Mencari petua buang blackhead?

“Banyak pula blackhead di muka ni. Malulah kalau orang nampak. Duit banyak dah habis beli produk muka ni. Aduh, susah betullah!”

Dialog macam ni memang biasa kedengaran bagi mereka yang ada masalah blackhead. Jika hanya sedikit yang tumbuh di muka, tak apa juga. Masalahnya blackhead akan berkumpul di bahagian hidung, dahi, pipi dan belakang badan.

Ia akan mencacatkan penampilan yang membuatkan kita berasa rendah diri. Oleh itu, kali ni kami akan memberikan petua tentang cara membuang blackhead dengan efektif. Jangan lupa baca artikel ni hingga habis ya!

Apa Itu Blackhead?

Blackhead juga dikenali sebagi bintik hitam. Ia merupakan bintik-bintik kecil yang mempunyai permukaan berwarna hitam yang tumbuh pada kulit. Apabila dipicit, akan mengeluarkan kotoran seperti isi whitehead dan jerawat.

Blackhead terjadi apabila minyak (sebum) berlebihan pada kulit menyumbat liang pori-pori anda. Apabila terdedah kepada udara, minyak dan sel-sel kulit yang mati akan menjadi hitam.

Petua Buang Blackhead

blackhead

Imej via Healthline

Jangan risau, masalah ni boleh diatasi jika kita berdisiplin dan konsisten dalam membuangnya. Baca cara-cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi cara ni dengan selamat dan berkesan.

#1 Jangan picit

Seperti juga jerawat, tangan akan terasa gatal dan seronok untuk memicit blackhead. Jangan sesekali membuat tindakan ni. Apabila kita memicit blackhead dengan tangan yang kotor dan tak menggunakan peralatan khas ia akan menambah lagi masalah.

Tangan kita mempunyai lebih banyak bakteria dan minyak yang boleh menyumbat pori-pori di bahagian lain pula. Blackhead yang dipicit juga akan mengeluarkan bakteria yang boleh merebak ke bahagian lain.

Apabila kita memicit dengan tangan secara kasar, ia akan meninggalkan parut yang sukar dihilangkan. Akhirnya, muka anda lebih banyak parut-parut yang lebih jelas kelihatan berbanding bintik hitam.

#2 Buat double cleansing

Ramai wanita yang mencuci muka dengan cara yang salah. Dengan hanya sekali cucian tak mungkin wajah anda akan benar-benar bersih. Lebih-lebih lagi bagi yang suka bersolek atau bekerja di luar. Krim kecantikan, solekan, minyak, habuk dan sel-sel kulit mati tak mudah ditanggalkan.

Apa yang perlu dibuat ialah teknik double cleansing. Teknik ni bermaksud anda perlu mencuci muka 2 kali dengan 2 pencuci muka yang berbeza. Yang pertama gunakan cleansing oil dan seterusnya pencuci muka harian anda (bergantung pada jenis kulit).

Apabila menggunakan cleansing oil, ia sangat efektif untuk menanggalkan kotoran yang melekat di wajah. Jangan risau produk ni direka khas untuk semua jenis kulit. Walaupun anda mempunyai kulit yang berminyak, ia tak akan meninggalkan sebarang kesan minyak.

Setelah sapukan cleansing oil pada wajah yang kering. Urut lembut di sekitar muka dan bilas dengan air bersih. Kemudian, cuci muka sekali lagi menggunakan pencuci muka yang anda biasa gunakan.

#3 Konsisten memakai produk wajah

Bukan saja rajin mencuci muka, anda juga perlu memakai pelembap, toner, serum dan krim sunblock. Setiap produk ni mempunyai fungsi yang berbeza-beza. Apabila kita rajin menjaga kulit wajah, penghasilan sebum dapat dikurangkan.

Seminggu sekali atau 2 kali buatlah scrub untuk menyingkirkan sel-sel kulit mati dan kotoran yang terperangkap. Jangan lupa juga gunakan mask wajah sama ada yang dijual di pasaran atau dibuat sendiri. Hasilnya kulit akan sentiasa lembap dan bersih.

Elakkan menggunakan mask jenis gel yang perlu ditarik setelah kering. Walaupun ia mampu menarik keluar sesetengah kotoran, namun blackhead yang kecil tetap sukar dibuang. Malah, penggunaan mask jenis ni akan buat kulit semakin kering dan sensitif.

#4 Dapatkan rawatan di pusat kecantikan

Anda boleh membuat appointment di pusat kecantikan yang berdekatan dengan rumah. Dapatkan nasihat dan analisis kulit daripada pakar. Jika terlalu banyak blackhead pada wajah, mereka akan membuat rawatan untuk memicitnya keluar.

Cara begini lebih selamat berbanding kita memicitnya sendiri. Pusat kecantikan mempunyai peralatan khas untuk meminimumkan luka dan parut.

#5 Cuba petua tradisional

Jika anda mempunyai kulit yang sensitif dan kering, apa kata cuba petua-petua tradisional. Antaranya ialah:

  • Gunakan lendir daun aloe vera untuk melembapkan kulit dan menghilangkan parut.
  • Gunakan ketulan ais untuk melancarkan peredaran darah di sekitar wajah.
  • Membuat scrub daripada gula pasir dengan mencampurkan sedikit cuka epal atau madu.
  • Sapukan sedikit jus lemon pada bahagian yang bermasalah saja.
  • Gunakan mask timun yang dihancurkan pada keseluruhan wajah.
  • Gunakan yogurt atau susu segar untuk melembapkan kulit, mengurangkan garis-garis halus dan menyingkirkan sel kulit mati.
  • Orang yang mempunyai kulit yang sensitif dan berjerawat boleh menggunakan oat sebagai mask.

#6 Pastikan produk muka sesuai

Terdapat 5 jenis produk muka di pasaran iaitu bagi kulit normal, berminyak, kering, kombinasi dan kulit sensitif. Anda perlu tahu jenis kulit dan masalah yang hendak diatasi. Apabila salah pilih produk, anda bukan saja bazirkan wang tetapi juga kulit akan menjadi lebih teruk.

Misalnya, jika kulit anda berjerawat dan gelap. Gunakan produk yang dapat menghilangkan jerawat terlebih dulu. Jika jerawat sudah tiada, anda bolehlah menggunakan produk pencerahan wajah.

Paling penting, jangan sesekali beli produk timbang kilo yang dijual secara berleluasa. Jangan tertipu dengan hasil testimoni dan sebagainya. Dapatkan produk yang selamat di kaunter atau drugstore.

#7 Amalkan gaya hidup sihat

Masalah blackhead bukan saja dihadapi oleh golongan remaja, malahan orang tua juga ada masalah yang sama. Faktor persekitaran, hormon, umur dan gaya hidup memberikan kesan kepada kulit.

Oleh itu, jaga pemakanan dengan mengambil makanan yang seimbang dan sihat. Kurangkan makanan yang berlemak, manis, masin dan berminyak. Jangan lupa minum air yang banyak untuk menghidrasi kulit.

Amalkan gaya hidup aktif dengan bersenam dan jauhkan diri daripada stres. Jangan minum arak dan menghisap rokok. Cara hidup kita memberi kesan bukan saja kepada kulit tetapi juga kesihatan.

Setakat ni saja perkongsian tentang topik blackhead. Diharapkan para pembaca mendapat manfaat sepenuhnya melalui artikel cara buang blackhead ni. Jika anda nak tambah info-info lain, kongsikan dengan kami. Jemput juga baca artikel punca jeragat dan punca jerawat

 

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.