Mencari tips cara menghilangkan sunburn?
Bercuti di tepi pantai? Semua orang suka. Memandang air laut yang biru kehijauan, deruan ombak yang mendamaikan dan pasir putih yang membenamkan kaki. Aaarggghhh, semua orang pasti teruja.
Kegembiraan bercuti pasti tak kekal lama. Mana taknya, bila balik rumah pening kepala cara nak hilangkan sunburn pada wajah dan tubuh. Pastinya kita tak selesa apabila kulit menjadi merah kehitaman, pedih dan kering.
Nak naik kerja atau jumpa kawan-kawan pun segan dibuatnya. Cara yang paling mudah, pakai foundation tebal-tebal. Tahukah anda, sunburn perlu dielakkan dan dirawat? Ramai orang yang memandang ringan perkara ni.
Serba tak kena apabila kulit muka terbakar. Solekan pun tak akan kekal lama, tona kulit nampak pelik dan kita juga berasa tak selesa sepanjang masa. Ini ialah berita baik untuk semua yang suka bercuti. Penulis akan kongsikan cara-cara untuk hilangkan sunburn.
Tips ni boleh digunakan bagi sesiapa saja yang ada masalah sunburn seperti ingin mengetahui cara menghilangkan sunburn. Mereka yang aktif bersukan di luar, yang bekerja di bawah terik matahari malahan untuk surirumah juga. Jangan ingat duduk dalam rumah, anda bebas sepenuhnya daripada sunburn.
Sebelum itu, mari kita mengambil tahu sebab berlakunya sunburn pada kulit wajah dan tubuh. Sunburn terjadi akibat selaran matahari akibat terdedah kepada pancaran matahari dalam tempoh yang lama.
Jika kerap terdedah kepada cahaya matahari tanpa krim pelindung sinaran radiasi (UV), ia akan meningkatkan risiko kerosakan kulit dan penyakit tertentu. Antaranya ialah jangkitan, kulit mengalami penuaan pramatang, jeragat, kanser kulit dan kerosakan mata.
Radiasi ultraviolet ni akan menyebabkan kulit menjadi merah, sedikit bengkak, gatal, kering dan mungkin kesakitan pada otot. Selepas beberapa hari, kulit juga akan mula mengelupas.
Bagi kes yang lebih teruk kulit akan menjadi bengkak yang sakit apabila disentuh, demam, loya dan sakit kepala. Ada juga orang yang mengalami lemah badan dan berasa seram sejuk.
Sebelum keluar dari rumah, pastikan anda menggunakan krim pelindung sinaran matahari. Walaupun anda mengenakan solekan yang tebal, ia tetap tidak akan menghalang sinar UV daripada menembusi kulit. Malahan, anda digalakkan memakainya walaupun tak keluar rumah.
Terdapat 2 jenis krim pelindung kulit iaitu sunscreen dan sunblock. Ramai yang keliru tentang kedua-dua krim ni. Sebenarnya, fungsi kedua-duanya tak sama.
Sunscreen berfungsi untuk menyerap sinaran UV kerana sinaran matahari membekalkan vitamin D. Pada masa yang sama, ia juga mengehadkan jumlah sinaran UV untuk menyerap pada kulit.
Manakala, sunblock pula menghalang sinaran UV sampai ke kulit. Biasanya kita akan mencari krim sumblock atau produk wajah yang mempunyai Sun Protection Factor (SPF) yang tinggi.
SPF digunakan untuk menganggarkan jumlah sinaran UV untuk melindungi kulit kita. Bagaimana kita nak tahu sama ada SPF tersebut benar-benar berkesan?
Formulanya ialah:
Jumlah SPF x Masa (untuk kulit terbakar tanpa perlindungan) = Masa (untuk kulit terbakar dengan perlindungan)
SPF 50 x 10 minit = 500 minit kulit akan dilindungi
Sapukan dengan tipis beberapa titik minyak bayi atau minyak zaitun sebelum menyapu krim pelindung. Ia dapat mengekalkan kelembapan kulit dan mengelakkan kekeringan akibat pancaran matahari yang kuat. Boleh juga gunakan losyen pelembap.
Jika anda bercadang untuk berkelah di tepi pantai atau membuat aktiviti luar seperti hiking dan sebagainya, elakkan mengenakan solekan. Walaupun ada alat solekan yang mempunyai SPF seperti foundation, bedak dan sebagainya, ia akan merumitkan keadaan.
Bayangkan dengan wajah yang terbakar dan sakit, anda perlu pula menanggalkan solekan. Tugas tu bukan mudah. Beberapa langkah perlu dibuat agar solekan benar-benar tertanggal. Ini akan menyebabkan kulit wajah menjadi lebih sensitif.
Apabila anda terdedah terlalu lama di luar, cepat-cepat buat langkah pencegahan di bawah untuk mengelakkan kulit menjadi semakin teruk.
Segera mandi atau berendam di dalam air sejuk. Jangan sesekali gunakan pemanas air. Ia akan membuat kulit menjadi semakin kering.
Jika bahagian muka terbakar teruk, gunakan mask kosong yang direndam dengan air sejuk. Kemudian letakkan pada wajah. Mask kosong ni boleh dibeli di Daiso, Watson dan sebagainya. Ia hanyalah tisu kosong yang tak mempunyai sebarang bahan di dalamnya.
Anda juga boleh gunakan tisu biasa, sapu tangan, tuala muka dan sebagainya. Jika tangan dan kaki anda mengalami sunburn yang teruk, boleh gunakan selimut yang dibasahkan untuk menutup tubuh.
Anda perlu menggunakan krim atau losyen pelembap sebelum dan selepas terkena sunburn. Ia dapat melegakan kulit muka daripada merekah dan mengelupas.
Kesan sunburn akan menyebabkan kulit menjadi kering. Oleh itu, minum air yang banyak untuk membantu menghidrasi kulit.
Jika kulit menjadi melepuh, jangan pecahkannya. Anda perlu segera ke klinik atau hospital. Dikhuatiri bahagian yang luka tu akan dijangkiti bakteria dan masalah menjadi lebih teruk.
Jangan gunakan mentega atau marjerin, putih telur dan jeli petroleum atau apa-apa produk berasaskan minyak pada kulit. Apabila kulit mengalami sunburn, penggunaan bahan berasaskan minyak akan lebih sukar dibersihkan dan meninggalkan kotoran pada kulit.
Bahan semula jadi dalam aloe vera ni terbukti boleh merawat dan menyembuhkan sunburn. Ia juga dapat melembapkan kulit muka dengan berkesan. Rajinkan diri menyapu lendiran aloe vera sehingga kulit menjadi seperti sediakala.
Diharapkan dengan perkongsian ni, para pembaca Bidadari.my mendapat info dan tips untuk mengelak dan merawat sunburn. Jika kita mengambil langkah pencegahan dan rawatan yang sepatutnya, tempoh masa untuk sunburn hilang juga cepat.
Jangan lupa kongsikan artikel ni dengan rakan-rakan dan ahli keluarga. Kalau ada tips yang lain, boleh juga maklumkan kepada kami. Semoga tips cara menghilangkan sunburn ini membantu. Jemput juga baca scub muka terbaik sunblock terbaik dan cara penjagaan kulit muka artis Korea