Semua orang nak kurus, tapi tak semua mampu kawal nafsu makan. Dah mencuba pelbagai teknik diet, namun tetap gagal. Salah satunya sebab suka makan pencuci mulut sama ada kek, biskut, puding, pastri dan sebagainya.

Pencuci mulut biasanya dibuat menggunakan gula yang banyak. Kandungan gula yang tinggi tak baik untuk kesihatan. Ia akan meningkatkan risiko penyakit diabetes dan obesiti.

Kita sedia maklum, pencuci mulut biasanya digemari kerana rasanya yang manis dan berlemak. Sedang sedih makan kek coklat, sedang gembira makan ais krim vanila, sedang bosan makan biskut keju. Betul tak?

Siapa cakap orang yang sedang berdiet tak boleh makan pencuci mulut? Anda boleh saja menikmati hidangan pencuci mulut tanpa rasa bersalah. Malahan, ibu hamil dan pesakit diabetes pun boleh makan dengan kadar yang sedikit. Betul ke fakta ni?

Sebenarnya ia bergantung pada bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan pencuci mulut. Apa kata anda tukar resepi pemanis mulut kegemaran menggunakan bijirin? Selain rendah kalori dan lemak, ia juga amat menyihatkan. Rasanya juga amat lazat.

Apa Itu Bijirin?

bijiran untuk diet

Imej via Bidadari

Bijirin merupakan makanan ruji bagi manusia yang membekalkan sumber tenaga. Terdapat 2 jenis bijirin iaitu bijirin penuh dan bijirin halus. Bijirin penuh lebih berkhasiat kerana mengandungi lebih banyak nutrien berbanding bijirin halus.

Bijirin penuh lengkap dengan 3 komponen iaitu bran, germa dan endosperma. Ia mengandungi lebih banyak serat, vitamin B, vitamin E, zat besi, mineral dan asid lemak tak tepu. Manakala bijirin halus telah melalui proses pengilangan yang menyebabkan hanya komponen endosperma yang tinggal.

Hasil kajian mendapati bijirin dapat membantu meningkatkan kesihatan kita. Antara kebaikannya ialah:

  1. Membantu mengawal berat badan
  2. Mengurangkan risiko strok
  3. Mengurangkan risiko Diabetes Jenis 2
  4. Mengurangkan risiko sakit jantung
  5. Mengurangkan risiko kanser usus besar
  6. Mengurangkan keradangan

Bagi yang sedang berdiet, ada berita baik untuk anda. Dalam artikel ni, penulis akan berkongsi 6 resepi pencuci mulut berasaskan bijirin. Jangan risau, anda pasti akan makan tanpa henti. Ooops! Kata nak diet kan? Makan secara bersederhana ye.

Namun, jangan risau. Resepi yang dikongsikan ini semuanya mempunyai kandungan gula dan kalori yang rendah, kaya dengan serat dan nutrien lain. Jangan lupa cuba semua resepi ni. Anda tak akan menyesal.

Granola Bar

Bahan-bahan:

  • 3 cawan mil oat (rolled oats)
  • 1/2 campuran kekacang (badam, pistachio, hazel, kuaci dan kacang tanah)
  • 1/2 cawan madu asli
  • 1/4 kurma
  • 1/4 kismis
  • 2 sudu besar biji chia

Cara-cara:

  1. Panaskan oven dengan suhu 170 darjah celsius, selama 10 minit.
  2. Campurkan kesemua bahan ke dalam mangkuk yang besar. Gaul sebati supaya madu dapat melekatkan semua bahan dengan baik.
  3. Alaskan loyang segiempat bersaiz 9×9 inci dengan kertas minyak.
  4. Kemudian, masukkan adunan yang dicampur tadi dan ditekan dengan sudu bagi memampatkannya.
  5. Masak selama lebih kurang 10 hingga 15 minit. Anda tak perlu tunggu ia masak. Tujuannya hanya untuk melekatkan semua bahan supaya senang dipotong.
  6. Selepas itu, bolehlah dipotong mengikut bentuk kesukaan. Simpan granola di dalam bekas kedap udara. Tak perlu masuk peti sejuk.

Bubur Oat Berkrim

Bahan-bahan:

  • 500ml susu segar atau susu rendah lemak
  • 10 sudu besar mil oat
  • 1/2 cawan kacang badam yang dikisar halus
  • 4 biji buah kurma (dipotong kecil)
  • 3 sudu madu asli
  • Hirisan buah-buahan untuk hiasan

Cara-cara

  1. Panaskan susu dan oat dengan api sederhana sehingga mendidih.
  2. Masukkan serbuk kacang badam, buah kurma dan madu. Kacau rata dan padamkan api.
  3. Akhir sekali, hiaskan dengan hirisan buah-buahan seperti epal, mangga, kiwi dan sebagainya.

Puding Vanila Lapis Mangga

Bahan-bahan A (lapisan bawah):

  • 3 keping roti mil penuh (dibuang tepi)
  • 1 cawan air
  • 7 cawan susu segar atau susu rendah lemak
  • Pemanis stevia atau madu asli
  • 20g agar-agar tali
  • 1 sudu besar esen vanila

Bahan-bahan B (lapisan atas):

  • 4 biji mangga ranum
  • 1/2 cawan air
  • 1/2 sudu besar gelatin halal
  • 1 biji mangga ranum (dipotong dadu)

Cara-cara:

  1. Kisar roti mil penuh dengan secawan air sehingga halus. Ketepikan.
  2. Kemudian, masak agar-agar dengan 7 cawan susu sehingga larut. Masak hingga mendidih. Tutup api.
  3. Kemudian masukkan stevia atau madu asli, esen vanila dan roti yang dikisar tadi. Kacau rata.
  4. Tuangkan ke dalam bekas-bekas kecil ikut suka. Jangan isi penuh. Biarkan lapisan bawah mengeras. Nak cepat masukkan di dalam peti sejuk.
  5. Sementara tunggu lapisan bawah keras, siapkan lapisan atas pula.
  6. 3 biji mangga yang dah dipotong dikisar dengan sedikit air.
  7. Larutkan gelatin dengan 2 sudu besar air panas. Pastikan ia larut.
  8. Masak sebentar mangga yang dikisar tadi dengan gelatin.
  9. Bolehlah dituangkan di atas lapisan pertama tadi.
  10. Mangga yang dipotong dadu boleh ditaburkan di atas. Nikmati sejuk-sejuk.

Ais Krim Yogurt Jagung

Bahan-bahan:

  • 2 1/2 cawan susu segar
  • 1 cawan yogurt tanpa perisa
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • 4 sudu besar mil oat (dikisar halus)
  • 1/4 kacang pistacho (dipotong kasar
  • 1 cawan isi jagung segar (direbus dulu)
  • 3 sudu besar madu asli
  • 2 sudu besar gelatin (dilarutkan dengan sedikit air panas)

Cara-cara:

  1. Kisar semua bahan di dalam mesin pengisar kecuali pistachio dan larutan gelatin.
  2. Kisar selama beberapa minit sehingga semua bahan halus, kembang dan gebu.
  3. Kemudian, tuang adunan yang dikisar di dalam bekas lain. Masukkan pistachio dan larutan gelatin. Kacau sebati.
  4. Sejukkan di bahagian sejuk beku semalaman atau sehingga benar-benar keras.

Jejari Coklat

Bahan-bahan:

  • Beberapa keping roti mil penuh
  • Coklat masakan (guna coklat hitam)
  • Sedikit nestum

Cara-cara:

  1. Bahagian tepi roti dibuang. Kemudian, roti dipotong memanjang dalam 4cm dan diletakkan ke dalam loyang.
  2. Panaskan oven pada suhu 150 darjah celsius selama 10 minit. Masukkan roti ke dalam oven. Jika roti dah nampak keperangan, boleh dikeluarkan.
  3. Sejukkan kepingan roti.
  4. Sementara itu, cairkan coklat dengan teknik ‘double boil’ (panaskan air terlebih dahulu di dalam periuk. Sesudah mendidih, letakkan bekas lain berisi coklat di atasnya).
  5. Sesudah coklat cair, celupkan kepingan roti tadi ke dalam coklat. Taburkan nestum di atasnya. Setelah sejuk, bolehlah disimpan dalam bekas kedap udara.

Lempeng Gandum Berinti Jem Strawberi

Bahan-bahan A (lempeng):

  • 2 cawan tepung gandum mil penuh
  • 3 1/2 cawan air
  • 1/4 cawan mil oat
  • 1 biji telur
  • Sedikit garam
  • Sedikit minyak zaitun untuk gris pan

Cara-cara:

  1. Kisar semua bahan kecuali minyak zaitun di dalam mesin pengisar sehingga halus dan berkrim.
  2. Griskan pan atau kuali rata dengan sedikit minyak zaitun. Ambil 1 senduk adunan dan ratakan di pan seperti membuat telur dadar. Biarkan sehingga masak. Tak perlu diterbalikkan.
  3. Buat sehingga habis adunan.

Bahan-bahan B (jem strawberi)

Bahan-bahan:

  • 300g buah strawberi
  • 3/4 cawan madu asli
  • 1 sudu besar esen vanila
  • 80ml jus oren
  • Sedikit parutan kulit oren

Cara-cara:

  1. Potong strawberi kecil-kecil dan buang bahagian daun di atasnya.
  2. Campurkan semua bahan di dalam periuk. Masak dengan api sederhana selama 10 hingga 20 minit. Kacau sentiasa.
  3. Setelah strawberi cair dan likat, bolehlah ditutup api.
  4. Letakkan sedikit jem strawberi di tengah-tengah lempeng yang telah dimasak tadi dan digulung kemas. Boleh juga dituangkan saja di atasnya.

Bagaimana? Sungguh menyelerakan resepi-resepi yang dikongsikan ni. Lepas mencuba, jangan lupa memuat naik di laman Facebook dan Instagram. Pasti ramai tak percaya anda masih boleh menikmati makanan yang hebat ni walaupun sedang berdiet.

Anda boleh menikmati hidangan pencuci ni kerana penggunaan bijirin memberi kelebihan dari segi khasiat dan rasa. Malahan, penggunaan gula dielakkan sama sekali dan digantikan dengan madu asli atau stevia.

Resepi yang dikongsikan ini menggunakan bahan-bahan yang mudah dengan kos yang minima. Namun, anda boleh juga ubah suai dengan menambah kekacang dan buah-buahan kegemaran.

Diharapkan para pembaca berpuas hati. Jangan lupa berkongsi resepi pencuci mulut menggunakan bijirin yang sihat ni dengan keluarga dan sahabat andai.

*Jemput juga baca artikel tentang panduan piramid makanan dan jadual diet

Rujukan

  1. https://goodmorning.com.my/bijirin-penuh/?lang=ms
  2. https://www.hmetro.com.my/node/125822

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.