Orang kata hitam bawah kuali adalah petanda bahawa seseorang wanita rajin memasak di dapur. Makin hitam bawah kuali, ia adalah petanda bahawa semakin rajin dia memasak. Adakah benar dakwaan ini? Walau apa pun, hitam di bawah kuali bukanlah pemandangan yang menarik, terutama sekali jika anda menggantung kuali di dapur dan dapat dilihat oleh semua orang yang masuk ke dapur.

Jika anda mengalami masalah hitam bawah kuali dan teringin untuk mempunyai kuali yang cantik berkilat tanpa membeli yang baru, yang sebenarnya ada cara yang boleh anda lakukan. Malah tanpa memerlukan kos yang tinggi. Tak percaya? Jom kami kongsikan cara hilangkan hitam bawah kuali dengan mudah dan murah yang dijamin berkesan.

cara hilangkan hitam bawah kuali
Sumber: Impiana

1. Sabun cap buruh

Anda kenal sabun cap buruh? Zaman dulu-dulu sabun cap buruh digunakan untuk membasuh pakaian kerana ia sangat berkesan untuk menghilangkan kotoran degil yang melekat pada baju. Malahan pada hari ini, para muslimin dan muslimah yang pergi menunaikan haji dan umrah biasanya membawa sabun cap buruh sebagai bekalan untuk membasuh baju semasa berada di bumi arab.

Namun tak ramai yang tahu bahawa sabun cap buruh juga boleh digunakan untuk menghilangkan hitam bawah kuali. Nak tahu caranya?

  1. Ambil seketul sabun cap buruh dan sagat sehingga halus.
  2. Cairkan sabun yang telah disagat tadi bersama air di dalam sebuah besen atau kuali besar yang muat untuk merendam kuali yang ingin dibersihkan.
  3. Rendam kuali yang ingin dibersihkan ke dalam air sabun tadi.
  4. Biarkan semalaman.
  5. Gosok bahagian bawah kuali dengan dawai pencuci pinggan sehingga bawah kuali anda menjadi putih seperti baru.

2. Soda bikarbonat

Tahukah anda bahawa satu lagi cara untuk hilangkan hitam bawah kuali yang boleh anda cuba ialah dengan menggunakan soda bikarbonat yang ada di dapur. Caranya adalah seperti berikut:

  1. Ambil 2 sudu besar soda bikarbonat, taburkan ke bahagian bawah kuali yang diterbalikkan.
  2. Letakkan sedikit air, jangan terlalu banyak sehingg basah.
  3. Gosok bawah kuali dengan berus pencuci periuk sehingga semua hitam di bawah kuali tertanggal.
  4. Cuci dengan sabun pencuci pinggan seperti biasa.

3. Rebusan kulit nanas

Satu lagi petua hilangkan hitam bawah kuali yang anda boleh cuba ialah dengan menggunakan kulit nanas yang telah direbus. Apabila membeli buah nanas, sama ada untuk dimakan begitu sahaja atau untuk dimasukkan ke dalam masakan, kulitnya jangan dibuang. Apa yang boleh anda lakukan ialah rebus kulit nanas tadi dan gunakan untuk menyental bawah kuali yang hitam tanpa menggunakan sabun dan air. Anda pasti tersenyum apabila melihat kualai yang dulunya hitam kini berkilat semula.

cara hilangkan hitam bawah kuali
Sumber: Medicalnewsoday

4. Air rebusan asam gelugur atau asam keping

Biasanya setiap dapur di Malaysia mempunyai asam keping atau juga dikenali sebagai asam gelugur yang banyak digunakan dalam masakan orang kita. Tahukah anda bahawa selain melazatkan masakan, asam gelugur juga boleh digunakan untuk menghilangkan hitam bawah kuali. Caranya-caranya ialah seperti berikut:

  1. Ambil 10 keping asam gelugur dan masukkan ke dalam sebuah kuali yang berisi air. Seeloknya kuali ini adalah lebih besar saiznya daripada kuali yang ingin dihilangkan hitam di bawahnya. Jangan isi air sehingga penuh kerana anda perlu didihkan air tersebut dan merendam kuali di dalamnya.
  2. Buka api dan biarkan sehingga air mendidih. Sebaik sahaja mendidih, ambil kuali yang ingin dibersihkan dan celupkan ke dalam air mendidih tadi dan biarkan dalam 5 minit.
  3. Tutup api dan biarkan kuali tadi terendam lagi 5 minit.
  4. kemudian gosok bawah kuali dengan berus sabut atau dawai mencuci periuk. Hitam-hitam di bawah kuali akan tercabut menjadi kepingan.
  5. Jangan gunakan sabun atau air semasa menggosok. Apabila kuali anda kembali putih, baru basuh dengan air dan sabun pencuci pinggan.

5. Pencuci tandas Harpic

Selalu anda cuci tandas dan bilik air di rumah gunakan pencuci jenama apa? Salah satu daripada jenama yang paling terkenal di Malaysia ialah Harpic. Ini kerana ianya terbukti berkesan untuk menghilangkan kotoran degil yang melekat pada mangkuk tandas, sinki, dan jubin di bilik air. Tahukah anda bahawa pencuci tandas Harpic juga berkesan untuk menanggalkan hitam pada bawah kuali? Caranya ialah:

  1. Cairkan pencuci tandas Harpic dengan sedikit air. Pastikan air tadi pekat. Masukkan ke dalam besen atau kuali besar yang muat untuk direndam dengan kuali yang ingin dibersihkan.
  2. Rendam kuali hitam ke dalam air bancuhan Harpic tadi dan biarkan semalaman.
  3. Keesokan paginya sental dengan dawai pencuci periuk atau berus sabut. Jika masih ada hitam yang melekat, ulang proses yang sama sehingga kuali anda putih berkilat semula.

Bagi memastikan kuali anda sentiasa putih berkilat dan tidak hitam semula, kami cadangkan anda ulang langkah yang sama dengan menggunakan salah satu tips yang diberikan setiaptiga bulan sekali. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, rendam kuali anda dengan salah satu bahan dan gosok sehingga bersih tanpa perlu menunggu bahagian bawah kuali menjadi hitam. Bukan apa, kalau dah hitam nanti penat anda menggosok untuk putihkan semula.

cara hilangkan hitam bawah kuali
Sumber: 100comments

Itulah dia perkongsian tentang cara hilangkan hitam bawah kuali yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Semoga  kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang punca masalah rumah tangga jenis kuali dan kaedah lembutkan daging.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.