Jika dilihat permainan kanak-kanak di pasaran masa kini, boleh jadi rambang mata ibu bapa untuk memilihnya buat anak-anak, bukan?
Kalau ikutkan hati, rasa macam nak beli semua. Mana tidaknya, permainan-permainan tersebut kelihatan sangat comel di pandangan mata sehingga menarik perhatian kita dan anak-anak untuk memilikinya.
Sebelum kita belikan sebarang permainan untuk anak, jom kita lihat 5 perkara ini terlebih dahulu.
Perkara paling utama, teliti terlebih dahulu manfaat permainan tersebut untuk anak-anak. Adakah ianya sekadar dapat menghiburkan mereka atau ianya bermanfaat dalam membantu meningkatkan tahap perkembangan mereka.
Fokus kepada kemahiran yang ingin diterapkan dalam diri si kecil melalui permainan tersebut sama ada kemahiran motor halus, kemahiran motor kasar, koordinasi mata dan tangan, kemahiran kognitif dan sebagainya.
Saiz permainan juga memainkan peranan yang penting dalam pemilihan permainan anak-anak.
Perhatikan, adakah permainan tersebut terlalu kecil atau tajam menjadikan ianya berbahaya untuk anak sekiranya termasuk ke dalam mulut, telinga dan hidung mereka?
Atau permainan tersebut terlalu besar dan berat sehingga boleh mejejaskan keselamatan anak kita?
Pilih permainan yang bersesuaian dengan usia si manja yang kita cintai.
Dalam memilih permainan buat anak, fikirkan juga tentang kegunaan permainan itu kelak.
Rancang sama ada permainan itu hanya akan digunakan oleh anak ketika di rumah sahaja atau kita merancang untuk membeli permainan yang mudah dibawa ke mana-mana.
Selain itu, teliti juga sama ada permainan tersebut hanya dapat digunakan dengan satu cara bermain sahaja atau ianya permainan ‘multi-functional’ yang boleh dimainkan dengan pelbagai cara?
Sekiranya, permainan tersebut dapat digunakan untuk merangsang perkembangan si manja, dapat mencipta sesuatu permainan baru dan boleh juga digunakan untuk bermain ‘role-play’, ia pastinya permainan yang berbaloi untuk dimiliki.
Penglibatan ibu bapa dalam bermain apa jua jenis permainan yang dibeli untuk anak adalah sangat penting agar dapat membantu perkembangan mereka dari segi kemahiran komunikasi dan pelbagai lagi kemahiran lain.
Ayuh renungkan, dengan membelikan mereka sesuatu permainan itu, adakah kita dapat meluangkan masa kita untuk bermain permainan tersebut bersama anak?
Atau permainan itu dibeli sekadar untuk ‘menggantikan’ kita di kala kita sibuk menguruskan pelbagai perkara?
Percayalah bahawa anak-anak sebenarnya sangat ternanti-nanti waktu untuk bermain dengan kita kerana bagi mereka, bermain bersama ibu bapa adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan!
Harga sesuatu permainan juga memainkan peranan yang penting. Permainan yang mahal harganya belum tentu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak.
Kadang kala, permainan yang lebih murah daripada permainan mahal tersebut adalah lebih bernilai dan bermanfaat buat si manja.
Kita tidak mahu berasa menyesal dengan membeli permainan mahal buat anak, tetapi anak bermain permainan tersebut sekejap sahaja, dan kemudian meninggalkan permainan itu kerana berasa bosan, bukan?
Oleh itu, pilih permainan yang benar-benar bermanfaat dan berbaloi dengan harganya.
Sebagai ibu bapa, usah diikutkan hati dan kehendak si kecil dalam membelikan permainan buat mereka kerana kita mungkin akan tersilap membuat pilihan.
Semoga dengan panduan ini, ianya dapat membantu kita memilih permainan terbaik buat si manja demi membantu tahap perkembangan mereka.