Nak tahu cara buat lelaki rindu? Seperti yang kita semua sedia maklum, secara biologinya sifat lelaki dan wanita sangat berbeza. Jurangnya seperti langit dan bumi. Namun, mengapa lelaki dan perempuan tak boleh hidup tanpa memerlukan satu sama lain

Ini kerana, Allah mencipta setiap makhluk secara berpasangan. Tujuannya untuk melengkapi antara satu sama lain dan keturunan terus bertambah. Tanpa pasangan, hidup pasti bosan dan tiada matlamatnya. Itulah hikmah Allah menjadikan semuanya berpasangan.

Lelaki VS Wanita

Lelaki diberikan perwatakan sebagai ketua, pelindung, mencari nafkah, gagah dan kuat emosinya. Manakala, wanita pula mempunyai jiwa yang lembut, memerlukan perlindungan, sensitif dan mudah beremosi.

Wanita lebih mudah menunjukkan perasaan kasih sayang, cinta, marah, sedih dan cemburu berbanding lelaki. Lelaki pula lebih cool dan pandai menyembunyikan perasaan. Kadang kala, kita sebagai wanita pening kepala dibuatnya. Adakah mereka suka, rindu atau marah? Betul kan?

Oleh itu, dalam artikel ini penulis akan kongsikan beberapa cara untuk buat lelaki rindu. Sebenarnya tak susah pun, anda perlu bijak mengatur strategi saja. Nak tahu? Jom baca!

 1. Belajar masak makanan kegemaran

Setiap orang pasti mempunyai makanan kegemaran. Lelaki yang dibesarkan dengan masakan ibunya dari kecil pasti suka dengan cara masakan ibu mereka. Cuba ambil tahu melalui ibu mertua makanan kegemaran suami. Nak ikat suami, gembirakanlah perutnya dulu.

Buat surprise dengan menghidangkan makanan tersebut apabila dia pulang dari kerja. Pasti berbunga-bunga hati dibuatnya. Suami yang baik akan memuji masakan isteri walaupun hasilnya bukanlah yang diharapkan. Jika terima teguran pun, tak apa. Dia tetap akan hargai usaha anda itu. Cuba lagi sehingga anda berjaya.

2. Sifat lemah-lembut dan sopan

Disebabkan perwatakan lelaki cenderung nampak kasar, kebanyakan mereka suka kepada wanita yang lembut dan manja. Jaga pertuturan ketika berkomunikasi dengan suami tak kira semasa bergurau atau berbual kosong. Tak perlu mengada-ngada, cukuplah anda menjadi isteri yang membahagiakan.

Jangan sesekali meninggikan suara kerana ini akan membuatkan suami menjauhkan diri daripada anda. Sentiasa menjaga kesopanan walau di dalam atau luar rumah. Pakailah pakaian yang menutup aurat dan menyejukkan mata. Jangan lupa sambut kepulangan suami dengan wajah yang berseri-seri dan senyuman yang manis sekali.

3. Mendahulukan si dia dalam semua perkara

Jika ada masalah atau berita gembira sekalipun, dahulukan suami anda. Jangan sesekali membiarkan dia menjadi orang yang terakhir mengetahui berita tersebut. Suami mungkin nampak tenang kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan. Namun, jauh sudut hati pasti dia terasa.

4. Menganggapnya macam hero

Ketika belum berkahwin, pelindung bagi seseorang wanita mungkin ayah, abang atau adik lelakinya. Namun, setelah berkahwin, tugas sebagai pelindung telah berpindah kepada suami. Dahulukan suami dalam segala hal.

Jangan sesekali memperkecilkan kemampuannya untuk melindungi kita. Anggaplah suami seperti superhero yang akan sentiasa ada untuk kita walau di mana saja. Jika ada kesusahan dalam keluarga, mintalah pendapat atau bantuan suami selagi mampu.

5. Meluangkan masa bersama

Ada pasangan yang terpaksa duduk berasingan kerana tuntutan kerja. Jadi, manfaatkan masa bersama yang ada dengan sebaik-baiknya. Anda boleh bercuti bersama-sama, melakukan hobi kegemaran dan sebagainya.

Buat sementara waktu lupakan sebentar telefon bimbit dan media sosial. Itu salah satu punca keregangan dalam hubungan suami isteri. Berikan sepenuh perhatian dalam komukasi. Jadikan waktu yang singkat itu saat-saat yang tak boleh dilupakan. Pasti suami akan merindui anda sentiasa.

6. Belikan minyak wangi kegemaran

Jika pasangan anda suka minyak wangi, apa kata anda membelikan sebotol untuknya. Jangan belikan minyak wangi yang sering dipakai. Ketika shopping, bawa suami ke tempat menjual minyak wangi. Minta dia memilih sendiri minyak wangi yang buatnya tertarik.

Percayalah, setiap kali memakai minyak wangi tersebut, pasti bauan itu akan membuatkan si dia teringatkan anda. Tak perlu membeli minyak wangi yang mahal-mahal. Cukuplah ikut kemampuan sendiri.

7. Membuat kejutan ketika ulang tahun

Biasanya ketika ulang tahun hari jadi atau perkahwinan, lelaki akan bersungguh-sungguh membuat kejutan untuk pasangan. Namun, apa kata kali ni anda pula yang membuat surprise untuk si dia yang tercinta.

Anda boleh menghantar jambangan bunga ke tempat kerja suami dan membelikan hadiah istimewa. Anda juga boleh berpakat dengan ahli keluarga suami untuk membuat sebuah majlis yang kecil. Perkara-perkara sebegini pasti akan membuatkan hati suami terusik dan terharu.

lelaki rindu

Imej Via Bidadari

8. Memahami minat dan hobi

Jangan disebabkan hobi suami bertentangan dengan minat anda, anda melarangnya. Biarkan sesekali suami enjoy dengan kawan-kawannya misalnya bermain badminton, memancing atau mendaki. Seperti mana kaum wanita, suami juga perlu ada ‘me time.’

Setelah penat mencari rezeki, mereka juga pasti nak hiburkan hati. Selagi hobi tersebut tidak memudaratkan, berilah mereka galakkan sepenuhnya. Pasti suami akan gembira kerana mendapat seorang isteri yang memahami.

9. Penampilan menarik

Anda tak perlu ada rupa yang cantik jelita bak ratu cantik untuk berpenampilan menarik. Yang paling penting, sentiasa kemaskan diri ketika berada di rumah dan di luar. Walaupun bunyinya klise, namun itulah hakikatnya. Lelaki suka wanita yang wangi, kemas dan menarik dipandang.

 10. Mendoakan suami

Setiap kali selepas solat, jangan lupa doakan kebaikan, keberkatan dan kesihatan yang baik buat suami. Doakan suami agar sentiasa mengingati Allah, jauhkan dari perkara-perkara buruk dan semoga kebahagiaan rumah tangga berkekalan hingga ke syurga.

Kita dituntut untuk solat berjemaah bersama-sama dengan pasangan. Selain mengerjakan suruhan Allah, anda dan pasangan juga akan lebih rapat. Selepas solat, kucup tangan suami dan saling bermaafan.

Nampaknya, setakat ni saja perkongsian penulis tentang cara buat lelaki rindu. Semua tips yang dikongsikan ini bukan saja untuk para suami, sebaliknya untuk wanita juga. Jika hendak rumah tangga kekal bahagia, kedua-dua pihak perlu ada rasa tanggung jawab, toleransi dan kasih sayang.

Jangan lupa baca tips yang lain tentang rahsia menjadi suami yang terbaik dan petua suami isteri kekal romantik.

Rujukan

19 Simple Ways To Make Him Miss You Like Crazy (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.