Tidak dinafikan, sebagai manusia biasa, kadang-kala, kita terlepas pandang tentang perkara-perkara tertentu.

Walaupun di dalam rumah, banyak bahaya yang menanti anak-anak kecil terutamanya buat mereka yang masih lagi belum matang pemikirannya.

Sekurang-kurangnya, dengan pengetahuan kita sebagai mak ayah tentang perkara ini, ia dapat mengurangkan risiko perkara yang tidak diingini daripada berlaku ke atas anak-anak kita di dalam rumah.

Foto Kredit : thetrentonline.com

5 BENDA BIASA DI RUMAH TETAPI BAHAYA BUAT ANAK KECIL

Berikut merupakan 5 benda di dalam rumah kita, yang nampak biasa tetapi sebenarnya bahaya apabila kita mempunyai anak kecil di rumah.

1. OBJEK KECIL

Anak yang berusia 6 hingga 18 bulan pada kebiasaannya akan menggunakan masa 30 minit sehari untuk meneroka dunianya dengan mengigit dan memasukkan objek kecil ke dalam mulut.

Kita tidak boleh menyalahkan anak itu kerana perkara ini sememangnya salah satu fitrah perkembangan anak kecil. Kita boleh memantau mereka dengan cara menyediakan ‘teether’  untuk anak kita menggigit.

Pastikan barangan kecil seperti kunci, bateri dan guli disimpan di tempat tinggi yang sukar dicapai oleh anak sekurang-kurangnya 1.75 meter dari aras lantai.

Foto Kredit : lwmpersonalinjurylawyers.com

2. MAKANAN KECIL

Makanan bersaiz kecil seperti yang disenaraikan oleh American Academy of Pediatrics ini adalah berbahaya untuk anak di bawah usia 4 tahun kerana mempunyai risiko tercekik.

Antaranya adalah :

  • sosej
  • kismis
  • ketulan keju
  • bertih jagung
  • sayur mentah
  • gula gula getah
  • kacang dan bijian
  • anggur yang belum dipotong

Sekiranya kita ingin memberikan makanan bersaiz kecil sebegini kepada anak di bawah umur 4 tahun, kita perlu lebih berhati-hati.

Foto Kredit : sofra.al

3. MANGKUK TANDAS

Sebelum ini, kita banyak mendengar maklumat tentang bahaya ‘bath tub’, baldi atau besen kepada anak kecil, bukan? Selain daripada itu, rupa-rupanya, terdapat juga kes anak kecil lemas dalam mangkuk tandas!

Mengikut sumber MedicineNet, dianggarkan seramai 115 orang kanak-kanak meninggal dunia akibat lemas dalam mangkuk tandas setiap tahun.

Oleh itu, pastikan pintu bilik air dan tandas sentiasa bertutup agar tidak dimasuki oleh anak kecil ini semasa kita tidak melihat mereka.

Foto Kredit : abkconstruction.ca

4. PLASTIK SAMPAH

Plastik sampah mempunyai warna dan bunyi yang dapat menarik perhatian si kecil untuk bermain dan meneroka. Tahukah anda bahawa terdapat kes anak lemas apabila bermain dengan plastik sampah? Ya, perkara ini benar-benar terjadi.

Apabila kita membuka baju anak kecil pun, ia boleh membuatkan mereka berasa hampir lemas tatkala baju tersebut tersangkut di bahagian kepala, apatah lagi jika mereka bermain dengan plastik sampah yang boleh menghalang oksigen daripada sampai ke otak apabila ditekup rapat ke hidung atau terikat tanpa sengaja.

Jadi, jauhkan plastik sampah daripada pandangan dan capaian anak-anak kecil ini ya!

Foto Kredit : fr.uline.ca

5. UBAT DAN VITAMIN

Ubat dan vitamin kelihatan cukup menarik di mata anak kecil untuk dijadikan bahan permainan. Walaupun sekadar ‘paracetamol’  atau Vitamin C, usah letakkannya merata-rata di dalam rumah kita.

Anak kecil yang berada dalam fasa perkembangan sebegini sememangnya mempunyai elemen ‘curiosity’  yang tinggi.

Perasaan ingin tahu ini akan membawa mereka kepada proses ‘explore & experiment’  tanpa memikirkan keselamatan mereka.

Sehinggakan kadang-kala, walaupun kita sudah menyimpan ubat dan vitamin tersebut di atas rak, anak kecil ini akan bertindak bijak dengan memanjat rak atau menggunakan kerusi untuk mencapai ubat itu.

Inilah sebabnya mengapa kita perlu menyimpan ubat dan vitamin di tempat yang berkunci. Seeloknya, simpan ubat dan vitamin ini di tempat yang tinggi iaitu sekurang-kurangnya 1.7 meter daripada aras lantai. Itu yang terbaik.

Foto Kredit : ualberta.ca

TAWAKAL MOHON PERLINDUNGAN ALLAH

Bahaya ada di mana-mana, di luar rumah hatta di dalam rumah sekali pun, anak-anak kecil ini terdedah dengan bermacam-macam bahaya.

Walaupun kita telah melakukan pelbagai langkah keselamatan dan pencegahan, penghujungnya kelak, Allah yang menentukan keberkesanan sesuatu perkara itu.

Oleh itu, sebagai mak ayah yang bertanggungjawab, sentiasa usaha, doa dan tawakal kepada Allah, agar kita dan anak-anak sentiasa dilindungi daripada perkara-perkara yang tidak diingini kerana Allah adalah sebaik-baik pelindung.

Penulis: Dr Taufiq Razif

Merupakan seorang pendidik ilmu parenting. Beliau boleh dihubungi melalui laman Facebook peribadi beliau dan Page beliau. Sertai keluarga telegram beliau melalui link ini untuk mendapatkan pelbagai lagi info menarik tentang keibubapaan. Link ke Telegram.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.