Dalam hidup, ada banyak perkara yang sukar untuk difahami.

Contohnya, seorang pelajar sudah berusaha dan belajar dengan gigih. Tidur lewat semata-mata untuk mengulangkaji pelajaran sehingga bercawan kopi habis diminum. Rancangan kegemaran di kaca TV dilupakan, apatah lagi bersiar-siar bersama rakan di hujung minggu.

Tapi, keputusan peperiksaan ternyata menghampakan. Lebih banyak C dari A.

Hati kecil berkata,buat penat je pulun.

Mungkin itulah reaksi sesetengah pelajar saat menerima slip keputusan SPM. Bagi yang melihat deretan A, tentu tersenyum lebar dan melonjak riang. Tapi bagi yang mendapat keputusan mengecewakan, segala-galanya seperti sudah berakhir. Terbayang masa depan yang kelam. Seolahnya jalan menuju kejayaan sudah tertutup.

upset boy leaning against a wall

flickr.com

Saya memahami perasaan itu. Pasti saya juga akan bereaksi begitu pada umur semuda itu. Tapi kehidupan mengajar saya bahawa ada perkara lebih penting di sebalik berapa banyak A atau berapa bagus CGPA seorang pelajar.

Maksud saya begini. Untuk mendapat keputusan yang bagus, sudah tentu seorang pelajar itu perlu usaha yang gigih. Membuat banyak ulangkaji melebihi apa yang diarahkan oleh cikgu/pensyarah. Menuntut disiplin yang tinggi untuk datang ke kuliah on time dan memberi perhatian dalam kelas. Berjumpa cikgu/pensyarah untuk bertanya sesuatu tentang subjek di saat rakan-rakan lain berborak kosong di cafe.

Ia tidak mudah. Ia menuntut semangat yang kuat dan disiplin diri yang tinggi.

Usaha yang tinggi melayakkan seseorang mendapat keputusan A. Tapi sebenarnya, bukan A itu yang perlu dikejar. Bukan A itu yang menjadi objektif pembelajaran. Tapi, sejauh mata kita memahami apa yang kita belajar.

Dan yang lebih penting, ke tahap mana kualiti diri kita telah berjaya ditingkatkan – kekuatan dalaman agar tidak mudah give up, disiplin diri, komitmen terhadap apa yang sedang dilakukan, kesabaran menghadapi kesukaran dan banyak lagi. Kualiti-kualiti inilah yang terpupuk kemas dalam diri seorang pelajar apabila dia berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan.

Angry-Kid-17

theresident.net

Sebenarnya, kualiti-kualiti inilah yang dicari dan dinilai oleh sesebuah syarikat saat anda menghadiri temuduga untuk mendapatkan sesuatu pekerjaan. Semakin hebat syarikat itu, semakin tinggi kualiti diri yang dicari dalam sesebuah temuduga.

Keputusan peperiksaan atau CGPA anda hanya pada secebis kertas. Ia tidak mendatangkan erti jika si penemuduga gagal melihat kegigihan, keyakinan, disiplin, komitmen dan kejujuran dalam diri anda.

Sebab itu, jika keputusan peperiksaan anda tidak menunjukkan deretan A setelah puas berusaha siang dan malam, janganlah sesekali mengaitkannya dengan masa depan. Apabila anda telah berusaha gigih dan sedaya upaya, percayalah, anda sudah mempunyai kualiti kualiti diri yang nantinya akan mengundang kejayaan di masa hadapan.

Bagaimana caranya, itu kerja Tuhan. Yang penting kita sebagai manusia sudah menjalankan bahagian kita dengan sehabis baik.

Do your best, and leave the rest to God.

Yang saya khuatir begini. Anda mendapat keputusan yang mengecewakan setelah berusaha gigih. Apabila anda putus asa atau begitu terkesan oleh angka dan nombor di slip keputusan tersebut, saya bimbang anda sebenarnya sedang diuji Tuhan tentang sejauh mana anda boleh bersabar dengan sedikit ujian – iaitu diberi keputusan peperiksaan yang tidak memihak kepada anda. Dan sejauh mana anda boleh redha dan bersyukur dengan keputusan yang Tuhan sudah tetapkan buat diri anda.

Kerana, bukan deretan A itu yang Tuhan ingin lihat. Tapi, kesabaran, redha dan syukur anda itulah yang akan menjemput kejayaan dan kebahagiaan dari Tuhan buat anda di masa hadapan.

Wallahualam

Penulis: Ebit Lew

Ustaz Ebit Lew merupakan penceramah bebas dalam mengenai hubungan rumah tangga. Beliau seorang yang rajin berkongsi tips keharmonian rumah tangga di Facebooknya dan ceramahnya boleh didengari di TransformJiwa

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.