Kebelakangan ini, kita sering terbaca banyak kes kemurungan (depresi) yang melibatkan kaum wanita. Wanita adalah makhluk yang bersifat lembut dan perlu disantuni. Kami kongsikan 5 ayat motivasi untuk wanita sebagai pembakar semangat.
Seperti kata-kata Saidina Ali bin Abi Thalib,
“Wanita itu seperti bunga. Mereka harus diperlakukan dengan lembut, baik hati, dan dengan kasih sayang.” Namun, jika mereka dikasari, akibatnya mereka akan memberontak dan sampai satu tahap mereka sudah hilang sifat kelembutannya.
Oleh itu, santunilah para wanita di sekeliling anda. Malah, inilah yang dilakukan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad saw. Nabi Muhammad saw juga berpesan agar menasihati wanita secara baik, seperti mana dalam hadis:
Dari Abu Hurairah ra, beliau berkata bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
“Nasihatilah kaum wanita secara baik, kerana wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang berada di bahagian yang paling atas.
Jika engkau meluruskannya, bererti engkau mematahkannya; dan jika engkau membiarkannya, maka dia tetap akan bengkok. Oleh itu, nasihatilah kaum wanita secara baik.”
(HR Bukhari Dan Muslim)
Begitu besar peranan seorang wanita sehingga ada pepatah yang menyatakan, ‘Wanita itu tiang negara. Apabila wanita itu baik, maka negara akan baik. Jika wanita itu rosak, maka negara juga akan rosak.”
Maka, sebagai wanita, kita seharusnya merasa bersyukur dan bangga ditakdirkan Allah swt menjadi seorang wanita. Ini kerana, terlalu besar peranan dan darhat yang Islam berikan kepada para wanita. Syaikh Akram Nadawi menyatakan, “Jika semua orang tahu status seorang wanita Muslimah dalam Islam, maka lelaki pun pasti ingin menjadi wanita.”
Sekalipun kamu disakiti, percayalah, bahawa Islam tidak pernah menyakiti seorang wanita. Islam sentiasa mengangkat darjat dan menyantuni kaum hawa.
Tiadalah kata-kata motivasi yang lebih baik untuk para wanita melainkan ayat-ayat inspirasi daripada al-Quran dan hadis. Mudah-mudahan dalil ini boleh menjadi penguat semangat buat semua wanita untuk berusaha menjadi hamba Allah yang taat dan sebaik-baik perhiasan (wanita solehah).
Bersabda Rasulullah saw: “Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit daripada golongan kamu yang dapat melakukannya.”
(HR Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)
Oleh itu, berusahalah para isteri untuk mentaati suami dan mengakui haknya selagi mana suami itu berhak untuk ditaati (suami mentaati Allah swt dan tidak melakukan perkara yang melanggar syara’).
Namun bagi wanita yang masih bujang, taatilah kedua ibu bapa. Sungguh, pahala berjihad di jalan Allah swt itu sangat besar ganjarannya, maka rebutlah pahala itu. Moga kita bahagia di dunia dan juga di akhirat.
Rasulullah saw bersabda: “Apabila seorang wanita redha atas kehamilannya dari suaminya yang sah, sesungguhnya ia telah mendapat ganjaran pahala seperti ibadah puasa dan mengerjakan ibadah-ibadah lainnya dijalan Allah;
dan jika ia merasa berat, letih atau lesu, tidaklah dapat dibayangkan oleh penghuni langit dan bumi, betapa kesenangannya disediakan oleh Allah di hari akhirat nanti. Apabila anaknya lahir, maka dari setiap teguk air susu yang dihisap oleh anak, si ibu mendapat kebajikan pahala.
Apabila si ibu berjaga malam (kurang tidur kerana anak) maka si ibu mendapat ganjaran pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba sahaya kerana Allah.” (HR Ibn Hibban)
Mengandung, melahirkan, menyusukan serta membesarkan anak adalah satu pengorbanan besar seorang wanita yang bergelar ibu. Fasa ini memang melelahkan. Namun, Allah swt Maha Mengetahui segala keletihan yang kita alami. Maka, sebagai wanita, kita belajarlah untuk redha. Redhanya hati kita mengandungkan, melahirkan, menyusukan serta membesarkan anak-anak akan dibalas dengan ganjaran yang sangat besar di akhirat nanti.
Rasulullah bersabda, “Apabila seorang isteri menjaga solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah kamu ke dalam syurga dari pintu mana saja yang kamu suka.” (HR Ahmad)
Syarat yang Allah berikan kepada para wanita untuk mendapat keistimewaan syurga, tidak banyak, hanya 4 syarat sahaja. Namun, syarat itu bukan mudah untuk direalisasikan. Oleh itu, setiap wanita harus berusaha untuk memenuhi keempat-empat syarat ini. 4 perkara inilah seharusnya menjadi panduan kita sepanjang kehidupan di dunia.
Nabi saw bersabda, “Mana-mana perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha padanya, maka dia akan masuk syurga.” (HR At-Tirmidzi)
Banyak hadis Nabi saw yang menyatakan tentang pentingnya ketaatan seorang isteri kepada suami. Asbab daripada ketaatan ini, isteri mengharapkan keredhaan dari suami. Ini kerana, keredhaan suami adalah kunci bagi syurganya.
Nabi saw ketika Baginda ditanya: “Bagaimana wanita terbaik itu?”. Baginda menjawab, “Wanita terbaik itu ialah yang menyenangkan bila dipandang suaminya dan menurut bila disuruh, serta tidak mengkhianatinya, baik dalam menjaga dirinya sendiri atau harta suaminya yang sangat tidak disukainya”. (HR Abu Dawud dan Nasa’i).
i) “Wanita terbaik ialah wanita yang membuatmu senang jika engkau melihatnya”
Bermakna kecantikan dan penampilan yang baik. Tidak diragukan lagi bahawa hal ini merupakan suatu yang disunatkan, ini kerana kebiasaan manusia lebih cenderung pada kecantikan. Apalagi kecantikan dan penampilan yang baik pada diri isteri dapat memelihara dan melindungi nafsu suami.
ii)“…dan mentaatimu jika engkau menyuruhnya”
Bermakna ketaatan isteri kepada suami adalah sangat penting. Ketaatan ini lahir dengan ikhlas sekiranya suami juga membahagiakan serta memberi hak-hak isteri. Apabila hak-hak isteri dipenuhi, isteri secara fitrahnya akan sedia berkhidmat dan memberi ketaatan kepada suaminya.
iii) “…tidak mengkhianatinya, baik dalam menjaga dirinya sendiri atau harta suaminya yang sangat tidak disukainya”.
Bermakna bahawa isteri ini adalah seorang wanita yang baik akhlak dan budi pekertinya. Seorang yang setia, jujur dan pandai menjaga maruah diri dan suaminya.
Bagaimana dengan artikel berkenaan Ayat Motivasi Untuk Wanita yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?
Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu: