Jom lihat beza air mineral dan air minuman.

Jika berasa dahaga, dalam fikiran kita hanya hendakkan air mineral untuk memberi kelegaan pada tekak dan menghilangkan rasa haus. Tanpa banyak fikir, kita akan terus menuju ke rak yang menjual adan terus membayar harganya.

Namun, pastikah anda air minuman yang dibeli itu memang betul-betul air mineral atau sebaliknya? Sebenarnya apa itu air mineral? Sama yang macam kita minum di rumah? Banyak persoalan yang perlu dijelaskan kepada masyarakat agar tidak terkeliru.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sesiapa yang mengambil air mineral semula jadi atau air minuman berbungkus untuk tujuan kegunaan manusia dan dijual perlu mendapatkan lesen punca air tersebut. Ini termaktub dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Perbezaan Air Mineral dan Air Minuman

Secara umumnya, semua air adalah sama. Yang membezakan setiap air tersebut ialah kandungan bahan larut seperti mineral, bahan organik dan bahan cemar. Perbezaan ini bergantung kepada punca, cara rawatan dan proses pemprosesan yang digunakan.

Bagi memudahkan pemahaman pembaca, di bawah ini disenaraikan perbezaan air mineral dan air minuman mengikut kategorinya.

#1 Punca

  • Air mineral- Didapati daripada kandungan air bawah tanah seperti mata air, telaga dan sebagainya. Bagi proses menggali ini, punca perlu mendapat kelulusan dan lesen daripada KKM.
  • Air minuman- Didapati daripada semua punca air yang selamat seperti bekalan air paip, sungai, kolam, tasik, telaga tiub, mata air dan sebagainya. Perlu mendapat kelulusan dan lesen daripada KKM

#2 Penambahan mineral

  • Air mineral- Tidak boleh diperkaya atau ditambah dengan vitamin atau mineral.
  • Air minuman- Boleh ditambah garam klorida, bikarbonat dan sulfat bagi kalsium, kalium, sodium, magnesium dan karbon dioksida.

#3 Penambahan karbon dioksida

  • Air mineral- Dibenarkan tambah karbon dioksida.
  • Air minuman- Dibenarkan tambah karbon dioksida.

# 4 Kaedah rawatan

  • Air mineral- Terdapat proses penapisan, pengklorinan diikuti dengan pendeklorinan, pengudaraan dan pengkarbonan. Selain itu, terdapat penstrilan ultraungu, pelakuan ozon dan pempasteuran. Kesemua kaedah ini perlu mematuhi standard yang ditetapkan.
  • Air minuman- Semua jenis rawatan dibolehkan, namun perlu mematuhi standard yang ditetapkan. Antara rawatannya ialah penurasan (untuk hilangkan bau, rasa dan klorin), penyulingan, osmosis berbalik dan elektrodialisis. Selain itu, sinaran ultraviolet untuk penyahkuman, penyulingan dan sebagainya.

#5 Label Jenis Minuman

  • Air mineral- Perlu dilabel dengan “Air Mineral Semula Jadi” atau “Air Mineral Semula Jadi Berkarbonat” (jika mengandungi karbon dioksida).
  • Air minuman- Perlu dilabel dengan “Air Minuman” atau “Air Minuman Berkarbonat” (jika mengandungi karbon dioksida).

#6 Label Maklumat

  • Air mineral- Mestilah dilengkapi maklumat tentang:
  1. Amaun jumlah pepejal terlarut
  2. Nama kandungan mineral yang ada
  3. Nilai pH
  4. Lokasi punca air
  5. Nombor kelulusan KKM
  6. Punca diluluskan KKM
  7. Nama dan alamat pengeluar yang lengkap
  8. “Buatan Malaysia” atau buatan negara asal pengeluar
  • Air minuman- Mestilah dilengkapi maklumat tentang:
  1. Amaun mineral atau garam tambahan sekiranya ada
  2. Jenis punca air
  3. Nombor kelulusan KKM
  4. Punca diluluskan KKM
  5. Nama dan alamat pengeluar yang lengkap
  6. “Buatan Malaysia” atau buatan negara asal pengeluar

#7 Pembungkusan atau Botol

  • Air mineral- Penutup botol pelbagai warna, biasanya biru, merah jambu atau hijau. Botol yang digunakan mestilah telus dan lutsinar.
  • Air minuman- Penutup botol berwarna putih. Botol yang digunakan mestilah telus dan lutsinar.

#8 Harga

  • Air mineral- Disebabkan pelbagai kaedah rawatan yang memakan kos tinggi maka harga air mineral agak mahal bergantung kepada jenama.
  • Air minuman- Kos yang lebih rendah berbanding air mineral menyebabkan harga jualannya lebih murah.

#9 Rasa

  • Air mineral- Berasa sedikit kelat kerana kandungan mineral di dalamnya.
  • Air minuman- Rasanya seperti air masak di rumah iaitu rasa kosong.

Khasiat

  • Air mineral dan air minuman- Tiada khasiat khusus sama ada air mineral atau air minuman. Kedua-duanya merupakan air yang diperlukan untuk proses dalam badan. Jika anda kekurangan sesetengah mineral dalam badan, air mineral dapat membantu meningkatkannya dalam badan.

Kekeliruan Masyarakat Tentang Khasiat Air

Terdapat pelbagai jenis mesin air dalam pasaran yang dikatakan sangat mujarab bagi mengubati penyakit tertentu. Itulah sebabnya masyarakat sering terkeliru dengan nama osmosis berbalik, osmosis songsang, R.O Water, air suling dan Ozon Water.

Sebenarnya kesemua ini merupakan jenis kaedah rawatan ke atas air yang dilakukan  untuk air minuman. Secara umumnya proses ini bertujuan untuk menghilangkan bau, rasa dan klorin. Osmosis berbalik digunakan untuk membuang atau mengurangkan mineral. Manakala, ozon digunakan untuk membunuh kuman.

Diharapkan penerangan tentang perbezaan air mineral dan air minuman dapat memberi informasi kepada para pembaca. Jika anda perasan harga setiap air yang dijual berbeza-beza, lebih-lebih lagi bagi air mineral jangan cepat melatah.

Setiap pengilang membuat proses rawatan yang mungkin berbeza misalnya harga bagi aie mineral Spritzer sedikit mahal berbanding jenama Cactus. Ia bergantung kepada proses yang dijalankan.

Malahan, terdapat juga air mineral jenama Evian yang berkali ganda lebih mahal berbanding yang biasa kerana ia diimport dari Perancis. Air mineral ini dihasilkan daripada air mineral tulen dari pergunungan di Perancis.

Malahan, dari segi rasa, air Evian ini sedikit berbeza berbanding air mineral yang lain. Rasanya sedikit masin, payau dan kelat kerana kandungan mineral yang tinggi. Ada yang berpendapat ia seakan-akan rasa air zam-zam.

Justeru, mulai dari hari ini, anda sepatutnya sudah tahu yang mana air mineral dan air minuman. Jika penutup berwarna putih, itu ialah air minuman. Jika penutup berwarna-warni, itu ialah air mineral.

Yang paling penting, jangan lupa minum air sekurang-kurangnya 8 gelas pada setiap hari. Jika melakukan aktiviti berat seperti bersenam, berkebun dan sebagainya, minum air lebih banyak. Air sangat penting untuk kesihatan tubuh kita. Moga bermanfaat.

Jemput juga baca artikel piramid makanan dan makanan tidak baik untuk anak

Rujukan

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.