Apabila sudah sampai hujung minggu tu, sudah pasti para ibu bapa teruja ingin melakukan aktiviti beriadah bersama anak-anak. Bukannya selalu dapat meluangkan masa bersama keluarga. Ye lah, bila lagi?
Lain orang, lain aktiviti yang mereka suka lakukan bersama keluarga, atau boleh juga aktiviti yang berlainan bagi setiap minggu yang berbeza. Berjoging? Bersiar-siar? Berkelah? Mandi-manda? Semua pun seronok bukan jika dilakukan bersama yang tersayang.
Cuma, bagi si ibu dan si bapa yang menjadikan aktiviti mandi-manda tu sebagai hobi, yang lebih kerap dilakukan berbanding aktiviti-aktiviti riadah yang lain, mereka hendaklah lebih berhati-hati jika ingin membiarkan anak-anak mandi juga.
Ini kerana, khuatir akan risiko yang boleh dialami anak-anak seperti yang telah dikongsikan oleh Dr. Ezairy M. Sallih (doktor telinga, hidung & tekak) di laman Facebook peribadinya. Menurut beliau , jangkitan otitis externa juga boleh berlaku pada salur telinga disebabkan pengumpulan air pada telinga.
Tentu kita selalu membawa anak-anak kita ke tempat seperti pantai, kolam renang, taman tema air dan sebagainya.
Tahukah anda beberapa risiko yang perlu diketahui.
Mari kita lihat 5 bahaya ini kepada anak-anak kecil.
1. Mudah berlaku jangkitan melalui air tercemar. Apabila anak kita tanpa disedari tertelan air di kawasan tersebut, jangkitan yang berlaku akan menyebabkan berlaku masalah seperti cirit-birit.
2. Apabila ada pesakit mengalami masalah flu dengan gejala seperti bersin dan batuk ketika di dalam air, jangkitan boleh juga berlaku kepada anak kita yang kemudiannya akan mengalami masalah sama. Biasa kan alami situasi seperti ini sebaik sahaja anak kita pulang daripada mandi di laut atau kolam?
3. Mudah alami masalah sinus. Terutama jika anak kita memang ada masalah kerap selsema dan tersumbat hidung. Air yang tersedut ke dalam hidung dalam kuantiti banyak akan menyebabkan kotoran juga masuk ke rongga hidung dan sinus. Jangkitan boleh berlaku.
4. Jangkitan pada telinga mudah berlaku. Jangkitan boleh berlaku akibat masalah daripada hidung dan tekak. Ini disebabkan kawasan telinga tengah yang bersambung dengan belakang hidung. Jangkitan pada salur telinga luar juga boleh berlaku. Otitis externa dan media berisiko untuk berlaku.
5. Kurang pendengaran. Air yang terkumpul di dalam salur telinga boleh mengakibatkan anak mengadu kurang dengar. Ini kebiasaannya hanya sementara, akan bertambah baik selepas beberapa hari. Namun, jika tidak bertambah baik, perlu dibawa untuk pemeriksaan doktor.
*Tidak salah melakukan aktiviti beriadah bersama keluarga, cuma para ibu bapa hendaklah mengambil perhatian akan risiko berkaitan dengan aktiviti tersebut, hanya sebagai langkah berjaga-jaga. Jangan lupa share ya!
*Artikel ini telah diterbitkan dengan kebenaran penulis. Untuk post asal penulis, boleh rujuk di sini.