Jom baca petua cara mencegah kencing manis.

Kencing manis juga dikenali sebagai diabetes mellitus merupakan sejenis penyakit kronik. Malangnya, jumlah rakyat Malaysia yang menghidap kencing manis semakin meningkat pada saban tahun.

Yang lebih menakutkan lagi ialah bilangan rakyat Malaysia yang mempunyai kandungan gula yang tinggi di dalam darah, namun masih belum membuat pemeriksaan doktor. Perkara ini membuktikan bahawa tahap kesedaran masyarakat masih rendah.

Menurut laporan epidemiologi kencing manis pada tahun 2018, dianggarkan seramai 2.5 juta rakyat Malaysia yang menghidap kencing manis berusia seawal 18 tahun dan ke atas. Ini menjadikan Malaysia antara negara yang mempunyai pesakit kencing manis tertinggi di Asia.

Apakah Itu Penyakit Kencing Manis?

Penyakit kencing manis ialah sejenis penyakit yang tidak boleh disembuhkan tetapi boleh dikawal. Bagaimana seseorang itu boleh mendapat kencing manis? Ia terjadi apabila paras gula di dalam darah tinggi akibat kurangnya jumlah atau kurang keberkesanan hormon insulin.

Hormon insulin dihasilkan oleh pankreas yang terletak di belakang perut manusia. Hormon ini akan terhasil apabila dirangsang oleh glukosa di dalam darah. Insulin berfungsi untuk mengawal paras gula di dalam darah.

Bagi orang yang normal, insulin akan menukarkan makanan berkanji dan bergula kepada tenaga. Manakala bagi pesakit pula, disebabkan kekurangan insulin atau sensitiviti tisu badan, makanan bergula dan berkanji tidak dapat ditukarkan kepada tenaga.

Ia merupakan penyakit yang senyap (silent disease) pada peringkat awal. Maksudnya ialah individu yang mengalami penyakit ini tidak menyedari simptom-simptom kencing manis. Apabila tidak menjaga pemakanan, kandungan gula di dalam darah akan naik mendadak.

Berapakah Kadar Normal Gula dalam Darah

Kadar gula dalam darah bergantung kepada jumlah karbohidrat yang diambil. Secara perubatan, kadar gula normal dibahagikan kepada 2 iaitu kadar gula rawak dan kadar gula berpuasa.

Bagi kadar gula untuk mendiagnosis kencing manis ialah:

  • Rawak- lebih daripada 7.0 mmol/L
  • Berpuasa- lebih daripada 11.0 mmol/L

Namun, diagnos yang lebih tepat perlu dilakukan melalui ujian darah HbA1c. Ia dilakukan untuk melihat paras gula dalam darah dalam masa 3 bulan yang lepas.

Siapakah yang Berisiko Mendapat Kencing Manis?

Terdapat beberapa ciri yang membolehkan seseorang itu mudah mendapat kencing manis, iaitu:

  • Mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kencing manis.
  • Tidak aktif secara fizikal.
  • Berat badan berlebihan atau obesiti (BMI melebihi 23)
  • Amalan pemakanan yang kurang sihat iaitu makanan berkanji dan gula berlebihan.
  • Individu yang berumur melebihi 40 tahun.
  • Sejarah melahirkan bayi melebihi 4kg (akibat sejarah diabetes semasa mengandung).
  • Menghidap penyakit darah tinggi.
  • Mempunyai tahap kolestrol yang tinggi.

Gejala Penyakit Kencing Manis

Walaupun penyakit ini merupakan penyakit senyap, namun ada beberapa gejala yang boleh dikenal pasti, iaitu:

  • Mulut terasa kering.
  • Kerap berasa dahaga.
  • Kerap membuang air kecil.
  • Selera makan bertambah.
  • Berat badan susut secara mengejut.
  • Mendapat penyakit kulit.
  • Gatal-gatal di bahagian kemaluan.
  • Penglihatan mula kabur.
  • Luka lambat sembuh.
  • Mudah berasa letih.
  • Kerap pening kepala.

Cara Mencegah Penyakit Kencing Manis

Langkah pencegahan awal perlu dilakukan untuk mengelakkan diri daripada menghidapi kencing manis. Antara yang perlu dilakukan ialah:

  • Amalkan gaya hidup sihat dengan bersenam dan elakkan diri daripada stres.
  • Menjaga pemakanan secara seimbang. Kurangkan makanan bergula, banyak garam, lemak, berkanji dan berminyak.
  • Pastikan berat badan ideal.
  • Membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala apabila umur mencapai 30 tahun dan ke atas.
  • Jika ada sejarah keluarga yang menghidap kencing manis, anda perlu lebih berhati-hati.
  • Jaga pemakanan ketika sedang hamil.
  • Berhenti merokok.
  • Jangan minum alkohol.

Jika anda sudah didiagnos menghidap kencing manis, selain mendapatkan rawatan perubatan dan mengambil ubatan, beberapa petua tradisional boleh diamalkan. Malahan, petua ini juga boleh diamalkan untuk mencegah kencing manis lebih awal.

Petua Cara Mencegah Kencing Manis

#1 Halia

Halia dikatakan sangat baik untuk pesakit kencing manis dalam mengawal glisemik, menggalakkan pengeluaran insulin dan mencegah katarak pada mata. Terdapat sejenis halia dari Australia yang dikenali halia buderim mampu meningkatkan kadar glukosa dalam sel otot tanpa sebarang penggunaan insulin.

Selain itu, halia juga mampu membantu meningkatkan kepekaan insulin dan melindungi kita daripada penyakit in. Kajian mendapati bahawa 2 gram serbuk halia yang diminum setiap hari mampu menurunkan paras gula sebanyak 12%.

#2 Peria katak

Sayur yang berasa pahit ini kaya dengan lektin yang mampu menurunkan kemampuan glukosa dalam darah. Malahan, lebih menarik lagi peria katak mampu mengawal selera makan individu.

Cara yang boleh dilakukan ialah kisar peria katak dengan sedikit air dan bahan-bahan lain seperti epal hijau, cili benggala hijau, daun saleri atau timun. Ingat, jangan ditambahkan gula. Amalkan secara konsisten pada setiap hari.

#3 Bawang putih

Bawang putih bukan sahaja mewangi dan melazatkan masakan, malahan ia mempunyai banyak khasiat dari aspek perubatan. Bawang putih mampu mengurangkan kadar kolestrol yang tinggi yang merupakan antara masalah utama pesakit.

#4 Daun kari

Fitokimia dalam daun kari berkesan membantu menstabilkan tahap gula dalam darah. Malahan, ia juga memberi kesan kepada metabolisme karbohidrat. Selain itu, sifat antioksidannya mampu membantu pengeluaran sel pankreas dengan lebih aktif dan seterusnya menghasilkan lebih banyak insulin.

#5 Bunga cengkih

Bunga cengkih mengandungi 30% daripada fenol antioksidan dan quercetin. Oleh itu, ia bersifat antiradang dan baik untuk sistem penghadaman pesakit kencing manis.

Menurut kajian, bunga cengkih dapat membantu mengawal kadar gula, trigliserida dan paras kolestrol LDL dalam darah pesakit.

#6 Halba

Pelbagai kajian yang dilakukan membuktikan bahawa halba mampu menurunkan kadar gula dengan melambatkan proses pencernaan makanan. Malahan, khasiatnya yang lain ialah melambatkan penyerapan karbohidrat dalam usus kecil.

#7 Kayu manis

Pengambilan kayu manis mampu meningkatkan kemampuan insulin. Selain itu,  sifatnya yang antioksidan dapat mencegah tanda dan gejala kencing manis.

Justeru, kita perlu mencegah penyakit kencing manis dengan lebih awal lagi. Elakkan makanan yang manis, banyak kanji dan tinggi lemak. Sebaik-baiknya, individu yang berumur 30 tahun dan ke atas perlu menjalani ujian saringan faktor risiko NCD setiap tahun.

Ujian ini merangkumi pemeriksaan tekanan darah, paras gula dan kolestrol, pemeriksaan BMI dan ukur lilit pinggang. Namun begitu, jika anda ada gejala-gejala penyakit ini lebih awal, dapatkan pemeriksaan kesihatan.

Moga bermanfaat. Baca juga beras untuk kencing manis dan tanda-tanda kencing manis

Rujukan

 

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.