Mari kita pelajari cara Rasulullah SAW mendidik anak-anak.

Anak-anak adalah fitrah. Setiap anak yang lahir diibaratkan seperti kain putih yang kosong dan bersih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mencorakkannya dengan didikan yang paling baik.

Nabi Muhammad SAW bersabda: 

“Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka kedua ibu bapa yang mencorakkan menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Selain dilahirkan sebagai amanah, semua anak adalah pembawa rahmat dan rezeki dari Allah SWT. Tidak ada anak-anak yang dikirimkan oleh-Nya sebagai beban atau bertujuan menyusahkan ibu bapanya.

Rasulullah SAW adalah contoh teladan yang mengajarkan cara mendidik anak-anak mengikut acuan Islam sebenar. Berikut adalah empat peringkat didikan anak-anak mengikut sunah Rasulullah SAW yang  boleh dijadikan rujukan;


1. Umur Anak-Anak 0-6 Tahun

  1. Memanjakan anak-anak  dan menyayangi mereka sepenuh  kasih sayang. Jadikan mereka raja  dengan mengasihi mereka tanpa batas.
  2. Jangan pilih kasih terhadap mana-mana anak, sama ada anak sulung atau bongsu. Sayangi sepenuhnya dengan adil dan saksama.
  3. Jika anak melakukan kesilapan sekalipun, jangan dihukum atau memukul walaupun atas dasar untuk mendidik.
  4. Pada usia ini sebaiknya, ibu bapa hendaklah sentiasa bersama-sama mereka pada setiap masa kerana pada usia ini mereka sangat memerlukan perhatian.


2. Umur Anak-Anak 7-14 Tahun

  1. Tanamkan  nilai disiplin dan tanggungjawab kepada anak-anak pada usia ini.
  2. Ketika ini mereka boleh diibaratkan ‘hamba’ yang boleh untuk diajar, diminta atau disuruh melakukan perkerjaan ringan. Ini membuatkan mereka faham akan bertanggungjawab pada setiap suruhan terutama dalam mendirikan solat.
  3. Paling penting, ajarkan anak-anak solat agar mereka terbiasa dan mudah dilentur untuk tidak meninggalkan solat serta ajaran Islam kelak.
  4. Ini juga tempoh umur yang baik untuk mengajarkan anak-anak dengan pengajaran Islam yang lain seperti puasa, mengaji al-Quran serta lhklak dan sahsiah agama.

3. Umur Anak-Anak 15- 21 Tahun

  1. Umur ini adalah sesuai untuk anak-anak dijadikan sebagai kawan. Ibu bapa seeloknya mendekati anak-anak dengan cara berkawan dengan mereka. Antaranya dengan memperbanyak berborak dan meluangkan masa dengan anak-anak.
  2. Ibu bapa juga mestilah menjadi pendengar yang setia kepada mereka dan berbincang tentang isu semasa dan masalah peribadi mereka.
  3. Sebaiknya bapa lebih baik mendekati anak lelaki dan anak remaja perempuan mempunyai hubungan yang rapat dengan ibu mereka.
  4. Waktu inilah sesuai untuk menasihati mereka akan bahaya perbuatan yang salah serta perkara yang baik atau sebaliknya.
  5. Jika tidak bersetuju dengan mereka, elakkan mengherdik atau memarahi anak-anak. Jika mereka benar, katakan pujian.
  6. Elakkan memarahi anak-anak di hadapan adik-beradik atau pihak lain, mahupun secara terbuka.
  7. Banyakkan perbincangan secara berbaik-baik bukannya mendahului emosi. Ibu bapa jangan memikirkan hanya golongan yang lebih tua sahaja yang benar.
  8. Terima pandangan dan cadangan mereka dengan hormat dan menegur kesalahan dengan baik dan sabar.

4. Umur Anak 21 Tahun Dan Ke Atas

  1. Ketika ini ibu bapa hendaklah  menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada anak-anak.
  2. Berikan mereka kebebasan dalam membuat apa-apa keputusan aslkan masih berada di landasan yang betul dan tak terkeluar daripada nilai agama.
  3. Ibu bapa hanya memantau dan menasihati mereka jika sesuatu tindakan didapati kurang tepat.
  4. Nyatakan sokongan pada setiap tindakan yang baik.
  5. Waktu ini anak-anak kebanyakan akan menjadikan ibu bapa sebagai sahabat, selain  rujukan, dan memohon dorongan agar tindakan mereka direstui.

Penutup: Anak-Anak Adalah Amanah Dan Tanggungjawab Terbesar

Anak-anak adalah tanggungjawab. Amanah ini bukan sahaja perlu dipikul semasa melahirkan dan membesarkan mereka, malah anak-anak juga perlu dilindungi dan dididik dengan sempurna. Semua ini adalah untuk menjadikan mereka manusia yang beriman dan hamba Allah yang memakmurkan bumi.

Sesungguhnya apabila dewasa kelak, hasilnya adalah apa-apa yang diajarkan semenjak mereka kecil. Walaupun usaha ni tidaklah mudah dan penuh dugaan, namun inilah cabarannya yang harus digalas.

Sesungguhnya momen membesarkan anak-anak adalah suatu kemanisan yang akan memudar apabila mereka dewasa kelak. Jadikanlah setiap detik itu penuh dengan kenagan yang boleh dikenang kelak. Sebab itulah penting untuk ibu bapa memperbanyak doa untuk kebahagiaan, kejayaan dan kesejahteraan anak-anak agar menjadi sebaik-baik umat Islam dan hamba Allah yang bertakwa.

“Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). Pukul itu pula bukanlah untuk menyeksa, cuma sekadar untuk menggerunkan mereka. Janganlah dipukul bahagian muka kerana muka adalah tempat penghormatan seseorang. Allah SWT mencipta sendiri muka Nabi Adam.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Bacaan lain:

Rujukan:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.