Penyakit batuk kering atau juga dikenali sebagai tibi dan tuberkulosis merupakan penyakit yang menjadi ancaman masalah kesihatan utama di seluruh dunia. Ia juga merupakan penyakit berjangkit yang muncul semula.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO):

  • Suku daripada penduduk dunia dijangkiti batuk kering.
  • Hampir 9 juta orang yang dijangkiti batuk kering saban tahun.
  • 2 juta kematian berlaku pada setiap tahun.
  • Kadar kematian yang tertinggi adalah di benua Afrika, Asia dan Amerika Selatan.
  • Penyebab utama kematian adalah dari agen tunggal dalam kalangan orang dewasa di negara membangun.
  • Pesakit yang rentan ubat (ubat tidak berkesan) semakin meningkat di kebanyakan tempat di seluruh dunia.

Penyakit ini selalunya menjangkiti paru-paru disebabkan oleh sejenis bakteria. Namun, bakteria tersebut juga boleh menjangkiti bahagian lain seperti tulang, perkumuhan, sendi, usus, kulit, organ pembiakan, selaput otak dan sebagainya.

Punca Penyakit Batuk Kering

Agen penyebab penyakit ini ialah sejenis bakteria yang dikenali sebagai mycobacterium tuberculosis. Bakteria ini berbentuk rod manusia. Malahan, penyakit ini juga boleh dijangkiti daripada mycobacterium bovis yang disebabkan oleh m.bovis.

Malahan, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), risiko jangkitan penyakit ini berbeza-beza antara setiap negara. Di benua Afrika dan Asia, jangkitan HIV telah meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit batuk kering.

Risiko untuk mendapat penyakit ini ketika melawat luar negara amat rendah. Namun, elakkan berada di kawasan sesak seperti kawasan pengangkutan awam, hospital dan sebagainya.

Malah, elakkan diri daripada terdedah kepada pesakit batuk kering. Ini disebabkan penyakit batuk kering bukan sahaja boleh menjangkiti orang dewasa tetapi juga kanka-kanak.

Cara Batuk Kering Berjangkit

Apabila seseorang pesakit itu batuk, ludah atau bersin, bakteria yang dilepaskan di udara akan menjangkiti individu yang berhampiran. Hal ini disebabkan batuk kering merebak melalui titisan air ke udara.

Apabila bakteria berjaya masuk ke dalam badan, ia akan menyerang paru-paru. Lama-kelamaan, ia akan bergerak melalui saluran darah ke tempat-tempat lain di badan.

Manakala, batuk kering bovine (disebabkan oleh mycobacterium bovis), boleh merebak pemakanan yang tercemar, produk tenusu yang tidak dipasteur daripada lembu yang dijangkiti.

Penyakit ini boleh berjangkit tetapi kebanyakan jangkitan tidak menyebabkan penyakit. Risiko mendapat penyakit ini amat rendah, namun boleh meningkat oleh pelbagai faktor terutamanya bagi pesakit HIV disebabkan kurang daya tahan penyakit.

Gejala Penyakit Batuk Kering

Terdapat beberapa gejala yang menunjukkan seseorang individu itu telah dijangkiti batuk kering, iaitu:

  • Batuk yang berlanjutan melebihi 2 minggu.
  • Batuk berkahak dan kadang-kadang disertai darah.
  • Hilang selera makan.
  • Berat badan menjadi susut.
  • Sukar untuk bernafas.
  • Sakit dada (apabila jangkitan melibatkan paru-paru)
  • Suara menjadi serak disebabkan kerap batuk.
  • Berpeluh pada waktu malam.
  • Mengalami demam.
  • Menggigil kesejukan.
  • Sakit kepala, leher menjadi kaku dan silau pada cahaya lampu (jangkitan sampai ke otak).

Jika tidak mendapatkan rawatan dengan segera, individu itu akan berisiko mendapat komplikasi iaitu batuk berdarah, udara dalam paru-paru dan paru-paru bernanah. Oleh itu, segeralah mendapatkan rawatan doktor perubatan di hospital.

Rawatan Batuk Kering

#1 Diagnosa

Kahak pesakit, pemeriksaan cecair atau tisu badan yang lain akan didiagnosa terlebih dahulu melalui ujian makmal. Diagnosa akan dilakukan berdasarkan ciri-ciri klinikal sekiranya tiada pengesahan mikrobiologi.

#2 Ubat-ubatan

Pesakit akan dirawat dengan rawatan pelbagai ubat selama 6 bulan. Selama 2 bulan, ubat isoniazid, rifamipicin, pyrazinamide dan ethambutol akan diberikan selama 2 bulan. Kemudian, selama 4 bulan akan diberikan ubat isoniazid dan rifamipicin.

Bagi pesakit batuk kering yang rentan ubat, lebih sukar dirawat. Mereka perlu dirawat oleh pakar yang terlatih. Selama 18 hingga 24 bulan, sebanyak 4 hingga 6 jenis ubat perlu diberikan.

#3 Pengasingan

Bagi memastikan pesakit mengambil setiap dos ubat, Rawatan Di Bawah Pemerhatian Langsung atau isolasi diberikan. Para pesakit akan diasingkan daripada pesakit lain apabila dimasukkan ke dalam wad.

Mereka akan sentiasa diawasi oleh petugas kesihatan yang terlatih selama 6 bulan. Apabila hendak memeriksa dan mendekati pesakit, staf hospital perlulah memakai sarung tangan dan topeng mulut.

Ada beberapa kriteria kemasukan pesakit ke hospital iaitu:

  1. Pesakit tenat.
  2. Batuk kering yang melibatkan sistem saraf pusat, perikardium, adrenal dan tulang belakang.
  3. Pesakit yang rentan ubat.
  4. Pesakit yang tidak mematuhi rutin rawatan.
  5. Batuk kering sebaran akut.
  6. Pesakit dengan komplikasi penyakit yang lain seperti diabetes, kegagalan buah pinggang dan sebagainya.
  7. Pesakit yang mengalami alahan ubat.
  8. Pesakit yang perlu kurangkan kesan buruk ubat antituberkulosis.

Langkah Pencegahan Penyakit Batuk Kering

Terdapat beberapa perkara penting untuk mengawal jangkitan batuk kering yang sangat berbahaya ini. Antaranya ialah:

  • Kanak-kanak kecil perlu mengambil vaksin BCG sebagai langkah pencegahan. Vaksin ini menjadi pelindung utama supaya mereka tidak dijangkiti kuman ini pada usia yang kecil.
  • Pesakit batuk kering mestilah berdisiplin dalam mengambil ubat-ubatan secara konsisten. Jangan sesekali malas makan ubat kerana bakteria yang belum hilang sepenuhnya di dalam badan akan menjadi lebih kuat.
  • Orang yang berisiko mendapat jangkitan batuk kering perlu membuat pemeriksaan jika terdapat gejala-gejala yang dinyatakan di atas. Antaranya ialah individu yang duduk serumah dengan pesakit batuk kering. Selain itu, pernah berkunjung ke luar negara yang mempunyai kadar jangkitan yang tinggi.
  • Menjaga kebersihan diri dengan mencuci tangan. Apabila hendak batuk atau bersin, tutup mulut menggunakan tisu sebelum berbuat demikian.
  • Bagi individu yang mengendalikan pesakit, pakailah sarung tangan dan topeng muka N95.

Setakat ini sahaja perkongsian penulis tentang batuk kering dari aspek punca, cara jangkitan, gejala dan rawatan yang diperlukan. Jangan ambil mudah tentang penyakit ini, lebih-lebih lagi bagi golongan tua dan kanak-kanak.

Sentiasa menjaga kebersihan diri, jauhkan diri daripada tempat-tempat yang sesak dengan orang ramai. Jika ada tanda-tanda yang dinyatakan segera dapatkan rawatan di hospital. Ini kerana penyakit batuk kering boleh menjangkiti ahli keluarga dan orang berhampiran.

Moga bermanfaat. Baca juga punca penyakit tibi dan batuk kering kanak-kanak

Rujukan

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.