Ayuh ketahui adab dalam menyambut tetamu terutamanya cara menghormati tetamu yang datang ke rumah.

Tetamu adalah merujuk kepada seseorang yang datang dengan cara yang diundang atau disambut dengan cara yang baik. Dalam Islam, sering menekankan bahawa setiap tetamu yang datang berkunjung adalah pembawa rezeki dan pulangnya membawa dosa-dosa kecil tuan rumah.

Rasulullah SAW memberikan contoh terbaik dalam meraikan para tetamu. Suatu hari, seseorang bertemu baginda dan mengadu kelaparan. Namun, Nabi SAW tidak mempunyai makanan ketika itu. Baginda SAW bertanya, jika ada sesiapa dalam kalangan sahabat yang sanggup menerima lelaki itu bertamu di rumahnya.

Seorang sahabat menawarkan diri dan sanggup menerima lelaki itu sebagai tetamu lalu  mengajaknya pulang.  Setibanya di rumah, sahabat itu menceritakan kepada isterinya, lelaki tersebut adalah tetamu Nabi SAW dan mesti diberi layanan serta makanan yang paling baik.

Isterinya mengingatkan bahawa makanan yang mereka miliki hanya cukup untuk mereka sekeluarga. Lalu suaminya meminta semua makanan itu dihidangkan kepada tetamunya itu sahaja. Manakala anak-anak mereka  ditidurkan lebih awal.

Bahkan mereka merancang, apabila mereka mula makan, isterinya akan mematikan lampu dan berpura-pura membaikinya. Perbuatan ini, agar tetamu itu tidak tahu sahabat itu tidak makan bersama.

Perbuatan suami isteri ini, menunjukkan sifat yang snagat memuliakan dan menghormati tetamu. Sesungguhnya ini sebahagian contoh bahwa pelbagai cara boleh dilakukan bagi menghargai tetamu.

Selain itu, disarankan beberapa adab dan cara yang dianjurkan agama Islam dalam menyambut tetamu;

Menjamu Tetamu dengan Hidangan

Memuliakan tetamu merupakan akhlak terpuji yang sangat dituntut dalam agama Islam. Bahkan adab ini juga ditonjolkan dengan akhlak para nabi dan rasul yang diutuskan. 

Nabi Ibrahim A.S sangat memuliakan tetamu, apabila tetamu baginda hadir segera menghidangkan makanan tanpa berlengah. Baginda mendekatkan hidangan dan mempelawa mereka menikmati hidangan itu walaupun tidak mengenali tetamu tersebut. Kisah ini terdapat dalam surah al-Dzariyat : 24-27.

Melalui kisah ini, cara menghormati tetamu, hal yang perlu disegerakan adalah menjamu para tetamu dengan hidangan dan minuman sesegera mungkin. Bahkan hidangan tersebut adalah yang terbaik dimiliki selain mendekatkan makanan kepada tetamu dan berbicara dengan lemah lembut.

Memberi Layanan yang Baik

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.”

Tetamu yang datang hendaklah diberi layanan baik dan mesra. Pastikan menjaga tutur bicara agar tidak menyinggung tetamu. Tuan rumah pula perlu berpakaian menutup aurat dan kemas.

Jika tetamu bermalam di rumah, sediakan  tempat  yang  selesa untuk tetamu tidur dan berehat. Pastikan anak-anak tidak membuat bising hingga mengganggu tetamu yang hadir.

Ikhlas Menyambut Tetamu

Kedatangan tetamu diharapkan dapat menjadi ruang memperoleh pahala. Jadi kehadiran mereka mestilah disambut dengan ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Bukan juga kerana mempunyai niat tersembunyi dan sebagai alat kepentingan diri.

Selain itu, tetamu pula mestilah berkunjung dengan harapan berkongsi kebaikan bersama tuan rumah dan bukan semata-mata kerana keenakan hidangan dan sebab-sebab lain lain.

Memberi Layanan Yang Sama Kepada Tetamu

Janganlah sesekali membezakan layanan terhadap tetamu berdasarkan kerapatan hubungan, status sosial seperti jawatan, pangkat atau manfaat yang diperoleh daripadanya. Sangat tidak wajar jika kita acuh tak acuh melayan tetamu yang berbeza pangkat serta membezakan layanan mengikut jawatan.

Sentiasa Bersedia Menerima Tetamu

Setiap daripada kita hendaklah sentiasa bersedia menerima tetamu, iaitu dengan memastikan adanya simpanan makanan selain rumah yang sentiasa kemas dan bersih. Selain itu, tuan rumah mestilah menyediakan diri sendiri dalam keadaan yang baik bagi menyambut tetamu, iaitu  dengan sopan dan bukan beremosi yang mungkin boleh ‘menghalau’ tetamu.

Sebaiknya, jika tetamu ingin pulang pula iringi mereka keluar apabila mereka ingin pulang dan jemputlah mereka untuk bertandang lagi. Paling penting, elakkan terus masuk ke rumah selepas tetamu pulang dan langsung mengunci pintu.

Seperti sabda Rasullullah SAW:

“Sesungguhnya merupakan perbuatan yang sunnah apabila seseorang (tuan rumah) keluar bersama- sama tamunya sampai ke pintu halaman.”

 (Hadis Riwayat Ibnu Majjah)

Memastikan Keselesaan Tetamu

Tuan rumah perlu berusaha agar sentiasa peka dengan kehadiran tetamu. Seharusnya tuan rumah mengetahui dan memahami bahasa badan dan reaksi tetamu bagi mengena pasti tahap keselesaan mereka. Jika tetamu ingin ke tandas atau ingin solat, pastikan disediakan tempat yang sesuai  agar mereka berasa tenang dan selesa sepanjang berada di rumah.

Sediakan tempat khas untuk tetamu wanita, iaitu tempat yang boleh menjaga aurat mereka dan elakkan tempat kotor, sempit dan panas. Hal ini bermaksud, tuan rumah berusaha agar layanan yang diterima adalah yang terbaik dan mampu membuatkan tetamu selesa dan berasa dialu-alukan.

Penutup: Tetamu datang membawa berkat dan rezeki.

Islam sentiasa mengajar umatnya berakhlak mulia dan menghormati sesiapa sahaja. Apatah lagi jika orang itu adalah tetamu yang bertandang ke rumah kita. Berikanlah hak tetamu yang sewajarnya seperti yang sentiasa dianjurkan Islam. Tetamu datang untuk mengeratkan lagi silaturahim dan hal itu mestilah diraikan dengan sebaik yang mungkin. Semoga keberkatan memenuhi ruang rumah-rumah yang memuliakan para tamu.Semoga artikel cara menghormati tetamu ini membantu. Jemput juga baca artikel lain:

 Rujukan:

  1. SinarHarian
  2. TZKRH.com

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.