Dalam agama Islam, telah ditetapkan garis panduan tentang sesuatu perkara agar manusia tidak melebihi batas dan berpaling daripada Allah. Salah satu peraturan yang Allah tetapkan itu ialah berkaitan aurat seorang wanita. Jom baca artikel ini tentang aurat wanita dalam Islam.

Malangnya, tanggungjawab untuk menjaga aurat seolah-olah dipandang ringan oleh sesetengah wanita. Ia mungkin berpunca daripada kurangnya didikan ibu bapa, pegangan agama yang lemah, faktor persekitaran dan sebagainya.

Ada sesetengah wanita yang memberi pandangan tentang aurat berlandaskan nas yang tidak sahih dan ditambah dengan pandangan mengikut akal dan nafsu sendiri.

Yang lebih menyedihkan, ada sebilangan orang yang menyebarkan fahaman bahawa menjaga aurat itu memundurkan masyarakat. Malahan, menjaga aurat itu seolah-olah seolah-olah ‘undang-undang paksaan’ yang tidak adil bagi wanita dan menyekat kebebasan hak individu.

Apakah Maksud Aurat?

Mengapa aurat wanita sangat dijaga dan dipelihara oleh Islam? Apakah yang akan berlaku sekiranya seseorang wanita itu mengabaikan auratnya? Sebelum menjawab soalan-soalan ini, marilah kita fahamkan dulu maksud aurat.

Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, aurat adalah anggota badan yang tidak boleh diperlihatkan oleh seorang lelaki mahupun wanita kepada orang lain. Dalam erti kata mudah, aurat bermaksud sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat.

Hukum menutup aurat adalah wajib tidak kira bagi lelaki atau wanita. Namun begitu, dalam artikel ini penulis hanya akan mengupas berkaitan aurat wanita. Sebenarnya, terdapat banyak dalil tentang kewajipan menjaga aurat bagi wanita. Antaranya ialah:

Dalam Surah al-A’raf (26), Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”

Batasan Aurat Wanita

Aurat wanita dalam Islam adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali dua telapak tangan dan wajah. Apabila berada di hadapan lelaki yang bukan mahram (lelaki ajnabi), mereka wajib menutup leher, rambut malahan keseluruhan badan kecuali tapak tangan dan wajah.

Kategori Wanita Berkaitan Aurat

Seiiringan dengan zaman yang semakin moden, kita boleh bahagikan wanita berkaitan soal aurat dalam 3 kategori, iaitu:

  • Menutup aurat dengan sempurna.
  • Menutup aurat tetapi tidak sempurna.
  • Langsung tidak menutup aurat

Bagi golongan pertama, mereka mengikut syariat Islam dengan sempurna. Bagi golongan kedua pula ialah pakaian yang dikenakan masih tidak sempurna. Misalnya memakai tudung tetapi sangat singkat, memakai tudung tetapi baju ketat sehingga menampakkan susuk tubuh.

Bagi golongan yang ketiga, mereka biasanya tidak memakai tudung dan pakaian juga singkat dan ketat. Anda tergolong dalam kategori yang mana satu? Diharapkan artikel ini mampu membuka hati kita untuk menutup aurat dengan sebaik-baiknya.

Panduan Menjaga Aurat

Setiap muslimah perlulah mementingkan beberapa perkara ini sebelum keluar dari rumah atau berhadapan dengan lelaki bukan mahram. Antaranya ialah:

  • Memakai tudung yang labuh sehingga menutupi dada.
  • Tutup keseluruhan muka kecuali muka dan telapak tangan.
  • Memakai pakaian yang tidak nipis, tidak jarang dan tidak menampakkan lekuk-lekuk di bahagian tubuh.
  • Tidak berwangian-wangian di hadapan bukan mahram.
  • Memakai baju yang labuh dan longgar.
  • Memakai sarung tangan untuk mengelakkan lengan baju tersingkap atau ternaik.
  • Memakai sarung kaki.
  • Lengan baju mestilah labuh hingga ke pergelangan tangan.
  • Kaki atau seluar mestilah labuh sehingga ke paras buku lali.
  • Tidak tabarruj atau menghias diri secara berlebihan.

Batasan Aurat Wanita

Terdapat 4 batas aurat bagi wanita yang berbeza mengikut situasi, iaitu:

Aurat bersama suami

Tiada aurat di antara pasangan suami isteri. Harus bagi suami melihat seluruh tubuh badan isteri kecuali kemaluannya. Di dalam Islam melihat kemaluan isteri mahupun kemaluan sendiri hukumnya makruh

Aurat di hadapan lelaki ajnabi

Lelaki ajnabi ialah lelaki yang bukan mahram dan merupakan orang asing. Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi ialah keseluruhan tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan

Aurat di hadapan mahram

Mahram bagi wanita ialah lelaki yang haram untuk dikahwini buat selama-lamanya. Hubungan mahram ini terjadi disebabkan faktor keturunan, perkahwinan dan susuan. Antara mahram bagi seseorang wanita ialah:

a. Bapa kandung

b. Bapa mertua

c. Bapa susuan

d. Anak kandung

e. Anak tiri (anak suami bagi isteri sebelumnya)

f. Anak susuan

g. Saudara lelaki kandung

h. Saudara lelaki susuan

i. Anak saudara lelaki

j. Bapa saudara

k. Datuk

Di hadapan mahram-mahram tersebut, tidak diwajibkan untuk wanita menutup tubuhnya. Namun begitu, kita tetap perlu menjaga kehormatan diri dengan memakai pakaian yang sopan di hadapan mereka.

Janganlah mendedahkan peha, perut, kemaluan dan punggung. Yang dibolehkan hanyalah bahagian rambut, leher, lengan dan betis

Aurat di hadapan wanita lain

Menurut pandangan mazhab Syafi’ie, aurat wanita Islam di hadapan wanita lain ialah di antara pusat dan lutut.

Hikmah Menutup Aurat

Perintah yang diturunkan oleh Allah kepada manusia pasti ada sebab dan alasannya. Justeru disenaraikan di bawah hikmah menutup aurat bagi wanita, iaitu:

Lambang wanita bertaqwa dan beriman

Wanita yang taat dan takut kepada Allah, pastinya akan mengikut segala suruhan dan menjauhi segala larangan Allah. Oleh itu, walau apapun alasan yang diberi, sekiranya kita tidak menutup aurat, maknanya kita ingkar arahan yang diturunkan oleh tuhan

Mengelakkan diri daripada gangguan lelaki

Lelaki yang berhidung belang, pastinya tidak menghormati wanita. Bayangkan apabila mereka nampak perempuan yang seksi lalu di hadapan mereka. Pasti tanpa segan silu mereka akan mengusik.

Berbanding wanita yang menutup aurat, mereka pastinya tahu menjaga kehormatan diri dan tidak menjadi lelaki berniat jahat seperti itu. Wanita yang solehah akan membuatkan kita malu untuk memandang mereka kerana rasa hormat yang tinggi

Membezakan wanita muslim dengan yang bukan muslim

Kita mudah mengenali seseorang itu sama ada beragama Islam atau tidak melalui pemakaian tudung. Walaupun begitu, adab sebagai seorang wanita muslim tetap perlu dijaga di hadapan orang yang bukan muslim. Tingkah laku yang buruk akan memberi gambaran yang buruk terhadap agama Islam.

Kesimpulannya, Allah telah menetapkan batasan aurat bagi lelaki mahupun wanita. Oleh itu kaum, wanita perlu menjaga kehormatan diri dan auratnya walau di mana mereka berada. Jangan ambil mudah tentang perkara ini.

Didikan tentang aurat dan batasan pergaulan perlu didedahkan oleh ibu bapa sejak kecil lagi. Jika anak-anak degil dan tidak mahu mendengar kata, tegur mereka secara berhemah. Tunjukkan contoh yang baik dan seterusnya wujudkan persekitaran keluarga yang mementingkan ilmu agama. Jemput juga baca artikel tentang selain artikel aurat wanita dalam Islam:

Rujukan

https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1866-irsyad-al-fatwa-ke-141-aurat-antara-muslimah-dan-wanita-bukan-muslim

https://akuislam.com/blog/fiqh/aurat-wanita-lelaki/

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.