumpuan perhatian yang rendah menunjukkan peningkatan tumpuan yang semakin bagus apabila meningkat dewasa.

Strategi beliau adalah dengan menyediakan rutin yang tegas dan berasingan. Sementara seorang anaknya berlatih bermain piano di ruang tamu, salah seorang anaknya yang lain menyiapkan kerja rumah di bilik yang berlainan bersebelahan dengan dapur, seorang lagi makan makanan ringan di dapur, dan seorang lagi membaca di suatu sudut di dapur.

Walaupun strategi ini mungkin nampak seperti kerusi-kerusi muzik, ia berkesan untuk Hiatt kerana beliau mampu memberikan perhatian secara individu kepada setiap anak-anaknya.

“Saya sudah cuba meletakkan semua orang di dalam bilik yang sama, dan ia boleh berlaku, tapi ia cenderung untuk menjadi huru-hara dan tidak membantu,” kata Hiatt.

“Saya mendapati kanak-kanak itu sudah berada di dalam bilik darjah sepanjang hari dan apa yang mereka mahukan adalah masa bersendirian bersama ibu mereka.”

Hiatt ada anak-anak kembarnya yang lebih tua untuk membantu anak-anak kembarnya yang lebih muda untuk kekal fokus. Beliau tidak membenarkan mana-mana anaknya untuk menonton televisyen atau bermain dengan komputer sehingga mereka semua menyiapkan kerja sekolah mereka.

Hal ini memotivasikan mereka untuk membantu satu sama lain agar mengekalkan di dalam minda mereka terhadap tugasan-tugasan kerana mereka semua mahukan masa untuk menonton televisyen dan permainan komputer.

“Anda perlu sentiasa mengarahkan mereka, tetapi anda juga perlu membiarkan kanak-kanak tersebut memikirkan sendiri tentang sesuatu perkara,” katanya.

“Jadi, ibu bapa tidak patut mengalah daripada bercakap dengan anak mereka tentang kepentingan memberikan perhatian. Walaupun jika mereka tidak nampak seperti akan mendengar, sebenarnya mereka sedang mendengar.”

Kanak-kanak boleh berhenti memberi respon dan berhenti memberi perhatian bila mereka fikiran mereka mengatakan tugasan tersebut terlalu sukar untuk dilakukan mereka. Mereka mungkin memerlukan arahan yang dipecahkan kepada beberapa langkah kecil.

Dr. Nickels berkata, sebagai contoh, daripada memberitahu seorang kanak-kanak untuk membersihkan biliknya, ia mungkin lebih baik untuk mengatakan, “Pertama, tolong kutip semua Lego dan ibu akan kembali dan beritahu kamu apa yang kamu perlu buat seterusnya.”

Adakalanya hanya dengan mengilustrasikan rutin itu di atas kertas dan tampalkan ia pada dinding boleh memberikan ingatan visual yang bagus berbanding dengan peringatan secara lisan yang berterusan tetapi tidak berkesan.

Letakkan di dalam minda bahawa memberikan peringatan pendek adalah lebih positif dan memberi kesan lebih baik berbanding penerangan panjang lebar, memekik, atau menimbulkan rasa bersalah. Jangan lupa memuji kanak-kanak atas usaha mereka.

Cara Memuji Yang Betul

“Banyak masanya dalam budaya kita, kita memuji hasil. Kita kata ‘Kerja yang bagus, lihat apa yang anda boleh buat.’ Kita tidak fokus kepada bagaimana peritnya kanak-kanak itu telah berusaha untuk melakukan sesuatu,” kata Dr. Nickels.

“Daripada mengatakan ‘Awak tak menulis nama awak dengan betul, atau huruf H sepatutnya seperti ini, kita sepatutnya mengatakan ‘Awak memegang pen dengan bersungguh-sungguh dan kekal dengan garisan itu. Itu sangat menarik.”

Kajian juga menunjukkan latihan dapat membantu kanak-kanak untuk menumpukan perhatian. Kajian daripada Centers for Disease Control and Prevention dari tahun 2010 mendedahkan bahawa kanak-kanak yang bersekolah rendah mengambil rehat dari kerja di kelas untuk lebih aktif pada waktu siang boleh memberikan penumpuan lebih baik semasa melakukan kerja sekolah.

Senaman dan Sukan

Kajian melaporkan bahawa ibu bapa yang menjadikan senaman sebagai keutamaan dalam keluarga akan mempunyai anak-anak yang lebih aktif secara fizikal.

Ibu bapa perlu membantu anak-anak mereka mencari sukan yang disukai, menyediakan permainan luar seperti bola dan tali untuk melompat, dan mengasingkan masa pada hari-hari tertentu seperti pergi berjalan atau menunggang basikal bersama.

Menghadkan Masa Menonton TV

Kaedah lain untuk menggalakkan kanak-kanak untuk menjadi lebih aktif adalah dengan menghadkan masa menonton TV, yang mana boleh meningkatkan penumpuan kanak-kanak. Kajian pada tahun 2011 yang diterbitkan di dalam Pediatrics mendapati Spongebob SquarePants dan kartun pantas yang lain memendekkan tahap penumpuan kanak-kanak berusia 4 tahun.

“Ransangan terlampau dan pendedahan kepada televisyen, komputer, dan permainan video boleh memberi kesan buruk kepada tahap penumpuan.” American Academy of Pediatrics mencadangkan masa yang digunakan tidak lebih dari satu atau dua jam sehari daripada jumlah tontonan tinggi kualiti, termasuk TV, video, komputer, telefon, dan permainan video. (dan kanak-kanak di bawah usia 2 tahun tidak sepatutnya didedahkan kepada mana-mana masa tontonan dan media hiburan yang lain).

Daripada memasang TV atau memberikan telefon pintar kepada anak-anak anda, pastikan mereka fokus kepada aktiviti lain yang boleh meningkatkan jangka masa tumpuan. Kanak-kanak boleh digalakkan untuk membaca, teka-teki atau ‘puzzle’, membantu menyediakan makan malam, membina kubu pertahanan daripada blok dan kerusi, dan membantu membuat kerja rumah.

Matikan TV dan mulakan perbualan dengan seorang kanak-kanak muda boleh membina penumpuan; bila ibu bapa fokus kepada anak mereka dan mendengar, mereka sebenarnya sedang mempamerkan contoh bagaimana menumpukan perhatian kepada anak mereka.

Namun adakalanya, seorang kanak-kanak boleh jadi mempunyai masalah penumpuan yang sukar untuk diselesaikan dengan strategi yang mudah. Di sini ibu bapa mungkin memerlukan bantuan daripada seorang guru, pakar pediatrik, atau pun pakar psikologi.

Beberapa amaran termasuk seorang kanak-kanak berusia 4 hingga 5 tahun yang mempunyai masalah berterusan melibatkan diri dengan apa saja untuk lebih dari 2 atau 3 minit, memerlukan bimbingan berterusan untuk melakukan aktiviti yang sepatutnya boleh diuruskan, melompat daripada satu aktiviti kepada aktiviti yang lain, dan tidak mampu untuk mengawal gerak hati.

Sebagai contoh, seorang kanak-kanak pra-sekolah mungkin tidak mampu untuk kekal duduk dan memberikan sepenuh perhatian semasa tempoh membaca kerana dia ternampak pembantu kelas menyediakan kudapan. Oleh itu dia akan bangun dari bulatannya kerana dia mahukan kudapan itu.

“Jika dia mahu apa yang dia mahukan semasa dia mahukannya setiap masa, itu boleh menjadi satu petanda ketidakmatangan atau penumpuannya tidak berfungsi sepenuhnya pada usia 4 atau 5.” Kata Dr. Rojas.

Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD)

Ibu bapa perlu berhati-hati bila mengandaikan anak mereka mempunyai masalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), satu sindrom yang biasanya didiagnos pada awal kehamilan yang dicirikan oleh gerak hati, aktiviti terlampau, kecuaian, atau kombinasi kesemuanya. ADHD bukan selalunya menjadi punca utama; ada faktor-faktor lain yang mempengaruhinya.

“Sebagai orang dewasa, semasa kita bimbang terhadap sesuatu, ia amat sukar untuk kita menumpukan perhatian.

Jika seorang kanak-kanak didiagnos dengan ADHD, ibu bapa perlu bekerja dengan pakar kesihatan mental untuk membina satu rancangan yang boleh membantu meningkatkan jangka masa tumpuan kanak-kanak.

Isu kesihatan mental, seperti kemurungan, marah, dan kebimbangan, boleh menjadikan kanak-kanak sukar untuk fokus, dan kanak-kanak lebih muda memerlukan bantuan untuk belajar cara-cara menangani perasaan-perasaan ini. Ibu bapa perlu bercakap dengan anak-anak mereka tentang bagaimana perasaan mereka dan membantu mereka menukarkan perasaan mereka kepada perkataan.

Sebagai contoh, ibu boleh berkata, “Awak tentu bimbang tentang ayah yang pergi atas urusan perniagaan.” Bila perbualan bermula, langkah seterusnya adalah untuk membantu kanak-kanak itu untuk melakukan sesuatu yang akan membuatkannya merasa lebih baik, seperti melukis gambar untuk dihadiahkan kepada ayahnya apabila ayahnya pulang kelak.

Sekarang tiba masanya untuk mengaplikasinya. Gunakan tips dan strategi yang dikongsi untuk meningkatkan tumpuan anak. Berikan masa memberi keajaiban. Semoga membantu.Jangan lupa share ye, penat kami menulis. :-)

Penulis: Tasneem Haneem

Tasneem Haneem merupakan penulis di Bidadari.My. Minat dengan tulisan kekeluargaan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.