Menghormati ibu bapa adalah salah satu daripada kewajipan seorang anak kepada orang tuanya. Tidak dinafikan, terlalu banyak jasa dan perngorbanan yang dilakukan oleh kedua ibu bapa kita sejak kita dalam kandungan sehingga hidup sihat pada hari ini. Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan cara menghormati ibu bapa gaya Rasulullah, panduan buat anak soleh dan solehah sekalian.

Patuh dan taat kepada perintah ibu bapa

Apabila kita membesar dan menjadi seorang dewasa, pastinya kita mempunyai hidup sendiri. Malah pada masa ini kita sudah mempunyai keluarga sendiri dan bergelar ibu atau bapa. Sungguh pun kita sudah bergelar seorang dewasa, sebagai seorang anak kita masih mempunyai tanggung jawab untuk patuh dan taat kepada perintah ibu bapa selagi tidak bertentangan dengan ajaran islam.

Ada yang beranggapan bahawa anak perempuan tidak lagi wajib untuk patuh dan taat kepada ibu bapanya selepas berkahwin kerana kini syurganya terletak pada suami. Pandangan ini adalah salah. Walau pun sudah bersuami, tanggung jawab untuk menghormati ibu bapa dengan cara patuh dan taat kepada perintah kedua mereka masih perlu dilakukan, namun wajib meletakkan suami pada kedudukan utama.

cara menghormati ibu bapa
Sumber: Usim

Mengambil berat dan selalu bertanya khabar kedua ibu bapa

Dalam kehidupan kita seharian, pastinya sentiasa sibuk dengan tanggung jawab hakiki di tempat kerja. Ditambah lagi dengan urusan di rumah di mana ada suami dan anak-anak yang sentiasa dahagakan perhatian dan kasih sayang dari kita. Dalam menyeimbangkan di antara keluarga dan kerjaya, ada kalanya kita terlupa bahawa sebagai seorang anak adalah menjadi tanggung jawab kita untuk sentiasa mengambil berat dan bertanya khabar kedua ibu bapa di kampung.

Sentiasa mengambil berat dan bertanya khabar ibu bapa adalah di antara cara untuk kita menunjukkan bahawa kita menghormati mereka sebagai orang tua yang telah banyak berjasa kepada kita. Tanpa mereka berdua kita takkan berada ditahap dan pencapaian kita hari ini. Oleh itu, jangan lupa untuk selalu bertanya khabar ibu bapa anda.

Selain itu jangan lupa untuk selalu menjenguk kedua ibu bapa di kampung. Biasanya orang tua sentiasa berasa sunyi dan ternanti-nanti ketibaan anak-anak untuk melawat mereka. Mungkin ibu bapa anda mengharapkan anda untuk pulang namun tidak meminta kerana bimbang akan menyusahkan anda yang sibuk dengan urusan kerja.

Minta pandangan dalam membuat keputusan penting dalam hidup

Satu lagi cara menghormati ibu bapa yang boleh kita amalkan ialah dengan cara meminta pandangan mereka sebelum membuat sebarang keputusan yang penting dalam hidup. Contohnya sebelum berkahwin, sebelum memilih kerjaya, sebelum membeli rumah, sebelum membeli kereta, dan sebagainya. Sememangnya anda adalah orang yang akan membuat keputusan untuk diri sendiri, namun meminta pandangan kedua ibu bapa menunjukkan anda hormat kepada mereka dan akan membuatkan mereka berasa penting dalam hidup anda.

Melayan kedua ibu bapa dengan lemah-lembut dan penuh kasih sayang

Ingat tak lagi? Semasa kita masih kecil dahulu, kedua ibu bapa melayan kita dengan lembut, baik, dan penuh kasih sayang. Kini tiba masanya untuk kita membalas jasa mereka dan menunjukkan rasa hormat dengan melayan kedua ibu bapa dengan lemah-lembut, sopan-santun, dan penuh dengan kasih sayang. Lebih-lebih lagi jika kedua ibu bapa kita semakin tua dan berumur.

Orang tua biasanya lebih sensitif dan mudah terasa. Itulah sebabnya kita sebagai anak wajib menjaga setiap kata-kata, perbuatan, dan layanan kita terhadap mereka agar tidak melukakan hati kedua ibu bapa. Layanan kita yang baik adalah salah satu cara untuk menunjukkan rasa sayang dan hormat kepada kedua ibu bapa.

cara menghormati ibu bapa
Sumber: Babe

Ringankan tulang untuk membantu kedua ibu bapa

Ibu bapa terutamanya yang sudah berumur lazimnya mempunyai tenaga dan keupayaan yang terbatas, tidak sama seperti semasa mereka masih muda. Inilah masanya kita sebagai anak menunjukkan rasa hormat dan kasih kepada mereka dengan cara meringankan tulang untuk membantu kedua ibu bapa dalam urusan seharian mereka. Mungkin dulu ibu bapa kita boleh memandu ke hospital dengan sendiri untuk temujanji dengan doktor, namun kini dengan usia yang makin senja, memandu ke hospital bukan lagi sesuatu yang mudah.

Apa salahnya kalau kita luangkan masa untuk menemani kedua ibu bapa ke hospital. Pastinya ibu bapa akan menghargai dan berasa disayangi. Selain itu, rajinkan diri untuk membantu membersihkan rumah, memasak, dan kerja-kerja rumah yang lain. Itulah salah satu cara untuk kita menunjukkan rasa hormat kepada ibu bapa.

Menerima teguran dan nasihat dengan berlapang dada

Sebagai ibu bapa, pastinya mereka akan sentiasa memerhatikan segala gerak-geri dan perbuatan yang kita lakukan. Jika ada yang kelihatan kurang sesuai, selalunya ibu bapa akan menegur dan menasihati kita. Mungkin ada kalanya kita merasak bahawa teguran dan nasihat yang diberikan agak tidak sesuai dengan cara kita orang muda, namun sebagai seorang anak sepatutnya kita menerima semua teguran dan nasihat dengan hati yang terbuka.

Ia adalah salah satu cara kita menunjukkan rasa hormat terhadap ibu bapa. Jika anda merasakan bahawa teguran yang diberikan tidak relevan, sekurang-kurangnya ucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan kepada ibu bapa yang sentiasa mengambil berat tentang anda.

Itulah dia info tentang cara menghormati ibu bapa yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang peranan ibubapa dan gaya asuhan ibu bapa

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.