Tugas menjadi seorang isteri atau ibu bukanlah satu kerja yang mudah. Ia mungkin tidak memerlukan sijil atau khusus yang diiktiraf oleh MQA tetapi ia memerlukan tenaga dan kesabaran yang banyak. Kerja-kerja suri rumah tidak semestinya dilakukan oleh isteri sahaja, malah suami juga boleh membantu sedikit dari segi jaga anak, kemas rumah dan jemur baju semasa cuti.
Tugas seorang isteri atau ibu ini juga boleh membuatkan si isteri stress kerana penat dan terlalu berfikir perkara yang negatif. Lebih-lebih lagi isteri yang berkerjaya dan mempunyai kerja tetap. Ia bukannya satu perkara yang mudah di mana mereka perlu membahagikan kerja di pejabat dan di rumah. Kadang-kadang ia boleh mengundang rasa stress kepada si isteri.
Untuk mengelakkan rasa stress dalam diri, isteri perlu ada self-talk yang positif kepada diri sendiri. Apakah self talk tersebut?
Mari kami kongsikan info sebenar mengenai 7 ayat positif self-talk. Info ini dikongsikan oleh Dr. Taufiq Razif. Beliau banyak berkongsikan tips untuk mendidik dan menjaga anak-anak. Beliau juga pengasas “Telegram Channel Parenting” terbesar di Asia. Selain itu, beliau merupakan CEO di The Proparenting. Mari kita baca info yang dikongsikan oleh Dr. Taufiq.
#1 – Lasaknya anak aku hari ni. Aktifnya dia hari ini. Itu petanda dia sihat. Terima kasih Ya Allah
#2 – Melimpahnya rezeki aku dapat hari ini. Bukan sekadar duit tapi kesihatan, kasih sayang, ketenangan dan kehidupan ini pun adalah salah satu daripada rezekiMu juga Ya Allah.
#3 – Banyaknya pengorbanmu wahai suami. Walau mungkin kau tak sesempurna yang aku bayangkan tetapi kau adalah titipan dan anugerah terindah daripada Tuhan. Terima kasih Ya Tuhan.
#4 – Indahnya hari ini. Ada jutaan manusia di seluruh dunia yang tak dibenarkan lagi untuk hidup pada hari ini sedangkan aku masih diberikan peluang untuk mengecap nikmat hidup ini. Terima kasih sangat Ya Rabbi
#5 – Bahagianya aku melihat orang yang aku sayang di sekeliling aku. Mereka masih hidup, masih boleh tersenyum dan masih boleh membahagiakanku. Terima kasih sudi membenarkan mereka berada di sisiku pada hari ini Ya Allah.
#6 – Terima kasih Tuhanku atas penderitaan dan ujian ini. Tanpa ujian ini mungkin aku akan lupa padaMu dan berterusan dalam maksiat kepadaMu. Mungkin tanpa ujian ni dosa silamku akan kekal tak terampunkan olehMu. Terima kasih Ya Allah atas kasih sayangMu ini.
#7 – Terima kasih atas kesudianMu memberikan rasa syukur ini di hatiku. Tanpa izinMu, hatta untuk bersyukur sekalipun aku tidak mampu. Terima kasih sangat wahai Tuhan yang membolak balikkan hati.
*Jika amalkan 7 ayat self-talk ini, Insyaallah si isteri tidak akan rasa stress dan sentiasa berfikiran positif. Pada permulaannya, ia agak susah, oleh sebab itu suami perlu bantu si isteri dengan memberikan kata-kata pujian dan semangat kepada mereka. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.
Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.