Kebanyakan wanita suka apabila pipi mereka merona kemerah-merahan. Bukan disebabkan malu, tetapi ada daya penarik di situ. Ada ke cara untuk memerahkan pipi secara semula jadi tanpa menggunakan produk-produk tertentu?

Kalau dilihat wanita yang berkulit putih atau cerah mempunyai kecenderungan berpipi merah. Ini disebabkan faktor keturunan, warna kulit dan cuaca. Mereka bukan pakai blusher tau! Memang semula jadi merah.

Kebanyakan orang yang tinggal di kawasan pergunungan misalnya di Tibet mempunyai pipi yang merah. Ini disebabkan tekanan udara di kawasan pergunungan lebih rendah berbanding di kawasan tanah rendah.

Tekanan udara yang rendah ini menyebabkan kadar oksigen dalam udara di situ menjadi lebih rendah. Oleh itu, masyarakat di kawasan pergunungan akan mengadaptasi dengan banyak menghasilkan sel darah merah yang mengandungi hemoglobin. Itulah sebabnya pipi mereka menjadi merah. Comel kan?

Disebabkan kita tidak tinggal di kawasan seperti itu, hampir mustahil untuk mendapat pipi yang merah. Cara paling pantas ialah dengan mengenakan solekan. Sapu saja blusher mengikut warna kesukaan, merahlah jadinya.

Nak tahu tips pipi merah tanpa pakai blusher? Penulis akan kongsikan petua untuk mendapatkan pipi yang merah tanpa memerlukan kos yang tinggi. Yang penting semuanya menggunakan bahan semula jadi yang murah dan selamat.

Jom semak tips ini satu-persatu!

1. Beras Pulut

Beras pulut terbukti boleh memerahkan kulit wajah. Kandungan asid amino dan vitamin di dalamnya berfungsi sebagai pencerah wajah semula jadi. Anda boleh cuba tips ini seminggu sekali.

Caranya ialah ambil sedikit beras pulut yang sudah dibasuh dengan bersih. Kemudian, kisar halus dengan sedikit air suam atau air mawar. Sapukan pada wajah sebagai masker. Malah, anda boleh jadikannya sebagai skrub dengan menggosok perlahan.

2. Tomato

Tomato bukan saja enak dimakan, ia juga banyak khasiat untuk tubuh dan kecantikan kulit. Warna merah pada tomato disebabkan oleh likopena. Likopena ialah sejenis pigmen yang menghasilkan warna merah pada sayur-sayuran.

Pigmen ini merupakan antioksidan semula jadi yang baik. Selain itu, ia juga kaya dengan vitamin yang baik untuk kulit. Ambil 1 hirisan tomato dan sapukan pada pipi. Biarkan hingga kering. Wajah anda bukan saja menyerap khasiatnya, bahkan menjadikan pipi anda merah.

3. Strawberi

Apabila melancong ke Cameron Highlands, buah inilah yang akan dicari. Strawberi yang masam, enak dimakan dengan celupan coklat. Siapa sangka ia juga sangat berkesan untuk memerahkan pipi.

Imej via Bidadari

Warna merah pada buah strawberi disebabkan ia sangat kaya dengan pigmen antosianin. Ia juga mempunyai antioksidan dan vitamin C yang sangat tinggi. Anda boleh ambil sedikit isi strawberi yang dihancurkan menggunakan sudu. Sapukan pada pipi.

4. Lemon

Asid sitrik yang terdapat di dalam buah lemon sangat baik untuk kecantikan kulit. Dengan menyapu jus lemon ke wajah, ia dapat menyingkirkan sel-sel kulit mati dan pudarkan parut. Malahan, ia berkesan untuk mengecutkan jerawat.

Oleh kerana sifatnya yang berasid, dinasihatkan agar tidak menggunakan masker jus lemon dengan kerap. Risau ia akan mengeringkan kulit. Cukuplah setakat seminggu sekali.

5. Cuka Epal

Tahukah anda bahawa cuka epal sering digunakan sebagai pengganti toner atau penyegar wajah? Cuka epal mudah didapati dan harganya juga murah. Biasanya dijual di dalam botol yang besar. Jadi, anda boleh menggunakannya dengan lama.

Caranya ialah campurkan sesudu cuka epal dengan 2 sudu air suam. Sapukan ke arah wajah dengan kapas muka. Anda juga boleh menggunakan penyembur. Ia dapat membersihkan wajah dan melancarkan peredaran darah pada pipi.

7. Lobak Merah

Lobak bukan saja enak dimasak, tetapi juga sedap dimakan mentah. Kerangupannya membuatkan kita tidak boleh berhenti mengunyah. Paling sedap kalau dibuat jus yang ditambah dengan susu segar.

Imej via Bidadari

Kandungan beta karotena di dalam lobak merah sangat baik untuk kulit. Jika anda membuat jus lobak merah, jangan dibuang hampasnya. Ambil sedikit dan gosokkan pada wajah. Kemudian, biarkan ia hingga kering.

7. Oat

Anda tentu biasa makan oat bukan? Kalau hendak berdiet, tentunya oat merupakan pilihan alternatif untuk menggantikan nasi. Namun, jangan terkejut bila dengar bahawa oat juga mampu merahkan pipi.

Oat mengandungi khasiat antioksidan dan antiinflamasi yang baik untuk kulit. Kandungan protein, vitamin B dan omega 3 di dalamnya sangat tinggi. Anda boleh mencuba tips ini iaitu ambil sedikit oat. Tambahkan sedikit air suam dan gosokkan di wajah seperti skrub. Buat 2 kali seminggu.

8. Gula Merah

Sebut saja gula merah, terbayang pelbagai jenis kuih-muih tradisional yang enak-enak. Kuih koci, kuih talam, onde-onde dan sebagainya menggunakan gula merah sebagai ramuan utama. Cuba ke dapur, tengok masih ada tak gula merah yang berbaki.

Anda boleh gunakan gula merah untuk merah pipi. Gula merah mempunyai asid glikolat iaitu sejenis asid alpha hydroxy (AHA). Ia banyak digunakan dalam bidang kecantikan. Parut sedikit gula merah dan campurkan dengan air. Sapu pada wajah selama 10 minit. Jangan lupa cuci, bersemut pula nanti.

10. Buah Naga

Buah naga tak kira yang warna merah keunguan atau yang putih sangat lazat dimakan. Bentuknya yang unik dan rasanya yang manis menarik perhatian. Warna merah pada buah naga disebabkan oleh kandungan yang sama dengan tomato iaitu likopena.

Imej via Bidadari

Disebabkan warna merahnya pekat dan tahan lama, ia boleh dijadikan pemerah pipi yang semula jadi. Selain mampu memerahkan pipi, khasiat antioksidannya juga bagus untuk kulit dan kesihatan.

10. Delima

Buah delima sangat terkenal dengan khasiat dan kecantikan warna isinya. Tidak hairanlah buah ini menjadi simbol kecantikan wanita Melayu. Frasa ‘Bibir bak delima’ menunjukkan betapa cantiknya wanita yang memiliki bibir merah jambu.

Bukan saja untuk bibir, buah delima juga boleh menjadikan pipi merah. Caranya ialah sapukan sedikit jus buah delima pada wajah. Biarkan ia sehingga kering. Lalu, bilas bersih-bersih.

11. Bunga Ros

Jika di sekitar rumah anda ada ditanam bunga ros merah, ambil beberapa kelopaknya. Setelah dicuci, ramas sehingga agak hancur. Sapukan pada pipi. Buat beberapa kali sehingga anda nampak hasilnya.

Setakat ini saja perkongsian penulis tentang topik cara untuk mendapatkan pipi merah secara semula jadi. Jangan lupa kongsikan hasilnya jika sudah cuba. Jom baca petua kecantikan yang lain di khasiat daun pudina dan petua orang tua tentang kecantikan.

Rujukan

6 Petua Pipi Merah Semula Jadi Yang Anda Boleh Cuba (link)

 

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.