Vaksin Covid-19, adakah anda sudah daftar sebagai penerima? Jika masih kurang pasti caranya, jangan risau. Dalam artikel ini, kami akan kongsikan beberapa info penting tentang cara daftar vaksin COVID-19.

Negara kita telah berunding untuk mendapatkan vaksin COVID-19 sejak tahun lepas lagi. Akhirnya, vaksin tersebut telah tiba di Malaysia pada 21 Februari 2021. Ini merupakan usaha terpuji yang dilakukan oleh kerajaan untuk membendung pandemik berbahaya ini.

Vaksin COVID-19

Vaksin yang dinamakan Pfizer-BioNTech ini akan diterbangkan khas dari kilangnya yang terletak di Belgium. Bagi kumpulan pertama, sebanyak 312, 390 dos akan dibawa ke Malaysia.

Pfizer ialah vaksin pertama yang telah mendapat kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 8 Januari 2021.

Usaha kerajaan untuk mendapatkan vaksin ini adalah di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Ia dijadualkan akan bermula pada 26 Februari 2021. Kerajaan bercadang untuk mendapatkan bekalan vaksin Pfizer sebanyak 66.07 dos untuk keperluan rakyat.

Dengan tema “Lindung Diri, Lindung Semua”, program ini menekankan perlindungan kepada semua rakyat Malaysia. Perlindungan ini hanya boleh dicapai jika program vaksinasi ini dilakukan oleh seramai mungkin penduduk yang layak.

vaksin covid 19
Imej Via Bidadari

Cara Daftar Vaksin COVID-19

Terdapat 5 kaedah yang boleh dibuat oleh orang awam bagi mendaftar program vaksin ini. Antaranya:

  • Aplikasi MySejahtera
cara daftar vaksin

Bermula 24 Februari 2021 anda boleh mengemaskini aplikasi MySejahtera anda. Caranya ialah klik di bahagian ‘COVID-19 Vaccination’ yang terletak di bahagian atas. Kemudian klik di bahagian ‘Vaccine for (nama anda).’

Klik pada bahagian tersebut dan semak segala butiran nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon sebelum mendaftar. Jika terdapat kesalahan atau perlu disunting, betulkan dahulu. Maklumat ini akan digunakan sebagai rujukan pegawai perubatan nanti.

Jangan lupa tekan bahagian ‘CLICK HERE’ untuk memberikan maklumat tambahan yang diperlukan seperti persetujuan menerima vaksin, sejarah penyakit, mendaftar sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) dan tempat tinggal semasa.

Anda akan menerima notifikasi bagi fasa suntikan vaksin mengikut peringkat yang ditetapkan oleh kerajaan.

  • Laman web khas vaksin COVID-19

Anda juga boleh mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 di laman web khas vaksincovid.gov.my bermula pada 5 Mac 2021.

  • Talian hotline

Talian hotline ini akan diumumkan kelak.

  • Pusat kesihatan

Anda juga boleh membuat pendaftaran secara manual di mana-mana klinik kesihatan, hospital dan klinik swasta.

  • Rumah ke rumah

Bagi golongan warga emas, Orang Asli, OKU, masyarakat di kawasan pedalaman dan sebagainya, perkhidmatan pendaftaran dari rumah ke rumah akan disediakan.

Setelah anda mendaftar, maklumat temujanji seperti tarikh dan tempat vaksinasi akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera, panggilan telefon atau SMS.

Apabila telah dimaklumkan tentang temujanji, anda perlu hadir ke Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) yang ditetapkan mengikut tarikh dan masanya.

Soalan-Soalan Lazim Vaksin COVID-19

  • Apakah COVID-19?

Ia merupakan singkatan bagi penyakit koronavirus 2019. Penyakit ini berlaku disebabkan jangkitan varian koronavirus yang dikenali sebagai SARS-CoV-2.

Penyakit ini boleh menyerang saluran pernafasan yang menyebabkan gejala selsema biasa menjadi radang paru-paru yang kronik.

vaksin covid 19
Imej Via Bidadari
  • Apakah itu vaksin COVID-19?

Vaksin COVID-19 ini mampu merangsang sistem kekebalan (imun) badan jika terdedah kepada koronavirus. Ini menyebabkan tubuh bertindak balas terhadap jangkitan COVID-19. Ia memberikan anda perlindungan terbaik terhadap penyakit koronavirus.

  • Apakah kandungan vaksin COVID-19?

Pelbagai platform seperti jujukan genetik RNA, viral vektor, virus nyahaktif dan sub-unit protein telah digunakan untuk menghasilkan vaksin yang selamat dan berkesan.

  • Adakah vaksin ini halal?

Ya. Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan (Hal Ehwal Ugama Islam) memutuskan penggunaan vaksin ini adalah harus. Malahan, ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.

  • Adakah vaksin COVID-19 ini percuma?

Ya. 80 peratus rakyat Malaysia atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin secara percuma. Ia akan diberikan secara percuma kepada semua penduduk Malaysia sama ada warganegara dan bukan warganegara.

  • Siapa yang boleh mendapat vaksin COVID-19?

Semua individu yang berusia 18 tahun ke atas. Namun begitu, golongan berikut memerlukan pertimbangan lanjut bagi suntikan vaksin, iaitu:

  1. Individu yang mempunyai alahan teruk
  2. Individu hamil dan ibu menyusu
  3. Individu yang positif COVID-19
  4. Individu yang mempunyai masalah sistem imun
  • Adakah kanak-kanak boleh mendapat vaksin COVID-19?

Buat masa ini, kajian klinikal dijalankan ke atas sukarelawan berumur 18 tahun ke atas. Ada beberapa syarikat vaksin yang sedang melakukan percubaan klinikal bagi kanak-kanak.

Apabila data saintifik yang dikeluarkan membuktikan keberkesanan dan keselamatan terhadap kanak-kanak, kerajaan akan mempertimbangkan vaksin bagi kanak-kanak.

  • Bolehkan mengambil jenis vaksin yang berbeza bagi setiap individu?

Tidak boleh. Penerima vaksin COVID-19 perlu melengkapkan jadual vaksin menggunakan 1 jenama yang sama mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

  • Adakah vaksin ini mempunyai kesan sampingan?

Kesan sampingan yang dikenal pasti adalah ringan dan bersifat sementara. Antara ialah:

  1. Sakit / bengkak / kemerahan pada tempat yang disuntik
  2. Sakit kepala
  3. Penat
  4. Sakit sendi
  5. Menggigil
  6. Demam
  7. Loya
  8. Rasa kurang sihat
  9. Bengkak kelenjar limfa
  10. Kesan sampingan lain yang mungkin dari semasa ke semasa

Pemantauan kesan sampingan akan dijalankan secara enhanced surveillance. Maksudnya, penerima vaksin akan mendapat notifikasi (peringatan berjadual) melalui aplikasi MySejahtera untuk melapor sebarang gejala.

  • Adakah vaksin ini boleh mengubah DNA penerima?

Tidak. Vaksin ini mempunyai messenger RNA (mRNA) yang memberi kod protein khusus untuk permukaan patogen COVID-19. Ia menghasilkan antibodi untuk memberi perlindungan sekiranya penerima vaksin dijangkiti penyakit COVID-19 pada kemudian hari.

  • Adakah individu yang pernah dijangkiti COVID-19 boleh menerima vaksin?

Ya. Individu yang telah sembuh boleh menerima suntikan vaksin COVID-19 ini.

  • Adakah suntikan vaksin boleh menghentikan pandemik COVID-19?

Suntikan vaksin merupakan antara langkah yang telah diambil untuk menghentikan penularan virus ini. Namun, kita tetap perlu mematuhi SOP yang ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan penjagaan kebersihan.

  • Adakah vaksin COVID-19 ini selamat dan berkesan?

Ya. Jangan risau kerana semua vaksin COVID-19 diluluskan oleh NPRA untuk digunakan di negara kita selamat dan berkesan.

vaksin covid 19
Imej Via Bidadari
  • Apakah nama vaksin yang akan digunakan?

Terdapat 5 vaksin COVID-19 yang akan disediakan oleh kerajaan untuk penduduk Malaysia, iaitu:

  1. Vaksin Pfizer-BioNTech
  2. Vaksin AstraZeneca
  3. Vaksin Sinovac
  4. Vaksin CanSinoBIO
  5. Vaksin Sputnik V
  • Cara pemberian vaksin COVID-19

Program vaksinasi COVID-19 ini akan diberikan secara berperingkat, iaitu:

  1. Peringkat pertama: Petugas barisan hadapan sama ada petugas kesihatan dan bukan kesihatan
  2. Peringkat kedua: Warga emas berumur 60 tahun ke atas, golongan berpenyakit kronik (obesiti, penyakit jantung, darah tinggi, diabetes dan sebagainya), OKU, perkhidmatan dan pertahanan.
  3. Peringkat kedua: Penduduk berumur 18 tahun ke atas (warganegara dan bukan warganegara). Keutamaan mengikut zon merah, kuning dan seterusnya hijau.
  • Adakah pengambilan vaksin ini wajib?

Buat masa ini, pengambilannya adalah secara sukarela. Namun, anda sangat digalakkan untuk mendapatkannya.

Diharapkan maklumat yang dikongsikan berkaitan cara mendaftar vaksin COVID-19 dan beberapa soalan lazim yang disertakan, dapat memberi penjelasan kepada anda.

Ayuh, sebagai rakyat Malaysia yang rasional dan sayang akan nyawa, daftarlah segera sebagai penerima vaksin. Menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi diri dan orang lain daripada pandemik yang berbahaya ini.

Semoga artikel cara daftar vaksin COVID-19 Anda juga boleh baca tentang simptom dan rawatan koronavirus dan tips bekerja dari rumah. Semoga bermanfaat.

Rujukan

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.