Ayat 1000 Dinar adalah potongan ayat al-Quran iaitu bahagian akhir ayat 2 dan keseluruhan ayat 3 Surah At-Talaq. Ayat ini sangat terkenal dengan kelebihannya iaitu untuk dimurahkan rezeki dan menerima rezeki dari jalan yang tak disangka-sangka.

Sejarah Ayat Seribu Dinar

Namun begitu, Ayat 1000 Dinar ini tidak pernah dikenali pada zaman Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. Terdapat banyak versi cerita berkenaan kisah Ayat 1000 Dinar ini. Ada kisah berkenaan Nabi Khidhir dan pedagang, dan pelbagai lagi cerita.

Yang pastinya, kami tidak ingin mengulas sejarah Ayat 1000 Dinar ini kerana kami sendiri tidak pasti akan kesahihannya. Malah, Nabi Muhammad saw sendiri tidak menamakan ayat 2-3 Surah At-Talaq itu sebagai Ayat 1000 Dinar.

Walaupun masih belum menerima sebarang rekod yang sahih menyatakan bilakah dan siapakah yang menggelar ayat tersebut sebagai Ayat 1000 Dinar, namun tidak salah untuk mengamalkannya. Paling penting untuk dinilaikan daripada Ayat 1000 Dinar ialah apakah isinya, pengajaran-pengajarannya, dan yang berkaitan dengannya.

Tafsiran Ayat 1000 Dinar

Ayat seribu dinar

Imej via almukhlisin

Melalui Ayat 1000 Dinar juga, kita dapat lihat dua keadaan yang Allah akan berikan rezeki dan keluarkan kita dari kesusahan, iaitu dengan bertaqwa dan bertawakkal.

Menurut Ibnu Katsir, maksud ayat “Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak dia duga,” adalah barangsiapa yang bertakwa kepada Allah dengan menjalankan seluruh perintahNya dan menjauhi laranganNya nescaya Dia akan memberi rezeki dari arah yang tidak pernah terlintas dalam hatinya.

taqwa

Imej via wahdahjakarta

Dalam kitab Al Musnad disebutkan dari Muhammad bin Ali bin Abdullah bin Abbas, dari ayahnya, dari datuknya, Abdullah bin Abbas, dia berkata: “Rasulullah bersabda:

“Barang siapa banya beristighfar (memohon ampunan), maka Allah akan menjadikan baginya setiap kesusahan menjadi kemudahan, setiap kesempitan menjadi kelapangan, dan akan Dia kurniakani rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”

Hadis di atas sekaligus menjadi penguat tafsir Ayat 1000 Dinar.

Manakala, bertawakkal pula adalah menyerahkan segala urusan hanya kepada Allah swt setelah kita berusaha. Jika melihat dari aspek rezeki, setelah kita berusaha bekerja untuk mencari rezeki, maka bertawakkallah kepada Allah. Ini kerana segala rezeki yang kita terima adalah dari Allah swt yang bersifat Ar-Razak (Maha Pemberi Rezeki Rezeki).

tawakal burung

Imej via addysumoharjo

Salah Faham Tentang Ayat 1000 Dinar

Ramai yang menghafal ayat ini untuk dibaca dimasa-masa yang sesuai, seperti selepas solat dan ketika menghadapi masalah. Tidak kurang juga peniaga yang menggantung atau menampalkan pelekat ayat 1000 dinar ini di premis perniagaan mereka, seolah-olah sebagai pelaris dengan harapan perniagaan bertambah maju. Walaubagaimana pun jika sekadar menampalkan Ayat 1000 Dinar ini di premis perniagaan, tetapi taqwa dan tawakkal kepada Allah tidak kita amalkan, adakah ia bertepatan dengan makna ayat ini?

Tujuan menampalkan pelekat itu hanyalah sebagai cara supaya kita selalu beringat untuk bertaqwa dan bertawakkal. Begitu juga kalau kita baca ayat ini beribu-ribu kali dalam sehari, sedangkan kita tidak bertaqwa dan bertawakkal, itu juga bukan cara yang betul mengamalkan Ayat 1000 Dinar.

Kesimpulan

Sebenarnya ayat seribu dinar adalahsebaik-baik doa untuk segala masalah. Walaupun begitu, banyak doa-doa lain untuk perlindungan diri dari musibah dan ketika susah seperti yang diajarkan Nabi saw.

Namun, jika kita tidak dapat hafal doa-doa lain, tidak mengapa untuk amalkan Ayat 1000 Dinar sebagai doa dikala kita ditimpa kesusahan. Ini kerana, Ayat 1000 Dinar sudah merangkumi kesemuanya untuk mendapatkan rezeki yang banyak serta melindungi diri dari bala dan musibah.

Intipati utama Ayat 1000 Dinar adalah untuk kita sentiasa bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah swt. Jika kita sentiasa melakukan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya, serta rajin berusaha kemudian menyerahkan seluruh urusan tersebut kepada Allah swt, Allah akan berikan kita rezeki dan melindungi kita dari segala bala. InsyaAllah.

Rujukan:

  1. Palembang Tribunnews
  2. Blog

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.