Bagi anda yang baru mendirikan rumah tangga atau berpindah ke rumah baru, pastinya anda sedang teruja untuk menyediakan persiapan rumah baru. Salah satu daripada perkara penting yang mungkin anda terlepas pandang ialah senarai barang dapur wajib ada.

Kata orang, dapur adalah jantung sesebuah rumah. Itulah sebabnya apabila anda memasuki rumah baru, dapur yang lengkap dengan semua kelengkapan yang perlu adalah sangat penting.

Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan senarai barang dapur wajib ada yang mungkin anda terlepas pandang dalam kesibukan menyediakan persiapan untuk masuk ke rumah baru. Semoga bermanfaat buat anda.

Sumber: Unsplash

Pinggan mangkuk

Ini adalah benda paling penting yang perlu ada di dapur setiap rumah. Kalau anda tak beli pinggan mangkuk alamatnya tak makanlah anda sekeluarga. Tak semestinya anda perlu beli set pinggan mangkuk yang mahal dan berjenama. Beli yang biasa dan murah pun tak mengapa. Namun nasihat kami elakkan daripada membeli pinggan mangkuk plastic kerana dikhuatiri mengandungi satu bahan yang bernama BPA yang boleh membahayakan kesihatan.

Jika pinggan mangkuk yang anda beli adalah dibuat dari plastik yang mengandungi BPA, apabila anda mengisi makanan panas ke dalam pinggan mangkuk tadi, haba dari makanan akan menyebabkan BPA dari plastik masuk ke dalam makanan dan seterusnya masuk ke tubuh badan anda. Di antara senarai pinggan mangkuk yang perlu anda beli adalah seperti berikut:

  • Pinggan nasi
  • Pinggan lauk
  • Mangkuk besar untuk mengisi makanan berkuah
  • Piring kecil
  • Pinggan besar untuk mengisi nasi
  • Mangkuk kecil

Cawan dan gelas

Selain pinggan mangkuk, cawan dan gelas juga adalah benda penting yang wajib anda beli semasa masuk ke rumah baru. Seperti pinggan mangkuk, untuk cawan dan gelas, anda tidak perlu membeli alatan atau set berjenama yang mahal. Apa yang penting semestinya elakkan daripada membeli cawan atau gelas yang diperbuat daripada plastik.

Apakah beza di antara cawan dan gelas? Cawan biasanya rendah dan boleh digunakan untuk minum air panas dan air sejuk sementara gelas biasanya lebih tinggi dan biasanya digunakan untuk minum air sejuk sahaja. Anda juga boleh pilih untuk membeli cawan dalam bentuk set yang datang dengan jag. Kalau ada tetamu datang menziarahi anda, cantik sikit nampaknya bila anda keluarkan set cawan bersama jag air.

Periuk

Kalau dah ada dapur semestinya anda akan memasak. Untuk memasak, anda memerlukan periuk. Untuk permulaan anda tak perlu beli periuk yang banyak. Dua biji periuk sudah memadai. Anda boleh pilih sama ada nak beli periuk besi, stainless steel, aluminium, kaca, tanah liat, atau boleh juga boleh beli periuk yang dibuat daripada batu granite. Ada bermacam-macam jenis periuk yang dijual di pasaran.

Bagi anda yang baru nak memulakan keluarga, kami cadangkan untuk beli periuk yang bersaiz kecil atau sederhana sahaja memandangkan anda akan memasak untuk beberapa orang sahaja. Tak  perlu beli periuk yang besar melainkan jika anda jenis suka ajak kenalan dan ahli keluarga datang makan di rumah.

Sumber: Majalahsains

Kuali

Selain periuk, kuali juga sangat penting. Periuk biasanya digunakan untuk memasak makanan berkuah seperti gulai. Sementara kuali pula digunakan untuk menggoreng sayur-sayuran, nasi goreng, mee goreng, bihun goreng, dan sebagainya. Seperti periuk, anda juga boleh memilih untuk membeli kuali dari jenis yang mana mengikut pilihan hati sama ada:

  • Kuali besi
  • Kuali stainless steel
  • Kuali aluminium
  • Kuali kaca
  • Kuali batu granite
  • Kuali stainless steel

Kuali juga dijual dalam pelbagai saiz. Seperti periuk, untuk anda yang baru nak mulakan hidup berkeluarga, cadangan kami anda Cuma perlu beli satu atau dua kuali bersaiz kecil dan sederhana. Itu sudah memadai.

Pisau

Nak memasak pastinya anda memerlukan pisau untuk memotong bahan masakan. Ada pelbagai jenis pisau, namun pada kamu apa yang penting ialah:

  • Pisau kecil untuk memotong buah-buahan atau bahan masakan kecil.
  • Pisau sederhana besar untuk memotong ikan dan daging
  • Pisau besar untuk memotong ayam atau ikan besar

Nanti anda boleh beli pisau-pisau yang lain. Atau kalau anda ada bajet, boleh beli set lengkap pisau.

Sudu dan garfu

Sudu dan garfu juga sangat penting untuk anda gunakan semasa makan makanan yang berkuah atau makanan dari jenis mee atau pasta. Kurang manis kalau anda gunakan sudu dan garfu dari plastic dan ia juga tidak tahan lama. Sudu garfu yang dibuat dari besi adalah pilihan terbaik dan tahan lama.

Senduk

Anda perlukan senduk untuk memasak makanan yang berkuah seperti gulai dan sup. Beli dua senduk sudah memadai. Satu anda gunakan untuk memasak makanan pedas atau sup dan satu lagi anda guna untuk masak makanan manis seperti bubur.

Spatula

Spatula digunakan untuk menggoreng. Anda boleh pilih sodek yang dibuat daripada besi, kayu, atau pun plastik tahan panas.

Sumber: Amazon

Besen

Anda perlukan besen untuk membasuh ikan, daging dan ayam. Selain itu anda juga perlukan besen untuk membersihkan sayur-sayuran.

Penapis

Anda perlukan penapis untuk menapis bahan masakan. Beli penapis yang kecil untuk menapis teh, dan penapis bersaiz sederhana untuk mencuci bahan masakan yang lain.

Papan pemotong

Kami cadangkan anda beli sekurang-kurangnya dua papan pemotong. Satu papan pemotong untuk memotong ikan, ayam, daging, dan bahan masakan yang berdarah. Sementara papan pemotong kedua digunakan untuk memotong bahan masakan yang tidak berdarah. Kalau anda ada bajet, boleh juga beli papan pemotong khas untuk memotong roti.

Itulah dia info tentang senarai barang dapur wajib ada di setiap rumah yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian kami, anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang jenis kuali ,cara hilangkan hitam bawah kuali , ubah suai dapur dan tips dekorasi rumah

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.